Wednesday 20 July 2011

Jantung bukan Hati..!!


Pernah seorang pakar jantung bertanya saya tentang sabda Nabi s.a.w: “Ketahuilah bahawa dalam jasad ada seketul daging, apabila baik maka baiklah jasad, apabila rosak maka rosaklah jasad. Ketahuilah ia adalah hati!”. 

 Dia bertanya saya mengapakah Nabi s.a.w menyebut ‘hati’ tidak menyebut jantung sedangkan jantung adalah organ terpenting dan penentu dalam tubuh manusia.

Saya jawab: Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim itu, Nabi s.a.w tidak pernah menyebut ‘hati’, sebaliknya menyebut al-qalb iaitu jantung. Adapun hati dalam bahasa Arab disebut kabid. Namun, malangnya dalam bahasa Melayu jantung selalu diterjemah sebagai hati. Sedangkan bahasa Inggeris menterjemah dengan betul iaitu ‘heart’ yang bermaksud jantung.

Cumanya, orang Melayu menterjemahkan ‘you are in my heart’ sebagai ‘awak dalam hatiku’ padahal hati dalam bahasa Inggeris ‘liver’ bukan ‘heart’. Namun ‘heart attack’ tetap sebagai serangan jantung, tidak pula serangan hati.

Begitu ‘heart disease’ sebagai penyakit jantung. Mungkin kerana ia berkaitan sakit, jika salah terjemah buruk padahnya. Jangan sampai doktor yang sepatutnya membedah jantung dibedahnya hati. Orang boleh derma hati dan terus hidup, namun tidak mungkin boleh derma jantung dan terus hidup.

Qalb dan Qulub

Al-Quran dan Sunnah menggunakan perkataan qalb (jantung) atau qulub (jantung-jantung) sebagai kata jamak atau plural untuk qalb. Sejak dahulu perkataan qalb difahami oleh orang Arab sebagai organ yang tergantung dalam tubuh manusia.

Dalam kamus rujukan bahasa Arab yang terpenting, iaitu Lisan al-‘Arab, pengarang Ibn Manzur (meninggal 711H) menyatakan: Al-Qalb: segumpal daging dari fuad (jantung) yang tergantung dengan urat besar tempat ia bergantung” (Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab 1/687, Beirut: Dar al-Fikr).

Disebabkan perkembangan ilmu perubatan, maka dalam kamus Arab moden takrifan lebih terperinci. Dalam al-Mu’jam al-Wasit disebut: “al-Qalb ialah organ berotot dalaman yang menerima darah daripada salur darah dan mengepam ke arteri” (al-Mu’jam al-Wasit, 2/753).

Ini sama dengan maksud jantung dalam Kamus Dewan Bahasa: “Organ berotot yang mengepam darah ke seluruh badan” (Kamus Dewan Bahasa Edisi Ke-3, 519).

Jelas, qalb atau kata jamaknya qulub yang digunakan oleh orang Arab, demikian digunakan oleh al-Quran dan Hadis tidak merujuk kepada hati, tetapi merujuk kepada jantung. Terjemahan Inggeris lebih tepat iaitu ‘heart’. Malangnya, hingga terjemahan heart dari Inggeris ke melayu juga tidak stabil kerana kadang-kadang diterjemah sebagai hati, kadang-kadang diterjemah sebagai jantung.

Kekeliruan

Kekeliruan dalam memberikan maksud qalbu atau heart ini telah menyebabkan Kamus Dewan Bahasa memberikan maksud perkataan hati yang pelbagai. Disebut dalam Kamus Dewan: “Hati: 1. organ dlm badan yg berwarna perang kemerah-merahan di dlm perut di bahagian sebelah kanan…2. = jantung.. 3. batin (tempat perasaan, pengertian)..”. (ibid, 445).

Sementara itu dalam satu artikel yang diterbitkan oleh Jurnal Bahasa DBP (Jilid 5, Bilangan 4, 2005) Imran Ho Abdullah dan Norsimah Mat Awal cuba memberikan maksud hati secara konsep dan metafora dalam bahasa Melayu. Artikel mereka itu berjudul “Pengkonsepsian dan Pemetaforaan Hati”.

Namun saya melihat, justifikasi bahasa di sudut konsep dan metafora yang cuba diberikan dan juga kepelbagaian maksud hati sehingga diterjemahkan salah satunya sebagai jantung, tetap mengelirukan bagi memahami maksud asal qalb dalam al-Quran dan Hadis.

Bahkan penyataan hati bermaksud jantung dalam bahasa Melayu itu sendiri boleh mengelirukan kerana keduanya organ yang berbeza. Apatahlagi, kajian saintifik moden benar-benar membezakan peranan antara kedua organ tersebut.

Jika pun boleh diterima, salah satu pengertian hati itu disebutkan oleh Kamus Dewan sebagai batin atau tempat perasaan. Ini hampir ada persamaan dengan maksud akal (al-‘Aql) yang sebut juga sebagai salah satu maksud qalb dalam Lisan al-‘Arab (m.s 687).

Maka perkataan qulub atau qalb dalam nas-nas Islam lebih tepat diterjemahkan sebagai jantung, atau jika hendak digunakan juga perkataan hati mungkin boleh disebut ‘jantung hati’. Sebahagian penulis atau pembicara suka menggunakan perkataan ‘kalbu’ seperti ungkapan dalam ‘dalam kalbuku ini’.

Perkataan kalbu dianggap sebagai ungkapan qalb dalam yang dimelayukan. Ya, mungkin boleh, tetapi bagi yang mengetahui bahasa Arab ia agak berat sebab kalb iaitu dengan huruf ‘kaf’ (=kalb atau kalbun) dalam Bahasa Arab bermaksud anjing. Jika dengan huruf ‘qaf ‘ (=qalb atau qalbun) barulah bermaksud jantung.

Al-Quran dan Hadis

Hari ini dengan kemajuan sains dan teknologi, begitu banyak mukjizat sains dalam al-Quran dan Hadis ditemui. Maka, menterjemah perkataan qalb atau qulub dalam kedua sumber itu dengan maksud asalnya iaitu jantung adalah suatu kemestian. Jika tidak, nanti orang Melayu gagal memahami rahsia saintifik di sebalik perkataan tersebut. Amat besar perbezaan fungsi antara jantung dan hati!

Dengan itu kita sepatutnya menukar terjemahan ayat-ayat al-Quran seperti: “dalam hati-hati mereka ada penyakit” (al-Baqarah: 10) dengan “dalam jantung-jantung mereka ada penyakit”. Begitu juga: “mereka berkata dengan mulut-mulut mereka, apa yang tiada dalam hati-hati mereka” (Ali ‘Imran: 167), diterjemahkan “…apa yang tiada dalam jantung-jantung mereka”. Begitulah seterusnya. Bahasa Inggeris telah menterjemah dengan tepat seperti “in their hearts is disease..”, “..what was not in their hearts”.

Ini bukan kerana ingin menyalahkan bahasa kita yang telah berjalan sejak sekian lama. Namun, tujuannya bagi mendekatkan kefahaman secara lebih tepat penggunaan perkataan yang dipilih oleh al-Quran dan Hadis atau dalam Bahasa Arab. Perkembangan ilmu terutamanya sains juga mengajak kita lebih teliti terhadap istilah-istilah al-Quran dan Hadis ini. Sekali lagi, jantung bukan hati!

SUMBER: http://drmaza.com/home/?p=1084

Friday 15 July 2011

Hidupkan HATI

Hati yang hidup menggerakkan potensi yang ada pada diri seseorang.

Sebaliknya, hati yang mati membunuh segala bakat dan potensi diri.

Sesuatu umat hanya boleh dibangunkan dengan menggerakkan potensi dirinya serta mengarahkannya kepada pembangunan.

Dengan pengutusan Rasulullah SAW, segala bakat dan potensi sahabat yang selama ini terpendam digerakkan dengan penghayatan al-Quran.

Hati yang hidup adalah hati yang subur dan bersedia untuk mendengar, melihat dan menerima kebenaran.

Hati yang hidup begini mempunyai nur, tenaga dan kekuatan. Ia sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dengan penuh khusyuk, takwa serta kasih dan simpati kepada sesama makhluk.

Hati yang dihidupkan dengan al-Quran bersedia mematuhi segala perintah syarak.

Dengan mematuhi segala perintah syarak barulah kehidupan manusia akan sempurna. Bukankah Allah berfirman bermaksud:

"Sesungguhnya al-Quran ini membimbing ke jalan yang lurus (benar)." - Surah al-Isra’, ayat 9

Perkara ini disebutkan juga dalam firman-Nya bermaksud:

"Taha (maknanya hanya diketahui Allah). Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu supaya kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah; iaitu diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi?" - Surah Taha, ayat 1-4

Maka untuk menghidupkan hati dengan al-Quran, kita memerlukan beberapa syarat:

1.     Pertama, al-Quran hendaklah dibaca dengan tenang dan khusyuk, dalam keadaan bersunyi diri (berkhalwah), terutama pada waktu tengah malam atau fajar (Subuh).

Allah berfirman bermaksud:

"Sesungguhnya membaca al-Quran pada waktu fajar (Subuh) itu disaksikan malaikat." - Surah al-Isra’, ayat 78

2.    Kedua, membaca al-Quran dengan pengamatan maknanya seperti yang dijelaskan dalam firman Allah bermaksud:

"Tidakkah mereka merenungi (tadabur) al-Quran itu?" - Surah Muhammad, ayat 24

Pembacaan yang disertai dengan renungan dan pengamatan sedemikian akan membuka pintu hati seseorang untuk menerima kebenaran yang terkandung dalam al-Quran.

Dengan perkataan lain, roh dari alam tinggi (alam Ketuhanan) yang dibawa oleh al-Quran itu akan turun dan meresapi ke dalam hati pembaca al-Quran kemudian ia menghidupkannya.

Dengan itu hati dapat mengenal kebenaran dengan mudah dan mencintainya. Nilai kebenaran dan kebaikan akan tumbuh subur dalam jiwanya. Lantas ia menyukai kedua-keduanya, tetapi membenci dan menentang kebatilan dan kejahatan.

3.    Ketiga, sentiasa bersikap bersedia untuk menerima kebenaran al-Quran sebelum membaca atau mendengarnya.

Manusia sering dikuasai oleh hawa nafsunya. Segala keinginan dunia (hingga membawa kepada kegilaan) adalah dinding (hijab) tebal yang menutup hati seseorang itu sehingga menyebabkan enggan menerima hidayah Allah melalui al-Quran.

4.    Keempat, merealisasikan kehambaan ('ubudiyyah) diri sewaktu membaca al-Quran.

Perasaan ini akan dapat menimbulkan keazaman untuk merealisasikan segala ajaran al-Quran yang dibaca itu dalam kehidupan. Ini semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah.

Dalam perkataan lain, pembacaan yang sedemikian akan menimbulkan keazaman untuk bermujahadah iaitu melawan kemahuan diri yang bertentangan dengan tuntutan ‘ubudiyyah kepada Allah.

Melaksanakan segala perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran adalah tafsiran makna ayat yang dibacanya itu di dalam kehidupan.

Untuk memastikan ia terus hidup dan segar, maka hati perlu sentiasa menjalani proses mujahadah (melawan segala kemahuan diri yang bertentangan dengan ajaran Islam).

Hati yang tidak bermujahadah, ertinya hati itu beku dan kotor. Hati yang kotor dan beku menyebabkan seseorang itu tidak ingin melakukan kebaikan, malah ia sentiasa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Perkara ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud:

Huzaifah berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam.”

"Begitu juga dengan hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati itu terbahagi kepada dua.”

"Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga yang berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan." (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Iman, Hadis No. 207)

Sumber: http://www.iluvislam.com/tazkirah/dakwah/853-4-syarat-hidupkan-hati-dengan-al-quran.html

Sunday 10 July 2011

Eh! Kamu nak jadi Ustazah ke?


Hari itu adalah hari penyerahan kad laporan peperiksaan. Seperti biasa ibu bapa sibuk bertemu dengan guru-guru kelas dan guru-guru yang mengajar untuk mengetahui prestasi anak-anak mereka. Tiba-tiba datang rakan saya Ustazah Sal mengadu.

"Macam-macam perangai la parents ni!" rungut Sal

"Kenapa Sal?" Tanya saya

"Tu, ada mak pelajar saya tadi, anak dia dapat 96% untuk subjek Pendidikan Islam, dia bukannya bersyukur, tapi kata pulak kat anak dia.."

"Kata apa?" tanya saya ingin tahu.

"Sambil marah, dia sindir pada anak dia, "Eh, kamu nak jadi ustazah ke, dapat agama tinggi nih?" Mana saya tak sedih" kata Sal.

"Dah la tak syukur, pandang rendah pula kat subjek Pendidikan Islam, lepas tu, ingat jadi ustazah tu hina sangat ka" tambah Sal, lagi.

Saya perasan, memang Sal amat terkilan, saya pun terkilan. Ini bukan masalah menjatuhkan air muka seorang rakan, tapi soal sikap ibu bapa hari ini. Serta sikap segelintir masyarakat secara keseluruhannya. Pendidikan Islam dianggap tidak penting dalam senarai pencapaian akademik mereka. Biar Pendidikan Islam dapat rendah, asalkan subjek lain terutamanya Matematik dan Sains dapat tinggi. Baru masa 'depan' terjamin, fikir mereka.

Namun lebih jauh dari itu, terdetik di hati, Pendidikan Islam bukan sahaja untuk dikuasai semasa peperiksaan, bahkan matlamat sebenarnya adalah untuk diamalkan. Hari ini manusia memandang rendah pada pendidikan Islam sebab mereka melihat pendidikan ini menggunakan kacamata maddiyyah (kebendaan). Mereka lihat masa depan yang dekat. Tidak mencecah ke alam yang satu lagi.

Realitinya kini agak berbeza. Daripada sekian ramai pelajar-pelajar yang melangkah pergi sekolah, berapa ramai yang belajar kerana Allah. Sekurang-kurangnya untuk pendidikan Islam, tasawur Islam atau seumpamanya, berapa ramai yang ikhlas untuk mengamalkan ilmu serta mendakwahkan kepada orang lain.

Daripada sekian ramai ibubapa yang menghantar anak ke sekolah, berapa ramai yang mengharapkan anaknya menjadi anak yang soleh dan solehah, bukan sekadar mengharapkan anaknya menjadi doktor yang hebat serta jurutera yang cekap.

Soalan yang saya sendiri tak mampu menjawabnya.

Saya teringat lagi hari penyerahan kad laporan itu. Memang tak dinafikan ramai ibu-ibu yang tidak bertudung, memakai jean, blaus dan seumpamanya. Tapi, namanya Islam. Ibu-ibu inilah yang akan dan sedang mendidik anak-anak muda generasi baru.. Salah satunya saya sapa:

"Assalamualaikum, puan!"

"Selamat pagi" jawabnya.

Terkedu saya dibuatnya.

sumber: http://www.iluvislam.com/keluarga/ibu-bapa/2977-qeh-kamu-nak-jadi-ustazah-keq.html?fb_comment_id=fbc_10150240681464909_17339738_10150244248179909#fa28ee72813c02

Thursday 7 July 2011

Syeikh dan Pencuri


Pendahuluan: Syeikh Abdullah bin Abdul Aziz bin Baz merupakan seorang ulama' yang sangat dikenali dan  dihormati oleh ummat Islam di seluruh dunia. Beliau merupakan mantan Mufti Arab Saudi dan meninggal dunia pada tahun 1999. Semoga Allah meredhai dan mengampuni Syeikh.

Salah seorang murid Syeikh Ibnu Utsaimin rahimahullah menceritakan kisah ini kepada-ku (penulis kisah ini). Dia berkata: Pada salah satu pengajian Syeikh Ibnu Utsaimin rahimahullah di Masjidil Haram, salah seorang murid beliau bertanya tentang sebuah masalah yang di dalamnya ada syubhat, serta pendapat dari Syeikh Bin Baz rahimahullah tentang masalah tersebut. Maka Syeikh Ibnu Utsaimin rahimahullah menjawab pertanyaan penyoal soalan serta memuji Syeikh Bin Baz rahimahullah. Ditengah-tengah mendengar pengajian, tiba-tiba ada seorang lelaki dengan jarak kira-kira 30 orang dari arah sampingku kedua matanya mengalirkan air mata dengan deras, dan suara tangisannya pun keras hingga para murid pun mengetahuinya.

Di saat Syeikh Ibnu Utsaimin rahimahullah selesai dari pengajian, dan majlis sudah sepi aku melihat kepada pemuda yang tadi menangis. Ternyata dia dalam keadaan sedih, dan bersamanya sebuah mushaf. Aku pun lebih mendekat hingga kemudian aku bertanya kepadanya setelah ku ucapkan salam: “Bagaimana khabarmu wahai akhi (saudaraku), apa yang membuatmu menangis?”

Maka ia menjawab dengan bahasa yang mengharukan, “Jazakallahu khairan. ” Aku pun mengulangi sekali lagi, “Apa yang membuatmu menangis akhi?”

Dia pun menjawab dengan tekanan suara yang haru, “Tidak apa-apa, sungguh aku telah ingat Syaikh Bin Baz rahimahullah, maka aku pun menangis. ”

Kini menjadi jelas bagiku dari penuturannya bahwa dia dari Pakistan, sedang dia mengenakan pakaian orang Saudi.

Dia meneruskan keterangannya: “Dulu aku mempunyai sebuah kisah bersama Syaikh Bin Baz rahimahullah, iaitu sepuluh tahun yang lalu aku bekerja sebagai kerani di sebuah kilang perusahaan batu-bata di kota Thaif. Suatu ketika datang sebuah surat dari Pakistan kepadaku yang menyatakan bahwa ibuku dalam keadaan kritikal, yang memerlukan dia dibedah untuk penggantian sebuah ginjal. Kos pembedahan tersebut memerlukan  tujuh ribu Riyal Saudi . Jika tidak segera dilaksanakan pembedahan dalam tempoh seminggu, boleh jadi dia akan meninggal. Sedangkan beliau sudah berusia lanjut.

Saat itu, aku tidak memiliki wang selain seribu Riyal, dan aku tidak mendapati orang yang mahu memberi atau meminjamkan aku wang. Maka aku pun meminta kepada perusahaan untuk memberiku pinjaman. Mereka menolak. Aku menangis sepanjang hari. Dia adalah ibu yang telah merawatku dan tidak tidur kerana aku.

Pada situasi yang genting tersebut, aku memutuskan untuk mencuri pada salah satu rumah yang bersebelahan dengan perusahaan pada jam dua malam. Beberapa saat setelah aku melepasi pagar rumah, aku tidak merasakan apa-apa kecuali para polis tengah menangkap dan melemparkanku ke kenderaan mereka. Setelah itu dunia pun terasa menjadi gelap.

Tiba-tiba, sebelum solat subuh, polis mengembalikanku ke rumah yang telah ku curi. Mereka memasukkanku ke sebuah ruangan kemudian pergi. Tiba-tiba ada seorang pemuda yang menghidangkan makanan seraya berkata, “Makanlah, dengan membaca bismillah!” Aku pun tidak mempercayai yang tengah kualami.

Saat azan solat subuh, mereka berkata kepadaku, “Wudhu’lah untuk solat!” Saat itu rasa takut masih menyelimutiku. Tiba-tiba datang seorang lelaki yang sudah lanjut usia dipapah salah seorang pemuda masuk menemuiku. Kemudian dia memegang tanganku dan mengucapkan salam kepadaku seraya berkata, “Apakah engkau sudah makan?” Aku pun, “Ya, sudah.”

Kemudian dia memegang tangan kananku dan membawaku ke masjid bersamanya. Kami solat subuh. Setelah itu aku melihat lelaki tua yang memegang tanganku tadi duduk diatas kerusi di bahagian depan masjid, sementara banyak jama’ah solat dan banyak murid mengelilinginya.
Kemudian Syeikh tersebut memulai berbicara menyampaikan sebuah kuliah kepada mereka. Maka aku pun meletakkan tanganku diatas kepalaku kerana malu dan takut.

Ya Allaaah…, apa yang telah ku lakukan? Aku telah mencuri di rumah Syeikh Bin Baz?!
Sebelumya aku telah mendengar nama beliau, dan beliau telah terkenal di negeri kami, Pakistan.
Setelah Syeikh Bin Baz rahimahullah selesai dari pengajian, mereka membawaku ke rumah sekali lagi. Syeikh pun memegang tanganku, dan kami sarapan pagi dengan dihadiri oleh banyak pemuda. Syeikh mendudukkanku di sisi beliau. Ketika makan beliau bertanya kepadaku, “Siapakah namamu?” Kujawab, “Murtadha.”

Beliau bertanya lagi, “Mengapa engkau mencuri?” Maka aku ceritakan kisah ibuku. Beliau berkata, “Baik, kami akan memberimu 9000 (sembilan ribu) Riyal. ”Aku berkata kepada beliau, “Yang diperlukan hanya 7000 (tujuh ribu) Riyal.” Beliau menjawab, “Bakinya untukmu, tetapi jangan lagi mencuri wahai anakku.”

Aku mengambil wang tersebut, dan berterima kasih kepada beliau dan berdo’a untuk beliau. Aku pergi ke Pakistan, lalu melakukan operasi untuk ibu. Alhamdulillah, beliau sembuh. Lima bulan setelah itu, aku kembali ke Saudi, dan langsung mencari keberadaan Syeikh Bin Baz rahimahullah. Aku pergi kerumah beliau. Aku mengenali beliau dan beliau pun mengenaliku. .
Kemudian beliau pun bertanya tentang ibuku. Aku berikan 1500 (seribu lima ratus) Riyal kepada beliau, dan beliau bertanya, “Apa ini?” Kujawab, “Itu bakinya.” Maka beliau berkata, “Ini untukmu.”

Ku katakan, “Wahai Syeikh, saya memiliki permohonan kepada anda.” Maka beliau menjawab, “Apa itu wahai anakku?” kujawab, “Aku ingin bekerja pada anda sebagai pembantu atau apa saja, aku berharap dari anda wahai Syeikh, janganlah menolak permohonan saya, mudah-mudahan Allah menjaga anda.” Maka beliau menjawab, “Baiklah.” Aku pun bekerja di rumah Syeikh hingga wafat beliau rahimahullah.

Selang beberapa waktu dari pekerjaanku di rumah Syeikh, salah seorang pemuda yang mulazamah kepada beliau memberitahuku tentang kisahku ketika aku melompat ke rumah beliau hendak mencuri di rumah Syeikh. Dia berkata, “Sesungguhnya ketika engkau melompat ke dalam rumah, Syeikh Bin Baz saat itu sedang solat malam, dan beliau mendengar sebuah suara di luar rumah. Maka beliau menekan loceng yang beliau gunakan untuk membangunkan keluarga untuk solat fardhu saja. Maka mereka terbangun semua sebelum waktunya.

Mereka merasa hairan dengan hal ini. Maka beliau memberitahu bahawa beliau telah mendengar sebuah suara. Kemudian mereka memberitahu salah seorang penjaga keamanan, lalu dia menghubungi polis. Mereka datang dengan segera dan menangkapmu. Tatkala Syeikh mengetahui hal ini, beliau bertanya, “Apa yang berlaku?” Mereka menjawab, “Seorang pencuri berusaha masuk, mereka sudah menangkap dan membawa ke balai polis.” Maka Syeikh pun berkata sambil marah, “Tidak, tidak, hadirkan dia sekarang dari balai polis, dia tidak akan mencuri kecuali dia orang yang memerlukan.”

Maka di sinilah kisah tersebut berakhir. Aku katakan kepada pemuda tersebut, “Sungguh matahari sudah terbit, seluruh umat ini terasa berat, dan menangisi perpisahan dengan beliau rahimahullah. Berdirilah sekarang, marilah kita shalat dua rakaat dan berdo’a untuk Syaikh rahimahullah.”

Mudah-mudahan Allah Ta’ala merahmati Syeikh Bin Baz dan Syeikh Ibnu Utsaimin, dan menempatkan keduanya di keluasan syurga-Nya. Amiin".

(penulis kisah ini : Syeikh Mamduh Farhan al Buhairi).

Sumber: Majalah Qiblati edisi 02 tahun III bulan November 2007 M / Syawwal 1428 H. (hal: 96)