Tuesday, 20 September 2011

Benarkan Mahasiswa Berpolitik

Description: https://3.bp.blogspot.com/-KNvoqkGa50M/Tngpb_F7OWI/AAAAAAAAAbk/JQKW3PFgxlE/s200/281958_143631955717239_100002113058219_273766_2378918_n.jpg

PENDAHULUAN

Perbincangan dan pendirian untuk sama ada membenarkan atau tidak membenarkan pelajar IPT menganggotai parti politik amat bergantung kepada pandangan alam kita terhadap makna dan budaya ilmu, pendidikan tinggi, pelajar IPT dan politik.

Sebagai analoginya, jika pandangan alam kita percaya bahawa dunia adalah sebuah permukaan yang rata dan mempunyai hujung yang bertebing curam, maka, kita tidak akan membina kapal yang canggih. Ini kerana kita tidak akan belayar jauh di lautan sebab takut akan terjatuh di hujung dunia. Tetapi, jika pandangan alam kita percaya bahawa dunia adalah bulat, maka, kita akan membina kapal yang canggih. Ini kerana kita tidak lagi berasa takut terjatuh di tebing dunia. Sebaliknya kita berasa berani, berkeinginan, belajar dan bersedia untuk belayar ke tempat yang paling jauh. Begitu jugalah pandangan alam terhadap makna dan budaya ilmu, pendidikan tinggi, pelajar IPT dan politik. Ia akan mempengaruhi sama ada hendak melihat dan melaksanakan proses pembinaan pelajar IPT yang canggih ataupun sebaliknya.

Matlamat sebenar IPT bukanlah untuk melahirkan pekerja yang baik, tetapi adalah untuk melahirkan insan yang baik. Pekerja yang baik tidak semestinya menjadi insan yang baik. Tetapi, insan yang baik sudah semestinya menjadi pekerja yang baik (Prof. Syed Muhammad Naquib al Attas). IPT juga bermatlamat untuk mendidik pelajar tentang makna kehidupan (Anthony T. Kronman) dan seni kehidupan (Alexander Meiklejohn).

Menurut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) Pindaan 2009, pelajar bukan hanya terhad kepada pelajar ijazah pertama sahaja, tetapi termasuk juga pelajar pasca-siswazah. Di universiti-universiti penyelidikan, jumlah pelajar pasca-siswazah akan mengatasi jumlah pelajar ijazah pertama.
Ramai telah berbincang, menulis dan berjuang tentang persoalan mahasiswa dan politik ini sejak lama. Sebahagian pemikiran saya tentang persoalan ini terkandung dalam e-buku saya (2009), Kalau Saya Mahasiswa yang boleh dibaca secara percuma di laman web saya: saifuddinabdullah.com.my. Ketika memperjuangkan supaya AUKU Pindaan 1975 dipinda, banyak halangan dan tohmahan diterima, tetapi, akhirnya ia dipinda juga oleh kerajaan pada 2009, tetapi dengan tidak melakukan beberapa penambahbaikan yang sepatutnya dilakukan sekali. Justeru, perkara yang dibincangkan di sini adalah kesinambungan perjuangan tersebut.

CADANGAN

Sebagai reaksi kepada kebenaran oleh kerajaan untuk guru siswazah memegang jawatan dalam parti politik, maka, pada 28 Julai 2010, saya telah melontarkan idea bahawa masanya telah tiba untuk kita memikirkan dan menimbangkan untuk:

(1) Membenarkan pensyarah IPT memegang jawatan dalam parti politik.
(2) Membenarkan pelajar IPT menjadi ahli parti politik.

Kecuali dalam hal tertentu, kertas ini lebih banyak merujuk tentang cadangan membenarkan pelajar IPT menjadi ahli politik.

MATLAMAT UTAMA

Dalam konteks membenarkan pelajar IPT menjadi ahli parti politik, ia mempunyai dua matlamat utama, iaitu:

(1) Untuk memenuhi haknya sebagai warganegara Malaysia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
(2) Untuk mematangkan demokrasi Malaysia dengan meluaskan dan meningkatkan partisipasi rakyat, termasuk belia dan pelajar IPT, dalam struktur dan proses membuat keputusan.

Bagi matlamat memenuhi hak pelajar IPT, iaitu seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan (kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan), ia bukanlah bermakna mewajibkan semua pelajar IPT untuk menjadi ahli parti politik. Ia adalah untuk melindungi hak bagi mereka yang ingin memenuhi haknya sahaja. Ini perlu dilakukan kerana pada masa ini, hak itu dihalang oleh perundangan-perundangan IPT yang berkaitan.

Ini bukan persoalan sama ada semua pelajar IPT akan menjadi ahli parti politik. Realitinya, jumlah yang ingin menjadi ahli parti politik adalah kecil, iaitu kumpulan minoriti. Majoriti tidak berminat. Tetapi, kumpulan majoriti tidak boleh menghalang pilihan yang ingin dibuat oleh kumpulan minoriti. Apalagi, dalam hal ini, pilihannya itu dijamin oleh Perlembagaan.

Perkara ini hampir sama dengan keadaan di sebuah sekolah yang di sana terdapat kumpulan minoriti pelajar beragama Islam. Walaupun kumpulan majoriti di sekolah itu tidak beragama Islam, tetapi, hak beragama yang termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan (kebebasan beragama), dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, menyebabkan kumpulan majoriti perlu membenarkan kumpulan minoriti yang beragama Islam itu memenuhi haknya dengan disediakan bilik solat dan guru agama untuk mereka.

Bagi matlamat mematangkan demokrasi, ia adalah bersesuaian dengan salah satu cabaran Wawasan 2020, iaitu untuk melahirkan masyarakat demokratik yang matang.

Ia juga bersesuaian dengan realiti, pengharapan dan tuntutan kontemporari. Kini, terdapat rakyat, terutamanya belia (termasuk pelajar IPT), yang menolak, skeptikal dan sinis terhadap ahli politik, parti politik dan institusi politik. Mujurnya mereka masih mempunyai kepercayaan terhadap demokrasi (Merdeka Center, Russell Dalton). Tetapi, kepercayaan itu adalah disekalikan dengan harapan dan desakan supaya dilakukan reformasi terhadap demokrasi yang melampaui sistem demokrasi yang wujud dan diamalkan pada hari ini (Russell Dalton).

Description: https://1.bp.blogspot.com/-8uLXy0Fo0as/Tngpc0IamkI/AAAAAAAAAbs/HzNPsK_6Ovg/s1600/imagesvhj.jpg

Dalam konteks ini, kita perlu menyelami dinamika partisipasi belia dalam politik (Spannring R., Ogris G & Gaiser W), yang terdiri daripada empat keadaan:

(1) Hubungan belia dan politik yang bersifat multi-dimensi. Apakah keadaan sosial dan politik semasa dan setempat serta pandangan belia terhadap politik?
(2) Bentuk, makna dan alasan belia untuk berpartisipasi dalam politik. Apakah caranya belia berpartisipasi dengan aktif dalam politik dan bagaimanakah mereka menilai pelbagai bentuk partisipasi politik?
(3) Mengenalpasti bagaimana belia belajar tentang partisipasi politik. Apakah peranan dan keberkesanan ibu bapa, rakan sebaya dan pendidikan formal terhadap partisipasi politiknya?
(4) Kesaksamaan gender, iaitu dari segi partisipasi belia wanita. Adakah belia wanita mempunyai kefahaman dan amalan politik yang sama atau berbeza daripada belia lelaki?

Dalam hal ini, saya menganjurkan amalan “politik baru”, iaitu judul buku saya (2008) yang dilancarkan oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak. Politik baru melibatkan dua komponen utama, iaitu:

(1) Politik integriti. Integriti perlu diasaskan atas idealisme perjuangan. Amalannya melibatkan 3 tunggak, iaitu politik ilmu dan bukannya politik ampu, politik hikmah dan bukannya politik fitnah, dan politik bakti bukannya politik undi.
(2) Governans baru. Ia berasaskan kerangka baru yang melibatkan ketiga-tiga sektor pembangunan (kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil) bersinergi dalam struktur dan proses membuat keputusan yang lebih seimbang.

Dalam governans baru, ia termasuk persoalan “penghakupayaan belia/pelajar IPT”. “Penghakupayaan belia” adalah lanjutan kepada konsep “partisipasi belia” yang mula mendapat pengiktirafan terutamanya sejak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 1985 sebagai Tahun Antarabangsa Untuk Belia, di mana partisipasi menjadi temanya. Sepuluh tahun kemudian, ia mula diiktiraf sebagai mempunyai konotasi politik apabila dokumen PBB, Plan of Action for Youth Programmes for the Year 2000 and Beyond menggunakan frasa “partisipasi penuh dan aktif dalam membuat keputusan”. 

Konsep yang sama termaktub dalam Deklarasi Menteri-menteri Belia Komanwel pada tahun 1998, Deklarasi Persidangan Menteri-menteri Belia Sedunia Pertama anjuran PBB pada tahun 1998, dan pengisytiharan 2010 sebagai Tahun Antarabangsa Untuk Belia (yang kedua). Semangat yang sama termaktub dalam frasa “penghakupayaan belia” dalam Dasar Pembangunan Belia Negara (1997), yang saya menjadi penderaf dan pembentangnya di Majlis Perundingan Pembangunan Belia Negara sebelum diluluskan oleh Kabinet, bagi menggantikan Dasar Belia Negara (1985).

Penghakupayaan belia juga melibatkan beberapa kerangka pemikiran pembangunan belia yang progresif:

  1.     Memahami bahawa terdapat “3 permintaan utama belia”, iaitu belia mahu        suaranya didengar, peranannya diiktiraf dan isu-isunya ditangani dengan            cara yang berorientasi-belia.
2.    Mengiktiraf bahawa belia bukan hanya pemimpin hari esok, tetapi adalah juga “pemimpin hari ini” dalam tiga kategori, iaitu pemimpin bagi mereka yang lebih muda daripadanya, pemimpin bagi yang seangkatan dengannya dan sebagai rakan kepemimpinan/pembangunan dengan yang lebih dewasa (termasuk IPT dan kerajaan).
3.    Kedudukan belia bukan hanya sebagai “penerima” pembangunan, tetapi juga sebagai “penyumbang” terhadap pembangunan.
4.    Program pembangunan belia melibatkan 3 orientasi utama, iaitu “aktiviti”, “bakti” dan “advokasi”.
5.    Komunikasi belia yang menggunakan pendekatan bekerja “bersama” belia, dan bukannya bekerja “untuk” belia; bercakap “bersama” belia, dan bukannya bercakap “kepada” belia.
Dalam demokrasi, konsep partisipasi rakyat, termasuk belia/pelajar IPT, adalah merujuk kepada pendekatan normatif yang melihat partisipasi bermatlamat bukan sahaja untuk mempertahankan fungsi institusi demokrasi, tetapi juga untuk memantau perlakuan elit politik. Ia memerlukan partisipasi rakyat yang aktif seperti perbincangan khalayak, keterlibatan dalam proses membuat keputusan dan mengambil tindakan politik, termasuk dalam bentuk demokrasi langsung (direct democracy).

Kini, terdapat keperluan untuk melakukan inovasi demokrasi (Graham Smith). Ia melibatkan lima teori demokrasi kontemporari tentang peningkatan partisipasi, iaitu:

1.     “Demokrasi partisipatif”’ yang menekankan nilai intrinsik partisipasi itu sendiri, iaitu ia bersifat mendidik dan membina rakyat. Berpartisipasi adalah dengan sendirinya merupakan satu manfaat. Ia meningkatkan kefahaman rakyat tentang minat, kecenderungan, kemahiran, kualiti dan tanggungjawabnya terhadap politik.
2.    “Demokrasi deliberatif” yang memberi tumpuan khusus terhadap proses bagaimana sesuatu keputusan dibuat. Ia menekankan tentang keperluan supaya keputusan hendaklah dibuat melalui proses perbincangan sesama rakyat yang menikmati kebebasan dan kesaksamaan.
3.    “Demokrasi secara langsung” (direct democracy) yang menekankan tentang saat membuat keputusan. Legitimasi politik bergantung pada idea bahawa setiap rakyat mempunyai input yang saksama dan efektif dalam membuat keputusan secara kolektif.
4.    “Demokrasi kelainan” (difference democracy) yang merujuk soal bagaimana kumpulan-kumpulan sosial tertentu yang kurang mampu atau ditekan telah dipinggirkan daripada proses politik. Dalam konteks ini, legitimasi politik bergantung kepada sejauhmana suara dan perspektif yang khusus daripada pelbagai kumpulan sosial itu diiktiraf dan diwakili dalam proses membuat keputusan politik.
5.    “Demokrasi kosmopolitan” yang mempersoalkan kedudukan legitimasi keputusan yang dibuat oleh kuasa-kuasa politik transnasional sedangkan keputusan itu dibuat tanpa melibatkan partisipasi aktif penduduk tempatan yang terkesan oleh keputusan tersebut.

Description: https://2.bp.blogspot.com/-65qKqV-0v-c/Tngpcf--zAI/AAAAAAAAAbo/K_5_vF3ZBWI/s1600/df.jpg

HALANGAN

Pada masa ini, terdapat peruntukan perundangan yang tidak membenarkan pelajar IPT menjadi ahli parti politik melainkan dengan kebenaran Naib Canselor atau setaraf, iaitu seperti yang termaktub di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan 2009) untuk IPTA, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib 1976) untuk UiTM, Politeknik dan Kolej Komuniti; dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan 2009) untuk IPTS.

Dalam konteks ini, peruntukan kebenaran Naib Canselor atau setaraf tidak membawa maksud ia dibenarkan. Ia masih membawa maksud tidak dibenarkan. Pengecualian yang membenarkan itu tidak mengatasi peruntukan utama yang tidak membenarkannya. Analoginya ialah berpuasa di bulan Ramadan yang wajib hukumnya. Walaupun wajib, namun ia juga ada pengecualian yang membenarkan untuk berbuka puasa atau tidak berpuasa. Tetapi, pengecualian daripada berpuasa itu tidak membawa maksud hukum berpuasa itu tidak lagi wajib.

Halangan lain ialah mentaliti negatif seperti: tidak percaya kepada pelajar IPT, memperlekehkan pelajar IPT, menggunakan teknik “culture of fear” (menakut-nakutkan) untuk mengongkong kebebasan pelajar IPT, kerangka politik lama yang tidak memahami realiti semasa dan sebagainya. Debat antara alasan yang menghalang ini serta jawapan terhadapnya terdapat dalam tajuk selepas bahagian ini.

Di samping itu, terdapat juga sindrom “anti-pemikiran” dan “anti-intelektual” yang menolak atau tidak senang melihat idea-idea, apa lagi idea-idea baru, didebatkan, didialogkan dan dihujahkan secara terbuka, rasional dan bijaksana.

PERKEMBANGAN MUTAKHIR

Cadangan ini mendapat respons positif dari beberapa tokoh dan organisasi seperti Dato’ Seri Zahid Hamidi (Naib Presiden UMNO), Saudara Khairy Jamaluddin (Ketua Pemuda UMNO), Saudara Mohd Maliki (Presiden Majlis Belia Malaysia), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan 12 buah pertubuhan pelajar UM yang lain, sebilangan gerakan mahasiswa lain, pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil, sejumlah bekas pemimpin mahasiswa, tulisan oleh pemimpin mahasiswa hari ini dalam akhbar tempatan, hampir 100 peratus pemanggil rancangan IKIM FM pada 12 Ogos, ramai dalam laman sosial (facebook, blog, twitter, sms) dan sebagainya.

Mahasiswa IPTA juga positif dengan cadangan ini, iaitu seperti resolusi yang dikeluarkan oleh Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar 2010, pada 8 Ogos 2010, yang bersetuju untuk membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik kepartian dengan bersyarat serta memerlukan penelitian dan perbincangan serius.

Pandangan di kalangan pelajar IPT adalah pelbagai. Tidak semua bersetuju dengan cadangan ini. Malahan, jumlah yang tidak bersetuju mungkin majoriti. Tetapi, kumpulan majoriti tidak boleh menghalang kumpulan minoriti kerana ini bukan soal mewajibkan semua pelajar, tetapi, hanyalah untuk memberikan kebenaran kepada sesiapa yang memilih untuk menggunakan haknya sahaja.
Respons yang positif juga diperolehi daripada Sidang Meja Bulat Mahasiswa dan Politik anjuran MBM pada 10 Ogos 2010.

Kabinet (pada 11 Ogos 2010) telah membuat keputusan melarang mahasiswa berpolitik. Tetapi, laporan Malaysiakini pada hari yang sama, yang disahkan oleh sumber-sumber yang boleh dipercayai, menyatakan terdapat nota supaya berita tersebut tidak disiarkan oleh media.

LANGKAH SUSULAN KE HADAPAN

·         Dengan tidak sekali-kali bermaksud untuk membelakangi keputusan Kabinet, dan dengan kefahaman bahawa Kabinet juga pernah mengubah keputusannya apabila hadir maklumat baru dan realiti baru (termasuk mengubah keputusannya daripada kandungan AUKU pada 1975 kepada kandungan AUKU pada 2009), maka, adalah diharapkan yang perkara ini terus dibincangkan secara terbuka, berlapang dada dan berjiwa besar, dengan melibatkan semua pihak secara bebas, tenang dan bijaksana, dan dengan mengelakkan mana-mana pihak, khususnya pelajar IPT, daripada dihalang membincangkannya.

·         Meningkatkan kesedaran dan pendidikan politik di kalangan pelajar IPT.
·         Penilaian terhadap perundangan dan peraturan sedia ada, iaitu sama ada perlu meminda akta-akta berkaitan atau memadai dengan perlaksanaan secara pentadbiran.

Info Penulis:

Dato’ Saifuddin Abdullah ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Ahli Parlimen Temerloh, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Pengerusi Akademi Belia dan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002).

Sumber:



No comments: