Thursday 16 July 2015

CGPA Ramadhan :)

Alhamdulillah.. Segala puji bagi Allah.. Selawat dan salam ke atas insan mulia yang menjadi petunjuk sepanjang zaman, baginda Muhammad SAW.

Ramadhan berlalu pergi, Syawal menjelang ganti. Jauh di sudut hati memikirkan sama ada sempat atau tidak untuk sekali lagi menjadi tetamu dalam madrasah Ramadhan akan datang. Semuanya diserahkan kepada Tuan Empunya kehidupan.

Ramadhan seringkali dikaitkan dengan madrasah atau sekolah untuk menggambarkan bahawa peri pentingnya aspek pembentukan dalam siri kehidupan. Setiap hati yang melalui fasa Ramadhan, perlu sedar akan objektif didatangkan Ramadhan di celahan 11 bulan berbaki adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada kita mempersiapkan hati dan iman demi mengharungi fasa ujian dan cubaan yang mendatang.

Kotemporari kini, apabila menjalani proses persekolahan dan pembelajaran, kita seringkali berhadapan dengan ujian mahupun peperiksaan. Begitu juga dengan sekolah Ramadhan. semakin tinggi nilai usaha dan tawakal kita, semakin tinggi dan hebat keputusan yang kita peroleh dalam peperiksaan kebiasaannya.

Mungkin sekali ada dalam kalangan kita yang memperoleh pangkat mumtaz, jayyid jiddan, 4.0 atau apa sahaja jenis pangkat yang biasa digunakan sesudah kita melepasi peperiksaan sebagai pelajar sekolah Ramadhan ini. Namun persoalannya adakah kita berjaya menterjemahkan keputusan dan pangkat yang diperoleh itu dengan baik dalam meneruskan fasa- fasa selepas madrasah Ramadhan?

Hakikat sebenar kejayaan setelah kita berhempas pulas membentuk diri sepanjang Ramadhan adalah dinilai dengan kemampuan dan kesungguhan kita bagi mengekalkan apa yang sudah kita biasakan dalam Ramadhan. Hal inilah yang menjadi titik tolak dan kayu ukuran sebenar kepada keberhasilan kita melepasi fatrah Ramadhan dengan jayanya.

Memang mudah seseorang insan melakukan pelbagai amal kebaikan sepanjang Ramadhan. Jika direnung kembali, sebenarnya kita tidak pelik jika melihat diri kita sendiri mahupun masyarakat di sekeliling masing- masing berlumba- lumba melakukan amal kebaikan kerana hakikatnya manusia kembali kepada fitrahnya untuk melakukan kebaikan setelah Allah bantu dengan dipenjarakan syaitan sementara waktu.

Selain itu, jika kita perhatikan kita dan rakan- rakan yang sama- sama belajar di sekolah atau kampus suatu ketika dahulu, ada yang mendapat pangkat yang betul- betul membanggakan, ada yang straight A dan ada juga yang sebaliknya namun dalam kalangan mereka yang kita lihat pada hari ini, siapakah yang dapat kita nilai sebagai insan yang benar- benar berjaya duniawi dan ukhrawi?

Begitulah kita dalam meneruskan fasa kehidupan selepas Ramadhan. Biar apa pangkat yang kita peroleh dalam madrasah Ramadhan, yang saya kira kita sendiri tidak tahu apakah benar kita berjaya dengan pangkat mumtaz atau sebaliknya, kerana apa yang lebih penting adalah bagaimana cara dan praktikalnya kita meneruskan kehidupan sesudah berakhirnya proses pembentukan iman dan peribadi sepanjang Ramadhan.

Moga dengan berakhirnya Ramadhan, menguatkan kembali hati kita untuk menjadi hamba yang benar- benar bertaqwa. Buatlah amal kebaikan selagimana kita mampu sebelum datangnya hari yang pada ketika itu, walaupun kita merayu, meronta dan apa sahaja yg kita buat, pasti kita tidak mampu untuk kembali di dunia ini untuk beramal kembali.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُلۡهِكُمۡ أَمۡوَٲلُكُمۡ وَلَآ أَوۡلَـٰدُڪُمۡ عَن ذِڪۡرِ ٱللَّهِ‌ۚ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡخَـٰسِرُونَ (٩) وَأَنفِقُواْ مِن مَّا رَزَقۡنَـٰكُم مِّن قَبۡلِ أَن يَأۡتِىَ أَحَدَكُمُ ٱلۡمَوۡتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوۡلَآ أَخَّرۡتَنِىٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍ۬ قَرِيبٍ۬ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ (١٠) وَلَن يُؤَخِّرَ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِذَا جَآءَ أَجَلُهَا‌ۚ وَٱللَّهُ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ (١١
Wahai orang- orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak- pinak kamu dari mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). EDan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang- orang yang rugi. (9)

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang- orang yang soleh. (10)

Dan (ingatlah), Allah tidak sekali- kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai sgala yang kamu kerjakan. (11)

[al- Munafiqun: 9- 11]

Hiduplah untuk akhirat!

1 Syawal 1436 H.


Impian Ramadhan

Alhamdulillah.. Selawat dan salam ke atas Rasulillah..

Dalam sedar mahupun tidak, hari terakhir dalam bulan Ramadhan, bulan yg penuh dengan 1001 rahsia dan hikmah yang tersi
ngkap telah kunjung tiba. Perasaan tika ini juga sukar untuk diterjemahkan seakan- akan tidak rela untuk berpisah dengan satu makhluk Allah yg bernama Ramadhan ini.

Di kesempatan ini, sukalah untuk saya lontarkan beberapa persoalan untuk sama- sama kita koreksi diri.

1. Cuba kenang kembali, apa yang kita target atau letakkan sebagai matlamat yg ingin kita capai dalam Ramadhan kali ini?

2. Adakah kita sudah mencapai impian dan target tersebut dengan berbaki beberapa jam sahaja lagi keberadaan kita dalam Ramadhan?

3. Jika kita kenang amalan dan tindakan sepanjang Ramadhan ini, agaknya lebih banyak kebaikan/ amalan menyumbang kepada pahala atau sebaliknya?

4. Ramadhan datang dengan penuh rahmat dan pengampunan. Sudahkah kita bertaubat akan segala kesilapan dan dosa- dosa kita yg menggunung tinggi ini? 

5. Dengan berakhirnya Ramadhan tahun ini, rasa- rasanya adakah kita berjaya memperoleh keampunan dari Allah yang Maha Pengampun?

Banyak lagi sebenarnya persoalan yang bermain di fikiran tetapi biarlah kalian sendiri yang memikirkan apakah soalan- soalan yang sesuai mengikut cita rasa masing- masing.

Dari Abi Hurairah Ra, Rasulullah naik ke atas mimbar, kemudian beliau berkata :
“Aamiin… Aamiin… Aamiin…”.
Kemudian ditanyakan (para sahabat), kepada beliau :
“Wahai Rasulullah, saat engkau naik ke atas mimbar, engkau sampai mengatakan Aamiin (3x) (ada apakah gerangan?)”
Kemudian Rasulullah memberikan keterangan sebagai berikut:
“Jibril telah datang kepadaku dengan mengatakan : “Barang siapa yang telah datang kepadanya bulan Ramadhan (puasa), kemudian dia tidak mendapatkan pengampunan (pada bulan Ramadhan tersebut), maka ia dimasukkan ke dalam api neraka dan Allah jauh dari dirinya, maka katakanlah: Aamiin”. Kemudian aku mengaminkannya.
“Dan barang siapa yang mendapatkan orang tuanya (ketika keduanya masih hidup), atau salah satu diantara kedua orang tuanya masih hidup, sementara (dia mampu berbuat baik untuk kedua atau salah satu diantara keduanya), kemudian dia tak mau berbuat baik kepada keduanya, atau salah satu diantara keduanya (yang masih hidup tadi), kemudian mati, maka Allah akan memasukkannya ke dalam api neraka, dan Allah jauh dari dirinya, maka aku katakan :Amin”
“Dan barang siapa yang dimana namaku disebutkan (didepannya) , kemudian dia tak memberikan shalawat kepadaku, maka Allah akan memasukkannya kedalam api neraka dan Allah sangat jauh dari dirinya, maka katakanlah (wahai Muhammad SAW) (amin), maka aku katakan “Amin”
(H.R Ibnu Hibban didalam kitab shahihnya 3:188).
Sungguh! Hidup ini penuh onak dan cabaran. Namun mereka yang berjaya melepasinya pasti akan merasai kenikmatan dan kebahagian hakiki yang diidamkan. Ayuh! Masih belum terlambat untuk kita memohon keampunan dari Pencipta. Moga kita semua tidak tergolong dalam kalangan mereka yang celaka dek kerana tidak mendapat keampunan dari Yang Maha Esa.
29 Ramadhan 1436 H

Saturday 11 July 2015

Update

Alhamdulillah. Selesai kemaskini dan gubah imej blog ni. Lepas ni kena aktifkan diri untuk mencoret pulak.

Biiznillah :)

24 Ramadhan 1436 H