Wednesday 28 December 2011

PIMPINAN IDAMAN


BismillahirRahmanirRahim..

Alhamdulillah.. segala puji hanya layak diberikan kepada Allah, Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala isinya tanpa memerlukan bantuan sesiapa pun. Selawat dan salam atas junjungan mulia nabi Muhammad SAW, pembawa risalah kebenaran dalam menentukan masa depan sebuah tamadun yang gemilang.

Dalam kedinginan cuaca hari ini, panas pula terasa dek kerana bahang pilihanraya PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) yang kian melabuhkan tirainya. Seringkali ditanyakan kepada saya tentang siapakah calon-calon pilihan hati saya dalam usaha untuk meneruskan agenda serta silibus Islam yang dibawa oleh PCZ untuk seluruh mahasiswa sains kesihatan di bumi Zagazig ini.

Tanggungjawab seorang yang mengaku Islam tidak dapat lari dari menjadi salah seorang yang mengajak manusia kepada kebaikan dan berusaha mencegah daripada melakukan perkara-perkara mungkar. Tugasan ini terpundak bukan sahaja kepada para pimpinan bahkan yang bukan pimpinan juga turut terlibat sama.

PESANAN BUAT BAKAL PIMPINAN

Saya yakin dan percaya bahawa kalian sudah pasti mengetahui dan mendalami niat dan maksud sebenar kalian ingin menjadi pimpinan. Saya juga yakin bahawa kalian mengetahui akan beratnya amanah dan tanggungjawab seorang pemimpin dan sudah pastinya pemimpinlah orang pertama yang akan disoal di akhirat kelak.

Namun begitu, kita selaku makhluk yang lemah tetap juga memilih jalan untuk berada di barisan kepimpinan walaupun kita mengetahui akan segala perkara tersirat disebaliknya. Menjadi pimpinan bukanlah suatu tugasan yang mudah.

“Jawatan merupakan suatu taklifan (tanggungjawab) dan bukan tashrifan (kemuliaan)”

Oleh sebab itu, saya mengajak kalian untuk melihat kembali akan niat dan tujuan kita untuk menjadi pimpinan. Jika hanya kerana ingin berseronok dengan populariti, saya berani mengatakan bahawa anda tidak akan ke mana dan mungkin tidak mampu melaksanakan tanggungjawab yang akan diberikan kelak.

Bercakap apabila kita berada dibawah sememangnya suatu perkara yang mudah namun apabila anda berada di atas, pasti anda akan menyedari betapa sukarnya melaksanakan apa yang anda mungkin pernah idamkan suatu ketika dahulu.

Bakal pimpinan yang dikasihi sekalian,

Istilah perubahan sememangnya mudah untuk dituturkan namun adakah kalian yakin dan pasti bahawa kalian mampu membawa perubahan yang dilaungkan?

Dunia hari ini menyaksikan ramai yang mampu bercakap tatkala bukan berada ditempatnya. Terkenang di kala awal sesi kepimpinan saya, pelbagai perkara yang saya sendiri ingin ubah dan kemaskan namun apabila berada di medan yang sebenar, barulah saya perasan dan akui bahawa bukannya mudah untuk membuat suatu perubahan. Ianya perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati.

Justeru, saya mengingatkan kalian untuk perbetulkan niat kalian supaya agenda Islam yang dibawa oleh PCZ tidak dibantutkan oleh kalian. Saya juga berdoa dan berharap agar kalian sentiasa memohon kepada Allah supaya sentiasa diberi hidayah dan petunjuk dalam landasan yang kalian pilih demi masa depan (akhirat) kalian.

PIMPINAN IDAMAN UMMAH

Apabila kita berbicara soal kepimpinan, terdapat beberapa aspek yang perlu kita perhatikan dan halusi. Kita sudah semestinya mengimpikan suatu barisan kepimpinan yang mampu membawa Islam ketempatnya sepertimana yang pernah diungkapkan oleh Saidina Umar al-Khattab:

Islam adalah yang tertinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya”

1.      Kefahaman Islam yang mantap

Kita seringkali terlepas pandang akan ciri yang saya kira paling penting dalam pemilihan barisan pimpinan kerana hanya kefahaman Islam yang jelas mampu membawa sesebuah organisasi ke arah yang diredhai. Apabila kita mengambil sikap untuk tidak melihat akan aspek pertama ini, pastinya kita merupakan punca dan asas utama kepada sesuatu masalah pada masa hadapan.

Pimpinan yang faham Islam dengan baik pastinya mampu menyusun setiap urusan yang dilakukan dengan penuh teliti dan bijaksana. Pimpinan yang baik adalah seorang pemimpin yang bukan hanya sekadar hebat berteori bahkan mampu bekerja seiring dengan apa-apa yang dilaungkan. Hal ini disebabkan kesedaran beliau untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab tersebut dengan bersungguh-sungguh.

2.      Komitmen yang tidak berbelah bahagi

Seorang pimpinan tidak dapat lari dari kerja dan tugasan yang sangat banyak. Lihat saja kepada kawan-kawan di sekitar kita yang sering menjadi ahli jawatankuasa pelaksana sesebuah program. Hal itu pun sudah menyibukkan beliau dengan tugasan yang diberikan, apatah lagi jika kita bandingkan dengan tugasan sebagai seorang ahli jawatankuasa tertinggi PCZ yang bukan sahaja menguruskan portfolionya bahkan terpaksa memikir dan menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku di sekitarnya

Tugasan yang terlalu banyak ini seringkali menjadi punca utama kepada kelunturan semangat seseorang. Pengalaman beberapa tahun memegang tampuk kepimpinan sudah cukup membuktikan kepada saya tentang semangat dan niat saya bekerja. Dengan masalah yang pelbagai, karenah ahli yang bermacam-macam, tanggungjawab sebagai seorang penuntut ilmu dan sebagainya seringkali membuatkan semangat untuk terus berjuang di medan kepimpinan hampir terpadam.

Tanpa niat yang murni dan semangat yang kental, hampir tidak mungkin untuk sesiapa yang memegang tanggungjawab ini meneruskan apa yang dihajatkan sebelumnya. Pengalaman ini sudah pastinya menjadi point yang perlu dikongsikan dengan sidang pembaca sekalian. Jika anda benar-benar mahukan suatu perubahan, pilihlah pemimpin yang mampu bekerja bukan hanya hebat mengkritik.

3.      Pengurusan yang sistematik

Dalam mengharungi  arus globalisasi, kita memerlukan suatu barisan kepimpinan yang bukan hanya kuat bekerja akan tetapi bijak menguruskan sesuatu.

Pengurusan yang baik mampu menatijahkan suatu tindakan yang efektif namun ianya akan wujud sekiranya pimpinannya bijak menguruskan sesuatu urusan dan masalah. Hari ini ramai dalam kalangan yang mampu menjadi pemimpin atas kertas akan tetapi berapa ramai yang mampu menguruskan sebuah organisasi yang mempunyai etika dan perlembagaan yang harus dipatuhi?

4.      Pemikiran yang kritis dan kreatif

Pimpinan seringkali berdepan dengan masalah yang mana tidak dapat tidak perlu diselesaikan dengan penuh teliti dan bijaksana. Pemikiran yang kritis dan kreatif diperlukan bukan sahaja dalam usaha untuk menggerakkan atau mengembangkan portfolio yang diamanahkan bahkan ianya diperlukan dalam mencari penyelesaian kepada setiap masalah yang berlaku.

PCZ seringkali ditohmah dengan idea dan perancangan yang diistilahkan sebagai stereotype. Tidak dinafikan bahawa mungkin PCZ agak kurang dari segi idea dalam beberapa sudut. Oleh yang demikian, perlunya seorang pemimpin yang lengkap dengan pimikiran yang kreatif dalam erti kata ingin kembangkan PCZ ke tahap yang lebih baik.

SARANAN BUAT AHLI

Salah satu tiang yang mengukuhkan sesebuah gerakan atau organisasi adalah ahli kepada persatuan itu sendiri sepertimana yang diistilahkan oleh tokoh-tokoh gerakan Islam dunia kini iaitu jundiah at-to’ah (askar yang taat). Persoalannya, mengapa ianya disebut sebagai askar dan bukannya ahli atau penyokong?

Kita sudah sedia maklum bahawa seorang askar tidak dapat lari dari tugasnya untuk bekerja dan mengikut arahan. Berbeza dengan istilah ahli atau penyokong yang mana masing-masing membawa identiti yang berbeza. Ahli atau penyokong biasanya hanya hebat dan tahu mengkritik akan tetapi malas untuk bekerja.

Lihat sahaja penyokong kepada mana-mana pasukan bola. Tatkala pasukannya menang, dialah orang yang paling gembira bersorak mengatasi pemain itu sendiri akan tetapi sekiranya pasukannya itu kalah, maka dialah orang pertama yang akan mengkritik pasukan pilihannya itu.

Kawan-kawan yang saya hormati sekalian,

Seorang askar biasanya akan mengikut arahan dari ketuanya atau panglimanya tanpa ada sedikit pun kritikan yang menjatuhkan maruah dan kredibiliti pimpinan tersebut. Saya tidak maksudkan bahawa mengkritik itu salah akan tetapi apa yang saya ingin tekankan ialah kritikan dengan niat untuk menjatuhkan hanyalah akan memberi impak dan tanggapan yang negatif apatah lagi jika ianya dijadikan modal untuk sebuah persatuan ditohmah dan difitnah.

Pemimpin ada tanggungjawabnya. Begitu juga dengan ahli. Setiap daripada kita tidak terlepas dari tugasan dan amanah kita namun kita harus lihat sejauh mana kita menjalankan amanah yang kita pikul semenjak kita dilahirkan sehingga sekarang.

Janganlah kita melihat kepada kelemahan seseorang tanpa kita mengetahui akan kelemahan diri kita sendiri kerana sudah menjadi lumrah kehidupan dan asas penciptaan bahawa setiap dari kita sengaja Allah ciptakan dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing.

IMPIAN UNTUK DIREALISASIKAN

Sehubungan dengan berlangsungnya pilihanraya peringkat PERUBATAN, saya meyeru sidang pembaca sekalian untuk sama-sama kita koreksi diri dan mengenalpasti niat sebenar kita sebelum kita memilih barisan kepimpinan yang akan menjadi penentu neraca timbangan kita di akhirat kelak.

Saya melihat persaingan untuk pemilihan kepimpinan pada tahun ini merupakan suatu persaingan yang sihat. Saya juga berasa lega kerana masih ramai pelapis yang sanggup memikul amanah untuk menjadi mata-mata rantai perjuangan Islam yang dibawa oleh PCZ. Setiap zaman ada pemimpinnya dan kitalah dilihat sebagai penentunya. Setiap undi kita pasti akan mendatangkan saham di akhirat kelak. Persoalannya, adakah saham kita menguntungkan atau merugikan?

Walau siapa pun yang naik untuk kepimpinan yang akan datang, saya mengajak anda semua untuk sama-sama kita memberikan wala’ dan ketaatan dengan penuh komitmen demi melihat kejayaan dan kemenangan Islam pada masa hadapan. Janganlah kita menjadi kemuncup dalam perjuangan kerana sudah pasti kita akan membantutkan kemenangan Islam yang kita idamkan.

Tuntasnya, pilihlah pemimpin yang bukan hanya mampu memberi keseronokan kepada kita di dunia dengan menggadaikan kebahagiaan di akhirat akan tetapi telitilah dan pilihlah pemimpin yang mampu membahagiakan kita di dunia dengan memandu kepada ketaatan kepada Sang Pencipta sebagai jambatan untuk kita mendapat kebahagiaan hakiki di akhirat sana.

Siru ‘ala barakatillah.