Wednesday 31 March 2010

cErPeN PeRjUaNgAn AsHaBuL WaDuD~


Bismillah arRahman arRahim..
"Sabda Rasulullah saw, ''tidak beriman seorang itu, jika dia tidak menyayangi saudaranya sepertimana dia menyayangi dirinya sendiri.” Ustaz Mohammad memulakan bicara dengan sebuah hadis yang selalu disebut-sebutnya. Sebuah hadis sulung dalam urutan penghafalan hadis kumpulan usrah yang dibimbingnya itu.


"Saudara muslim itu merupakan cermin kepada saudara muslimnya yang lain. Tegurlah kawan-kawan kita kalau ada antara mereka melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah. Kalau kita terus mendiamkan diri, ketahuilah bahawa kita juga turut mengumpulkan saham dosa bersama-sama mereka"


Keadaan malam yang dingin itu tetap sunyi seperti selalunya. Cuma kedengaran beberapa orang Arab yang menjerit-jerit dari bawah bangunan. semua Ahli Usrah mendengar kata-kata ustaz mohammad dengan kusyuk.


"Tapi kalau hanya pandai menegur dalam masa yang sama dia sendiri pun melakukan perkara yang sama, tak jadi juga. Disamping itu, kita juga perlu mengukuhkan ukhuwah antara kita. Keluarga yang berada jauh di Malaysia takkan nak berulang-alik datang ke Mesir semata-mata untuk menyelesaikan satu dua masalah yang kita hadapi. Sahabat-sahabat yang ada di sinilah sebagai abang dan adik kita. Kalau ada sahabat-sahabat yang menghadapi masalah, ringankan tulang untuk membantu."
Ahli usrah yang dipimpin beliau itu ada antaranya menunduk dan ada juga yang mengangguk tanda faham. Tiba-tiba salah seorang daripada ahli usrahnya itu rebah bersujud. Terharu rasa hati melihat suasana seperti itu. Tidak pernah sebelum ini ada ahli usrah yang bersujud ditengah-tengah aktiviti usrah dijalankan. Sahabat yang bersujud itu bangun semula daripada sujud. Mengesat matanya yang merah sambil menyapu mulutnya yang berair bening.


"Maaf ustaz , ana tertidur tadi. rasa penat pula badan ni."


Suasa mengharukan tiba-tiba bertukar menjadi lucu. Ketawa mereka memecah kesunyian malam. Persoalan "air mata bening" yang dikesat daripada mulut itu tadi terjawab. Ustaz Mohammad hanya ketawa kecil. Tetap menunjukkan kesiqahannya. Beliau faham sebahagian daripada ahli usrahnya itu merupakan jentera-jentera kuat persatuan. Pagi tadi persatuan meminjam tenaga mereka untuk menguruskan beberapa program yang dianjur persatuan. Mujur ada semangat yang masih terpacak teguh dalam diri, menguatkan kudrat untuk mereka bersengkang mata seketika. Mentajdid semangat perjuangan bersama saudara-saudara yang lain. Demi untuk mendapatkan redha Allah.


"Mulai hari ini, ana memberikan gelaran kepada sahabat sekalian bersempena dengan nama rukun-rukun Bi'ah yang sepuluh iaitu Faham, Ikhlas, Amal, Jihad, Tadhiyyah, Taat , Thabat, Tajarrud, Ukhuwwah dan thiqah. ana harap selepas ini gelaran-gelaran ini akan sahabat-sahabat gunakan ketika bermuamalat antara sesama sahabat."


Ustaz Mohammad berkata sewaktu memimpin kumpulan usrahnya, Ashabul Wadud dalam satu perjumpaan Usrah yang lain.

Hubungan persaudaraan memang sangat-sangat beliau titikberatkan. Bukan setakat berkata-kata, bahkan setiap apa yang disampaikan itu ditunjukkannya dalam amalan seharian dengan harapan sahabat-sahabatnya ikut sama mengamalkan.
Majlis usrah diteruskan dalam keadaan penuh Ukhuwwah. Sekali-sekala bunyi hon tramco bersahut-sahutan kadang-kadang mencuri perhatian mereka. Cuaca musim sejuk yang menusuk sampai ke tulang sumsum itu seakan tiada maknanya bagi mereka-mereka yang tetap siap sedia berjuang di jalan Allah.


* * * * * * * * * * * * * *

Jauh-jauh kulontar pandanganku keluar melalui tingkap empayar utama Darul Wadud. Aku sendiri tidak pasti samada aku sedang memerhati atau termenung ketika itu. Kenangan bersama saudara-saudara Ashabul Wadud sewaktu menuntut ilmu di Mesir dahulu semakin segar diingatan walaupun sudah 20 tahun aku dan kawan-kawan meninggalkan Bumi Anbiya' itu.
Setelah tamat pengajian, Ashabul Wadud sekali lagi bertemu untuk merancang strategi. Kerja-kerja perjuangan menjadi lebih mudah selepas Ustaz Mohammad dilantik menjadi Perdana menteri Malaysia pada beberapa tahun selepas itu. Syiar Islam disebar ke seluruh Kepulauan Melayu sebagai langkah pertama. Akhirnya wujudlah empayar yang diberi nama Darul Wadud ini. Pengaruh empayar menjadi lebih kukuh apabila Saudara-saudara bersepuluh Ashabul Wadud dihantar sebagai utusan ke setiap pelusuk dunia untuk mengajak rakyat dunia bernaung di bawah nama Islam. Kebanyakan daripada mereka menerima Islam sebagai agama dan beberapa negara lain bersetuju menjadi Ahli Zimmi. Israel, Amerika dan Britain pula masih tetap dengan kesombongan menegakkan ideologi mereka.
Beberapa "Flaying car" mewah yang terbang melaju sekali-sekala mengail pandanganku. Proton jenamanya. Sejak tertubuhnya empayar pengimbang kuasa dunia ini, pelbagai kajian dalam segala bidang ilmu seperti bidang perubatan, kejuruteraaan dan pertanian semakin giat dijalankan. Semua pakar dari serata dunia berusaha mengkaji perkara-perkara baru berdasarkan nas-nas Al-Quran dan hadis Rasulullah dengan dibantu oleh para Ulama'. Hasilnya, dalam jangka waktu 10 tahun ini teknologi dunia berkembang dengan sangat pesat. Kereta terbang yang seperti ini bukan lagi sesuatu yang asing.


"Nasaluka ya manhuwallahullazi..."
Komputer kecilku memberi isyarat. komputer kecil yang kuletakkan di dalam poket jubah kuambil. Skrin komputer kutekan untuk menjawab panggilan yang memang kutunggu-tunggu sejak menyelesaikan Qiyamullail beberapa minit yang lalu.

"Assalamaulaiakum, General Jihad."
Kelihatan satu susuk tubuh gagah perkasa tiba-tiba muncul di hadapanku. Susuk tubuh yang memang sangat kukenal. General Amal namanya. Di belakangnya kelihatan beberapa orang berpakaian besi yang dilengkapi dengan senjata-senjata berat. Seperti pakaian robot gayanya.


"Waalaikumussalam saudaraku, Amal. Macamana dengan keadaan di sana? Apa khabarnya dengan saudara Ukhuwah, Faham dan Ikhlas, masih bertahan lagi kah mereka?

Kulihat Amal mengukir senyuman. Menyenangkan hatiku.


"Alhamdulillah keadaan di sini semakin baik setelah General Ikhlas dan pasukannya berjaya meletupkan sumber tenaga pihak musuh. Pihak musuh hanya mampu bersembunyi di dalam kubu mereka di Tel Aviv ketika ini. Alhamdulillah, General Ukhuwah dan General Faham dalam keadaan yang sangat baik ketika ini. Mereka berdua sedang memimpin tentera mujahidin untuk membuat persediaan terakhir sebelum serangan malam ni. General Ikhlas pula... Alhamdulillah, telah syahid dalam serangannya semalam."
Suasana menjadi hambar seketika. Wajah Ikhlas terbayang-bayang difikiran. Salah seorang saudara yang mewakili salah satu rukun bi'ah tidak hidup di dunia fana ini lagi dan ketika ini sudah pun berjaya mencapai satu darjat yang lebih agung daripada kami. Betapa beruntungnya Ikhlas memperoleh kesyahidan. Pemergian yang pasti takkan dilupakan. Apa tidaknya, seperti juga berakar kukuhnya rukun Bi'ah di dalam hati, begitu jugalah kukuhnya ingatan kami kepadanya.


"Insyaallah, pada tengah malam ini iaitu waktu subuh mengikut waktu Malaysia, kami akan melancarkan serangan terakhir ke atas tentera Israel. Mohon doa seluruh rakyat dan pemimpin Darul Wadud. Moga dipermudahkan kemenangan ini. Sampaikan salam dan khabar kami dari sini kepada Tan Seri Mohammad dan saudara-saudara Ashabul Wadud yang lain."

Beberapa minit berbincang, akhirnya Amal menghentikan perbualan, mungkin ada perkara lain yang ingin diuruskannya. Setelah itu, skrin komputer kutekan semula. Lapan orang panglima yang ditugaskan memimpin pasukan pertahanan di sempadan Darul Wadud kuhubungi. Alhamdulillah, semuanya memberikan khabar berita yang menggembirakan. Serangan tanpa henti Israel bersama sekutu-sekutunya, Britain dan Amerika sejak sebulan lalu sangat-sangat menekan. Empat daripada sepuluh lapisan pertahanan Darul Wadud berjaya mereka tembusi. Sehinggalah dua hari yang lalu semua serangan mereka dihentikan. Tidak kutahu mengapa. Mungkin kerana keadaan kubu utama mereka di Tel Aviv yang hanya menunggu masa untuk dijatuhkan itu mendesak kepulangan mereka.
Darul Wadud yang merupakan kubu utama Empayar Khalifah Islamiyah menjadi sasaran utama serangan tentera musuh. Saudara-saudara Ashabul Wadud yang lain iaitu Tadhiyyah, Siqah, Tajarrut, dan Thabat masing-masing ditaklifkan sebagai gabenor di setiap kawasan takluk Empayar Khalifah Islamiyah yang meliputi Tanah Besar Asia, kepulauan Tanah Arab dan sebahagian besar kawasan Amerika Selatan. Kesemua mereka berjaya mencapai kemenangan dalam perjuangan mempertahan kawasan masing-masing.

"Allahu akhbar, Allahu akhbar..."
Azan subuh berkumandang. Komputer kecil kututup. Terus melangkah ke arah Masjid Darul Wehdah yang berada tidak jauh di hadapan empayar utama Darul Wadud.


Setiba di Masjid, kulihat ratusan jemaah lelaki yang sedang kusyuk beribadat telah pun mengisi ruangan dalam masjid. Benarlah suatu kata tentang umat Islam yang takkan dapat dikalahkan selagi jumlah kehadiran jemaah subuhnya menyamai kehadiran solat Jumaat. Dalam jangka waktu sebulan ini, kubu musuh di Amerika dan Britain telah berjaya ditawan. Sebelum waktu Zuhur hari ini pula Palestin akan menjadi milik umat Islam semula, sekaligus memadam nama Negara Israel daripada peta atlas dunia.

Aku berjalan untuk mengambil tempat di saf paling hadapan. Di situ aku terserempak dengan Tan Seri Mohammad dan saudaraku, Taat, salah seorang daripada anggota Ashabul Wadud. Dia ditugaskan untuk menjaga keamanan di dalam Darul Wadud ini. Marshal Taat gelarannya. Waktu itu mereka sedang berbincang bersama beberapa orang pembesar Darul Wadud.

Setelah bersalam-salam dengan mereka aku terus menunaikan solat sunat Subuh. Seterusnya menunaikan solat fardhu Subuh secara berjemaah. Berimamkan Tan Seri. Surah Al-maidah dibacanya. mengingatkan aku tentang pengisytiharan kesempurnaan Islam oleh Allah melalui firmannya itu suatu ketika dahulu. Saat Islam baru sahaja berjaya menakluk dan membuka Makkah. Waktu itu ada sebahagian sahabat yang dapat menjangka pemergian Rasulullah meninggalkan dunia fana. Tanpa kusedar, ada titisan jernih menitis dari mata. Suasana itu sangat-sangat menenangkan hati. Pasti Luluh hati sesiapa saja yang berada dalam suasana seperti ini. Tiada apa di hatiku ketika itu, melainkan Allah. Tidak henti-henti hatiku berdoa untuk kesejahteraan ummat Islam di dunia dan akhirat.
Setelah selesai bersolat dan berdoa, Aku mengajak Tan Seri dan pembesar-pembesar yang lain untuk membuat perjumpaan bagi menyampaikan maklumat tentang keadaan di Palestin. Satu persatu berita kusampaikan.
Komputer kecilku bergetar memberi isyarat bahwa ada orang yang menghubungi. Skrin komputer kutekan. Imej tiga dimensi Amal dan Faham  muncul. Kali ini dengan wajah penuh ceria.

"Assalamualaikum semua barisan pemimpin yang hadir."


Amal bersuara penuh semangat. Di belakang kelihatan beberapa orang yang sedang menurunkan bendera Israel dengan penuh penghormatan. Salam Amal disambut dengan nada yang sama oleh pemimpin-pemimpin Darul Wadud.


"Alhamdulillah, Tel Aviv berjaya kita tawan tanpa ada pertumpahan darah."
Serentak kami bersujud tanda syukur kepada Allah. Semua jemaah yang beriktiqaf mendengar berita dengan penuh kegembiraan lantas turut sama bersujud tanda syukur. Anak-anak kecil berlari keluar daripada masjid sambil menjerit-jerit kegembiraan meraih kemenangan.


Dunia seakan berganti. Hati yang kecil seakan-akan besar dirasa. Suasana penuh syahdu menyelubungi masjid. Dinding, tiang-tiang, mimbar dan semua makhluk di seluruh dunia semuanya turut sama berzikir tanda syukur atas rahmat ini...Alhamdulillah~


*cerpen anugerah naib johan fetival zagazig '10 oleh saudara dr mazwan bin mohamad noh (jihad)

Wednesday 17 March 2010

NaK PiLiH SiApa Ni??

Bismillah arRahman arRahim..
Alhamdulillah..wasolatu wasalam ‘ala rasulillah…bersyukur kepada Allah kerana dengan limpah rahmatNya dapat lagi kita meneruskan perjuangan di muka bumi yang fana ini..
Sahabat sahabiah yang dikasihi sekalian..
Hari-hari yang berlalu terasa terlalu cepat berputar.. pejam celik sudah hampir ke penghujung tahun kedua pengajian sebagai pelajar perubatan.. Alhamdulillah kehidupan di bumi Zagazig ini tidaklah terlalu sibuk dan agak nyaman berbanding dengan tempat lain.
Dalam nyenyak kedamaian pada waktu sekarang, ramai yang sudah mula membicarakan tentang pilihanraya PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ).. mungkin kerana terlalu seronok dengan penubuhan cawangan tidak lama lagi, maklumlah sebelum ini kami hanya bernaung dibawah Organisasi PERUBATAN Zagazig (OPZ).
Dalam kita sibuk memikirkan siapakah yang bakal menjadi pimpinan, adakah kita semua benar-benar hadam tentang apakah itu sebuah organisasi, kepimpinan, anggota dan apakah tanggungjawab kita terhadap sesebuah organisasi???
Organisasi bolehlah diertikan sebagai suatu pergerakan yang mempunyai struktur pentadbiran yang kemas, tersusun dan terancang dengan sistematik untuk mencapai matlamat yang diimpikan..
Louis Allen, seorang Sarjana Pengurusan dan Pentadbiran Organisasi berpendapat bahawa:
"organisasi adalah merupakan mekanisme yang membolehkan anggota dalam sesebuah organisasi bekerja bersama dengan cekap"
Dari perspektif Islam pula, organisasi merupakan suatu gerakan yang diwujudkan untuk memenuhi kehendak dan cita-cita manusia yang  berfungsi sebagai khalifah Allah di alam sejagat ini untuk terus mendaulatkan Islam sebagai alternatif kehidupan.
Saidina Umar al-Khatab pernah berkata yang bermaksud:
“Tiada Islam kecuali dengan Jamaah (organisasi), tiada jamaah kecuali dengan pimpinan, dan tiada kepimpinan kecuali dengan ketaatan”

Peranan Pimpinan
Antaranya ialah mahir dalam selok-belok organisasi yang dipimpin dan sentiasa memikirkan dan menjaga kebajikan ahli.. kedua-dua elemen in  sangat penting dalam kehidupan sebagai seorang pemimpin yang terbaik.. apalah gunanya nilai seorang pemimpin andai kata dia hanya memikirkan hal ehwal peribadinya sahaja tanpa memikirkan tanggungjawab yang telah diamanahkan.. ringkasnya, terlalu banyak tanggungjawab sebagi seorang pemimpin dari segala aspek.
Saidina Umar al-Khatab pernah berkata:
“kalau rakyatku kelaparan, aku ingin menjadi orang pertama yang merasanya. Kalau rakyatku kekenyangan, aku ingin menjadi orang yang terakhir menikmatinya”
Pemimpin sebeginilah yang kita idam-idamkan..
                                                                                   
Peranan anggota
Sebagai seorang yang menyokong gerak kerja Islam, seorang pengikut atau ahli perlulah taat dan patuh pada arahan pemimpin selagi mana arahan tersebut tidak lari dari Islam sepertimana firman Allah dalam surah an-nisa’ ayat yang ke 59 yang mafhumnya:
Hai orang-orang yang beriman, taatlah kamu akan Allah dan taatilah RasulNya, dan ulil amri (pemimpin) di antara kamu. Kemudian jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”
Sebagai seorang ahli yang prihatin dan bijak, seharusnya kita  terbuka dalam memberi kritikan membina kepada pimpinan selagi mana kita menjaga adab-adab apabila mengemukakan hujah-hujah tersebut. Hal ini sangat penting dalam pengurusan dan kelancaran sesebuah organisasi kerana kadang-kadang pemimpin terlepas pandang akan kesilapan yang mungkin dia tidak sengajakan.. Cuma perkara yang paling penting yang perlu diberikan perhatian di sini ialah kritikan membina yang hendak diberikan mestilah terdapat padanya adab-adab yang perlu dijaga.
Akan tetapi apabila sampai suatu tahap pemimpin ditohmah, kita sebagai orang yang dipimpin perlulah bingkas bangun membela pimpinan jika mereka kita tidak bersalah.. perkara ini sangat penting dalam kehidupan berorganisasi.

Pilihan raya Perubatan Cawangan Zagazig
“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh”
                                                                                                                        (al-Ahzab: 72)
Apabila sebut tentang pilihan raya, sudah semestinya terdapat di situ proses pencalonan.. ada juga sahabat yang bertanyakan kepada saya tentang siapakah yang bakal menjadi pengerusi dan exco PCZ???
Pada pandangan peribadi saya, saya merasakan bahawa perlunya pemimpin yang matang sebagai seorang khalifah yang memimpin sesebuah organisasi. Kehidupan sebagai seorang pemimpin tertinggi sangatlah menakutkan kerana amanah yang dipertanggungjawabkan adalah sangat besar. Hanya orang yang tergila-gilakan kuasa sahaja yang merasakan bahawa jawatan adalah segala-galanya.
“jawatan merupakan suatu taklif (tanggungjawab), bukannya tashrif (kemuliaan)”
Bagi saya, calon pemimpin yang saya idamkan untuk membawa  misi dan visi  PCZ sudah semestinya orang yang boleh diharapkan.. maksud saya, orang yang saya rasa paling layak untuk menjadi pemimpin sesebuah organisasi ialah orang yang selalu memberikan dokongan dan sokongan kepada organisasi tersebut.. tidak perlulah saya menyebut siapakah yang dimaksudkan cumanya saya ingin menegaskan di sini bahawa mana mungkin orang yang selalu mengkritik membuta-tuli dan tanpa hujah yang kukuh mampu dan layak untuk dinaikkan sebagai pemimpin untuk sesebuah organisasi.. mungkin sebelum ini saya ada menyebut berkenaan perlunya ahli memberikan kritikan membina atau muhasabah kepada pimpinan jika kritikan tersebut dapat memperelokkan hala tuju  organisasi tersebut tetapi perlulah diingatkan disini bahawa ianya penuh dengan adab-adab terhadap pimpinannya.
Hujah saya ialah mana mungkin seorang yang jarang atau tidak pernah  menyertai program-program sesebuah organisasi  layak untuk memimpin organisasi tersebut. Bagi saya, orang yang sentiasa memberikan sokongan dan membantu adalah calon yang paling layak untuk dinaikkan sebagai pemimpin.. hal ini kerana kita dapat berfikir dengan logik bahawa jikalau sebelum seseorang itu dinaikkan sebagai pemimpin, dia sudah mampu memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap organisasi, apatah lagi jika dia pula yang memimpin organisasi tersebut.. matematiknya mudah, kan begitu???
Akan tetapi, perkara  yang paling penting sekali ialah keinginan dan keazaman untuk membawa Islam adalah yang paling utama.. bila mana sudah mendapat jawatan, perlulah difikirkan bagaimanakah caranya seorang pemimpin hendak membawa Islam dalam corak kepimpinannya. Tiada gunanya jika kita diberi peluang dengan adanya jawatan tetapi tiada sedikit pun perasaan ingin untuk membawa Islam sebagai cara hidup yang perlu diterapkan.

Konklusi
Saya sangatlah berharap agar kita yang akan ditanya kelak akan apa yang telah lakukan, melaksanakan tanggungjawab kita dengan sebaiknya. Berkenaan pencalonan dan pilihanraya PCZ yang bakal menjelang ini, sama-samlah kita membuat pilihan yang terbaik kerana masa depan PCZ terletak pada diri anda semua melalui pilihanraya pada kali ini.
"seribu langkah ke hadapan bermula dengan langkah yang pertama"
Jika mampu, sebelum kita pergi mencalon atau mengundi, sebolehnya kita lakukanlah solat sunat istikharah agar pilihan yang kita buat benar-benar mendapat petunjuk dari Allah. Semoga pilihan yang kita lakukan ini adalah yang terbaik untuk kegemilangan Islam pada masa hadapan.
“jika tidak mampu menjadi pendokong kepada Islam, jadilah penyokong kepada Islam tetapi janganlah sama sekali kita menjadi pengongkong kepada Islam”
Wallahu ‘alam..


Friday 12 March 2010

HakiKaT DoA


Bismillah arRahman arRahim..

(kali ni tiada idea untuk dikongsi..jadi terimalah perkongsian serba ringkas ini)

Syarat2 doa diterima.. 

1. lumba2 dlm kebaikan 
2. doa dgn penuh harapan dan gerun pada Allah 
3. khusyuk dan taat perintah Allah..

[dipetik dari surah al-anbia': 90]

Marilah kita perbanyakkan doa..jangan lupa untuk mendoakan  kawan- kawan serta kaum muslimin yang lain.. 

" Allahumma ya muqallibal qulub.. thabbit qulubana 'ala dinika wa 'ala to'atik"

-Ya Allah yang membolak-balikkan hati, Engkau tetapkanlah hati kami di atas agama Mu dan atas ketaatan kepada Mu-

amin..

wallahu 'alam..