Thursday 23 June 2011

TARBIAH melalui PEPERIKSAAN


Bismillah arRahman arRahim..

Allahumma solli 'ala saiyidina Muhammad, al-fatihi lima ughliqo wal khatimi lima sabaq
nasiril haqqa bilhaq, wal hadi ila siratikal mustaqim, wa 'ala alihi wa sohbihi haqqa qadrihi wa miqdarihil 'azim..

Alhamdulillah.. segala pujian hanyalah selayaknya bagi Allah, Tuhan yang menciptakan kita dari segumpal darah. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad SAW, insan yang tidak pernah melupakan pengikut-pengikutnya baik di dunia mahupun akhirat sana. Sollu ‘alannabi..

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”     [al-Baqarah: 214]

Di kala ini, mungkin ramai yang bercakap soal peperiksaan dek kerana masing-masing sibuk membuat persiapan bagi menghadapinya baik dari segi ulangkaji, belajar berkumpulan atau sebagainya. Namun begitu, sejauh mana peperiksaan ini dianggap sebagai suatu medium TARBIAH dalam membentuk insan yang bertaqwa kepada Allah?

TARBIAH melalui peperiksaan? Ya, itulah perkara yang ingin saya sentuh dalam entry kali ini. Mungkin ramai antara kita yang mengambil peperiksaan sekadar untuk mendapatkan segulung sijil atau mungkin sekadar lulus untuk bekerja dalam menghadapi saki-baki kehidupan yang entah tinggal berapa lama ini.

Ujian daripada Allah datang dalam pelbagai bentuk sesuai dengan suasana atau kondisi seseorang. Dalam kesibukan kita mengulangkaji pelajaran, pernahkah kita terfikir bahawa apa yang kita baca itu sebenarnya suatu ibadah? Apa yang lebih menyedihkan lagi, ada sesetengah daripada kita yang beranggapan bahawa apa yang diulangkaji itu akan membolehkan dia mendapat suatu keputusan yang baik dalam peperiksaan supaya dapat dipuji oleh kebanyakan orang.

Kadang-kadang saya bermonolog sendirian,

“Dalam fatrah imtihan ini semua sibuk mengulangkaji pelajaran. Entah banyak mana muka surat yang sudah habis dibaca akan tetapi bagaimana pula dengan al-Quran? Adakah kita baca sama seperti kita baca buku pelajaran?”

Jika kita serius dalam mengulangkaji pelajaran, mengapakah perkara yang sama kita tidak boleh lakukan terhadap al-Quran? Seandainya bila kita membaca buku pelajaran, kita memaksa diri kita untuk memahami dan kita akan melakukan apa sahaja sehingga kita benar-benar faham akan apa yang kita baca tetapi adakah kita melakukan perkara yang sama bilamana kita membaca al-Quran? Maaf cakap, usahkan faham, baca pun jarang-jarang dan belum tentu lagi!

Sidang pembaca sekalian,

Hari ini kita sibuk mengulangkaji pelajaran sehingga kadang-kadang terlupa tanggungjawab kita yang sebenar sebagai seorang hamba. Sibuk ulangkaji sehinggakan solat entah ke mana? Baca Quran jarang sekali? Solat sunat? Zikir harian? Dan entah macam-macam lagi perkara yang kita sering abaikan.

Di dalam peperiksaan pula, kita seolah-olah menafikan bahawa Allah itu Maha MELIHAT. Apabila kita merasakan bahawa kita tidak mampu menjawab sesuatu soalan, kita pasti akan memikirkan cara mudah untuk mendapatkan jawapan tersebut sehingga kadang-kadang saya terfikir apa gunanya kita mengulangkaji sebelum ini? Jika ulangkaji bersungguh-sungguh tetapi dalam peperiksaan tetap juga mengambil jalan meniru, di manakah letaknya TAWAKKAL kita kepada Allah?

Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu [at-Tolaq: 2-3]

Mungkin sekali kita berpendapat bahawa kejayaan itu datangnya dari usaha dan jawapan kita semata. Perlu diingatkan bahawa jika betul pun jawapan kita dalam peperiksaan, belum tentu lagi kita akan lulus dan berjaya kerana yang member kejayaan itu HANYA Allah. Tiada yang lain baik usaha kita, amalan kita, jawapan kita, pemeriksa kertas jawapan kita atau sesiapa sahaja.

Tika tidak mampu menjawab soalan di dalam peperiksaan, saya akan menggunakan masa tersebut untuk muhasabah diri. Masakan tidak, jika ujian di dunia ini kita hadapi tanpa PERSEDIAAN dan PERSIAPAN yang cukup menyebabkan kita tidak mampu menjawab soalan-soalan yang kita tidak mengetahui apa-apa tentangnya, bagaimana pula di akhirat nanti? Sudah pasti lebih teruk lagi tanpa PERSEDIAAN dan PERSIAPAN rapi dari segi amalan dan bekalan menuju suatu hari yang PASTI!

Komtemporari kini, ramai yang mengejar pekerjaan, jawatan, kemewahan dll yang sememangnya BELUM PASTI lagi sama ada kita akan sampai ke saat itu atau tidak akan tetapi berapa ramai yang beramal dan bersedia untuk menghadapi Hari Pembalasan yang sudah semestinya suatu tempat yang PASTI dengan disediakan ganjaran yang tidak pernah terlintas di benak fikiran kita.

Oleh itu, saya ingin mengajak sidang pembaca sekalian untuk sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah sesuai dengan firman Allah dalam surah az-Zaariyat ayat ke 56:

Dan tidak Aku (Allah) ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyerahkan dan memperhambakan diri kepada-Ku”

Kita perlu bangkit dari tidur dan sedar dari lamunan dalam erti kata menuju ke tempat yang PASTI! Jadikan pengalaman menghadapi peperiksaan DUNIA sebagai contoh dan muhasabah dalam meniti jambatan ke AKHIRAT yang sudah semestinya jauh perbezaannya. Kita yang sudah semestinya mengetahui KESAN dan AKIBAT BURUK jika tidak membuat PERSEDIAAN dan PERSIAPAN yang rapi bagi menghadapi UJIAN DUNIA ini, entah bagaimana pula nasib kita jika kita tidak bersedia bersungguh-sungguh dari segenap aspek bagi menghadapi UJIAN AKHIRAT nanti.

Moga-moga kita diberi kekuatan dan petunjuk dalam menghadapi saki-baki kehidupan kita sebelum kita bertemu di tempat yang sama-sama saya dan anda semua akan diadili atas segala apa yang kita pernah lakukan di dunia ini baik sebesar-besar perkara atau sekecil-kecilnya.

~Belajar dari PENGALAMAN semalam dengan menyusun PERANCANGAN pada hari ini demi mencapai KEJAYAAN pada hari ESOK~







Friday 17 June 2011

Couple Islamic


Syafiq, Safura dan Muhammad merupakan kawan baik sejak di bangku persekolahan. Namun begitu, Muhammad terpaksa berpindah ke sekolah lain dek kerana mengikut bapanya yang telah ditugaskan bekerja di tempat lain.

Syafiq dan Safura sama-sama meneruskan pembelajaran di SAM Bestari. Beberapa lama kemudian, Syafiq jatuh hati pada keayuan Safura. Matanya mengalahkan Zinnirah. Wajahnya berseri-seri dengan cahaya keimanan. Pergh!! Cantik sangatlah jika nak diceritakan. Tetapi, Syafiq cuba tahan. Dia tidak boleh meluahkan perasaan dia pada Safura sebab nanti takut kena tangkap dengan ajk pencegah maksiat sekolah.

Beberapa tahun berlalu... Akhirnya, apabila Syafiq berada di Tingkatan 5, dia sudah tidak mampu bertahan. Dia mengatur langkah dan akhirnya, Safura tewas pada pujuk rayunya. Walaubagaimanapun, mereka ini sedar yang mereka orang Islam. Islam tidak membenarkan umatnya ber’couple’. Jadi mereka berpakat yang mereka ini hendak membuat satu revolusi dalam couple.

"COUPLE ISLAMIC"

Asal keluar, pergi tempat terbuka. Tak mainlah tempat gelap-gelap ni. Bukan itu sahaja, bahkan Safura kena pakai tudung labuh. Syafiq pula pakai pakaian Islamik. Lepas itu mereka keluar bukan membuang masa, keluar bawa Al-Quran. Berhenti di kedai makan, tadarrus lagi. Jalan pula, mana ada pegang-pegang tangan, mereka ikut cara Nabi Musa. Lelaki di depan, perempuan di belakang. Bila balik rumah, missed call pagi-pagi, suruh qiamullail. Hah! kan Islamic punya couple tu.

Setelah setahun mengamalkan taktik sedemikian, Syafiq ditakdirkan bertemu dengan Muhammad. Ketika itu Syafiq dan Safura sedang bertadarrus di RFC. Muhammad tiba-tiba datang menghampiri mereka kerana tiada tempat duduk. Lalu Muhammad pun duduk bersama-sama mereka.

"Have you married?"  tanya Muhammad yang kehairanan.

"No,"  jawab Safura.

"So, why you sit together with this ajnabi alone here,"  tanya Muhammad.

"Kami couple, tapi Islamic way,"  jawab Syafiq dengan perasaan bahagia.

Muhammad hanya tersenyum mendengar jawapan itu. Muhammad pun memulakan ceritanya.

"Aku ni muallaf. Asal dulu aku kristian. Tinggal kat Singapore. Dulu, aku suka sangat makan babi. Kalau sehari tak makan, pengsan aku. Pernah sekali mak aku terlupa beli babi, aku masuk wad malam tu. Tetapi, Alhamdulillah, Allah buka pintu hati aku untuk terima hidayah-Nya.”

“Bila aku masuk Islam, aku dapat tahu, dalam Islam tak boleh makan babi. Aduh, pening kepala aku. Macam mana aku nak buat ni??? Seminggu aku masuk hospital lepas masuk Islam. Kalau zaman Rasulullah dulu ada peringkat-peringkat dia. Tapi aku…mana ada.”

Dia menyambung lagi,

“Jadi, time kat hospital tu aku berfikir. Akhirnya, aku jumpa satu jalan keluar. Aku nak Islamkan babi tu. Aku beli seekor anak babi. Dari kecil aku jaga dia. Seekor lalat pun aku tak bagi dekat. Setiap jam aku mandikan dia. Lepas 3 hari, aku bisikkan kat telinga dia dua kalimah syahadah. Lepas tu, tiap-tiap hari aku bagi tazkirah kat babi tu. Asal dia berak aku vacuum terus.”

“Camnilah kehidupan aku dan babi tu selama 2 tahun. Lepas dua tahun, masa yang ditunggu-tunggu tiba. Masa untuk sembelih babi ni. Tengok-tengok babi ni tak dak leher. Tapi, lantaklah. Aku hentam je sebab dah 2 tahun tak makan babi ni. Lepas tu, aku pun masak la bakut teh. Tengah-tengah makan, nampak seorang ustaz tengah jalan-jalan. Muka macam lapar je. Aku pun ajak la dia makan.”

“Ustaz!!!  jom makan.. Babi Islam nih!”      (-.-"


*****************************************

Pengajaran: MATLAMAT yang BAIK/HALAL di sisi ISLAM tidak pernah mengHALALkan CARA yang SALAH!!!

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui” (al-Baqarah: 42)

Tuesday 14 June 2011

Nak TIRU? Silakan..



Bismillah arRahman arRahim..

Alhamdulillah.. Seinfiniti kesyukuran kita ucapkan kepada Allah kerana masih lagi memberi nikmat yang terbesar dalam kehidupan iaitu nikmat IMAN dan ISLAM yang jika hendak ditukarkan dengan dunia dan seisinya pun belum tentu mampu untuk menyamai dengan tingginya nilai 2 nikmat tersebut.

Menjelang musim peperiksaan ini, sudah semestinya ramai yang sibuk mengulangkaji pelajaran. Tidak kurang juga dengan golongan-golongan yang ‘berpakat’ untuk meniru dalam peperiksaan. Jadi, pada kali ini, saya ingin berbicara tentang bolehkah kita ‘meniru’ sewaktu peperiksaan? Apakah faedahnya daripada meniru? Apakah langkah bagi mencegah dari meniru?

Pertamanya, perlulah diingatkan bahawa meniru  boleh diklasifikasikan sebagai menipu dan menipu itu ialah haram. Nabi SAW pernah bersabda:-

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ  مَرَّ على صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فيها فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فقال ما هذا يا صَاحِبَ الطَّعَامِ قال أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يا رَسُولَ اللَّهِ قال أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ الناس من غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
 
Ertinya : "Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. pernah melalui seorang laki-laki yang sedang menjual makanan (biji-bijian). Baginda sangat mengaguminya, kemudian memasukkan tangannya ke dalam tempat makanan itu, apabila dilihatnya makanan itu nampak basah, maka bertanyalah beliau: Apa yang dilakukan oleh pemilik makanan ini? Ia menjawab: Kena hujan. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: "Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di atas, supaya orang lain mengetahuinya?! barangsiapa menipu , bukanlah (mereka) dari golongan kami (Islam)"                                                                                                   
                                                                        (Riwayat Muslim, 1/99)

            Apa yang membimbangkan kita ialah kaedah meniru ini dijadikan sebagai ‘trump card’ dalam peperiksaan. Gejala ini dilihat sangat berbahaya untuk masa depan kita baik sebagai doktor ataupun selainnya. Sebagai contohnya, kita tidak mengetahui tentang sesuatu perkara sewaktu peperiksaan, maka kita pun menggunakan ‘trump card’ yang terakhir ini dan kemudiannya kita mendapat keputusan yang agak baik dalam pelajaran tersebut. Jika ditanya  kelak, apa yang akan kita jawab? “Saya tidak ingat la…” atau “saya pun meniru tajuk ini, jadi saya tidak pasti sangat la.” Adakah itu jawapan yang akan kita berikan? Apakah kejayaan sebenar bagi anda?

Pada pandangan saya, orang yang berjaya bukanlah orang yang bermegah dengan keputusan cemerlang atas usaha meniru dalam peperiksaan akan tetapi orang yang benar-benar cemerlang ialah yang berusaha bersungguh-sungguh, yakin dengan diri sendiri dan sedar akan kemampuan sendiri. Sudah semestinya ramai yang akan memuji kita atas kecemerlangan kita tetapi adakah Allah yang Maha Kuasa yang  memberikan kecemerlangan tersebut memuji kita atas kejayaan yang kita kecapi? Adakah kita hidup didunia ini hanya untuk mendapat pujian manusia? Apakah tujuan sebenar kita belajar?

Jika ditanya pada anda, saya yakin dan percaya bahawa sudah pasti anda akan menjawab tujuan anda belajar ialah untuk mencapai redha Allah. Perlu diingatkan bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. Dalam usaha kita hendak menggapai redha Allah, semestinya kita tidak dapat mencampurkan yang haq dan batil seperti dalam firman Allah:-

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedang kamu mengetahui”                                                                                                                                                (al-Baqarah: 42)

Selain itu, Nabi SAW juga pernah mencela orang Yahudi yang apabila diharamkan memakan daging babi dan lain-lain, mereka membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijualnya. Apabila Nabi mendapat tahu lalu terus berkata :- 

"Allah akan menghancurkan Yahudi yang mana mereka ini apabila Allah mengharamkan makan lemak (babi, bangkai dan lain-lain yang diharamkan), lalu mereka membuat helah dengan menjualnya serta menikmati hasil jualannya" 
( Riwayat Al-Bukhari no 2111, 2/775 ; Muslim, Baihaqi )

Dari dalil-dalil di atas, jelas kepada kita hukum meniru dalam peperiksaan adalah haram baik pelajar, mahasiswa/wi atau sesiapa sahaja kerana ia adalah satu bentuk penipuan. Juga dapat difahami setiap hasil keuntungan duniawi yang terhasil dari yang haram, maka hukumnya adalah haram jua. Tatkala itu, kenaikan gaji dan seumpamanya juga adalah dikira pendapatan yang haram. Amat malang, penipuan yang memberi manfaat dunia seperti ini cukup digemari oleh ramai orang, tanpa mereka sedari kehidupan akhirat mereka dalam bahaya apabila kehidupan harian mereka dikelilingi oleh duit kenaikan gaji dan untung haram tanpa mereka sedari.

 Dosa ini ibarat 'time bomb' yang amat menderitakan di alam barzakh, ibarat 'time bomb'  yang akan meletup sejurus seorang itu disapa kematian. Mati dalam keadaan sebegini, adalah mati dengan penuh dosa disebabkan hartanya.

Jadi, untuk mencegah perkara ini dari terus menular, kita perlulah bersedia dengan sebaik mungkin fizikal mahupun mental. Kita juga perlulah kuatkan diri kita untuk melawan nafsu dan syaitan yang sentiasa mengajak kepada perkara-perkara yang dilarang oleh Allah ini. Kepada yang meniru pada masa lepas, segeralah bertaubat dan menanamkan azam untuk tidak meniru lagi pada masa hadapan. Kita perlu ingat tujuan kita belajar adalah kerana Allah. Jadi, mana mungkin Allah meredhai kita sedangkan kita cuba untuk mendapatkan redhanya dengan perkara murahan seperti meniru tersebut. Matematiknya mudah, kan begitu?

Konklusinya, kita perlulah sedar bahawa kejayaan tanpa keberkatan tidak akan memandu kita kearah yang hendak kita tujui pada akhirnya. Ibnu 'Athoillah dalam karangannya, kitab al-Hikam :-

 "Sebaik-baik dalam hidupmu ialah ketika kamu menyedari kekurangan diri dan kembali kepada kerendahan dirimu"

Marilah sama-sama kita berdoa dan bermunajat moga-moga kejayaan yang ingin kita capai yang bukan sahaja didunia ini bahkan di akhirat nanti mendapat restu dan rahmat dari Ilahi.

~Belajar dari PENGALAMAN semalam dengan menyusun PERANCANGAN pada hari ini demi mencapai KEJAYAAN pada hari ESOK~


Saturday 11 June 2011

Telefon Percuma...!!!

Assalaamu’alaikum,

Pernahkah Anda bayangkan bila pada saat kita berdoa, kita mendengar ini:

Terima kasih, Anda telah menghubungi “Baitullah”.

Tekan 1 untuk ‘meminta’.
Tekan 2 untuk ‘mengucap syukur’.
Tekan 3 untuk ‘mengeluh’.
Tekan 4 untuk ‘permintaan lainnya’.”

Atau….

Bagaimana jika Malaikat memohon maaf seperti ini:

“Saat ini semua malaikat sedang membantu pelanggan lain. Tetaplah
sabar menunggu. Panggilan Anda akan dijawab berdasarkan urutannya.”

Atau, pernahkah Anda bayangkan bila pada saat berdoa, Anda mendapat
respons seperti ini:

“Jika Anda ingin berbicara dengan Malaikat,

Tekan 1. Dengan Malaikat Mikail,
Tekan 2. Dengan malaikat lainnya,
Tekan 3. Jika Anda ingin mendengar sari tilawah saat Anda menunggu,
Tekan 4. “Untuk jawapan pertanyaan tentang hakikat syurga &
neraka,silakan tunggu sampai Anda tiba di sini!!”

Atau mungkin juga Anda mendengar ini :

Sistem kami menunjukkan bahawa Anda telah satu kali menelefon hari ini. Silakan cuba lagi esok.”

atau…

Pejabat ini ditutup pada hujung minggu. Sila hubungi semula pada hari Isnin selepas pukul 9 pagi.”

*************

Alhamdulillah. .. Allah SWT mengasihi kita, Anda dapat menelefon-Nya setiap saat!!!

Anda hanya perlu untuk memanggilnya bila-bila saja dan Dia mendengar anda.. Kerana bila memanggil Allah,tidak akan pern ah mendapat talian sibuk. Allah menerima setiap panggilan dan mengetahui siapa pemanggilnya secara pribadi.

Ketika Anda memanggil-Nya, sila gunakan nombor utama ini: 24434

2 : solat Subuh
4 : solat Zuhur
4 : solat Asar
3 : solat Maghrib
4 : solat Isya

Atau untuk lebih sempurna dan lebih banyak afdhalnya, gunakan nombor ini :
28443483

2 : solat Subuh
8 : solat Dhuha
4 : solat Zuhur
4 : solat Asar
3 : solat Maghrib
4 : solat Isya
8 : Solat Tahajjud atau lainnya
3 : Solat Witir

Maklumat terperinci terdapat di Buku Telefon berjudul “Al Qur’anul Karim & Hadis Rasul”

Talian terus , tanpa Operator tanpa Perantara, tanpa bil..

Nombor 24434 dan 28443483 ini memiliki jumlah talian hunting yang tak terhingga dan dibuka 24 jam sehari 7 hari seminggu 365 hari setahun!!!

Sebarkan maklumat ini kepada orang-orang di sekeliling kita. Mana tahu mungkin mereka sedang memerlukannya

Sabda Rasulullah S.A.W : “Barang siapa hafal tujuh kalimat, ia terpandang mulia di sisi
Allah dan Malaikat serta diampuni dosa- dosanya walau sebanyak buih laut”

7 Kalimah ALLAH:

1. Mengucap “Bismillah” pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.
2. Mengucap “Alhamdulillah” pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.
3. Mengucap “Astaghfirullah” jika lidah terselip perkataan yang tidak patut.
4.. Mengucap “Insya-Allah” jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.
5. Mengucap “La haula wala kuwwata illa billah” jika menghadapi
sesuatu tak disukai dan tak diingini.
6. Mengucap “inna lillahi wa inna ilaihi rajiun” jika menghadapi dan
menerima musibah.
7. Mengucap “La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah” sepanjang
siang dan malam sehingga tak terpisah dari lidahnya.

Dari tafsir Hanafi, mudah-mudahan ingat, walau lambat-lambat. ..
mudah- mudahan selalu, walau sambil lalu… mudah-mudahan jadi bisa, kerana sudah biasa.

Friday 3 June 2011

Jalan Pintas

Tazkirah Jumaat:

Bismillah arRahman arRahim..

Alhamdulillah, syukur atas nikmat Allah yang masih diberikan kepada kita, nikmat IMAN dan ISLAM serta nikmat KEHIDUPAN. Dalam tidak sedar, sebenarnya Allah mahu menguji sama ada kita ini benar-benar beriman atau pun sebaliknya..

kawan-kawan yang dikasihi sekalian,

Dalam fatrah menghadapi imtihan duniawi hari ini, saya tertanya-tanya akan apa perlunya kita berusaha mengulangkaji bagi menghadapi imtihan ini?

Mungkin ramai berpendapat bahawa usaha adalah suatu perkara yang sangat penting dalam mencapai kejayaan yang diidam. Setuju? Namun begitu, isu utama yang saya hendak timbulkan ialah apa gunanya jika kita penat berusaha dan akhirnya kita menggunakan 'jalan pintas' di saat kita kebuntuan menjawab peperiksaan? Adakah 'jalan pintas' tersebut juga merupakan salah satu 'usaha' yang kita maksudkan?

Tidak perlu untuk saya ulas dan jelaskan mengenai isu ini kerana saya yakin dan percaya bahawa anda semua arif tentang hukumnya. Saya cuma ingin mengingatkan bahawa betapa pentingnya kita berjaya sebagai seorang pelajar akan tetapi LEBIH PENTING untuk kita berjaya dalam keadaan yang DIREDHAI.

Biarlah kita dilihat gagal tetapi atas usaha dan kemampuan kita sendiri (na'uzubillah) kerana apalah gunanya kita berbangga diri dan disanjung tinggi atas kejayaan yg kita kecapi akan tetapi dengan jalan yg tidak diberkati.

"sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya" (as-Syams: 9-10)

Justeru, saya mengajak anda untuk sama-sama kita meningkatkan keTAQWAan kita kepada Allah, Tuhan yang Maha Memberi. Saya optimis bahawa suatu hari nanti pasti kita mendapat ganjaran yang kita idamkan, jika tidak di dunia ini, siapa tahu di akhirat nanti?

Marilah sama-sama kita memohon agar Allah memelihara kita dari perkara-perkara mungkar dan seterusnya memberi kejayaan yang cemerlang dalam kehidupan kita. Insyaallah.. Barakallahufikum.. Bittaufiq wannajah..

~Belajar dari PENGALAMAN semalam dengan menyusun PERANCANGAN pada hari ini demi mencapai KEJAYAAN pada hari ESOK~