” Saya kurang bersetuju kalau kita mempromosikan
perkahwinan dalam waqi’ sekarang. Kewujudan entiti seumpama Bait Muslim itu
bagus, tetapi cukup sekadar saluran dan bukannya promosi atau menggalakkan
perkahwinan..”
Seorang sahabat senior berpangkat ‘adik’
mengutarakan pandangan. Kebetulan terkeluar topik tentang pernikahan semasa
belajar dan kewujudan unit seperti Bait Muslim di kebanyakan tempat belajar
dalam dan luar negara.
” Tetapi mungkin ada sedikit keperluan, terutama
dalam usaha menjadi tempat rujukan bagi pelajar-pelajar yang berhasrat kepada
pernikahan. Dan mugkin juga boleh membuka jalan untuk mereka-mereka yang kaki
couple..” Saya menduga.
” Betul. Sebagai saluran tidak ada masalah. Tetapi
kalau hendak mempromosikan, tidak sesuai. Kita tidak tahu, ada orang sesuai
berkahwin di usia 20 tahun, ada orang 25 tahun..”
Saya terdiam. Fikiran mula menganalisa lontaran
idea tersebut. Jauh di sudut hati, saya memang bersetuju. Bahkan saya cuba
meletakkan diri dalam posisi sahabat-sahabat yang berada di jurusan
kedoktoran,umpamanya. Mereka perlu menempuh satu perjalanan yang cukup panjang
selama 5 hingga 6 tahun. Sudah tentu, jika isu perkahwinan dibebankan kepada
mereka di awal ataupun di tengah perjalanan, ia akan cukup mengganggu.
Bertukar-tukar fikiran seperti ini,
cukup menarik. Ada perkara yang boleh difikir dan boleh dikongsi.
GANGGUAN
Tidak dinafikan, isu kahwin ini jika datang bukan
pada masanya, ia boleh diumpamakan seperti racun. Bukan hanya berpotensi untuk
mengganggu,bahkan boleh menjadi pembunuh dalam senyap.
Bukan kesihatan individu itu yang bakal terjejas,
ataupun jiwanya bakal melayang, tetapi tekad, keazaman dan cita-cita yang
sebelumnya dipasakkan dengan begitu kukuh. Akhirnya datang badai nikah-kahwin,
segala perancangannya tergugat. Tanpa kesediaan yang betul dan tekad yang
jelas, seseorang itu boleh tersasar dari landasannya yang sebenar sehingga
segala karier dan pelajarannya hancur musnah.
Dan sudah tentu, antara perkara yang boleh
menggelincirkan seseorang itu dari landasannya, adalah berfikir dan bergerak ke
arah perkahwinan sebelum tiba masanya.
Namun begitu, apabila bercakap mengenai gangguan
seperti ini, saya terfikir tentang beberapa sudut yang lain.
Gangguan yang dilihat sebagai gangguan itu, kalau
hanya dinisbahkan kepada promosi nikah-awal atau nikah-waktu-belajar oleh
pihak-pihak tertentu, agak kurang adil. Kalau kita perhatikan, sebenarnya
terdapat begitu banyak ‘gangguan’ yang lain di mana turut berperanan sebagai
‘pendorong’ seseorang itu kepada perkahwinan meskipun dia masih belajar.
CONTOH SITUASI
Seseorang yang seringkali mendengar kawan-kawannya
bercakap atau berbincang tentang perkahwinan, sedangkan dirinya tidak langsung
bersedia untuk berfikir ke arah itu, akan mengalami gangguan dari banyak sudut.
Dari segi cara berfikir, cara bertindak, fokus dalam pelajaran dan tekad
mengejar cita-cita, semuanya akan terganggu. Gangguan ini pula boleh membawa
kepada goyahnya seseorang itu dari matlamat asal. Sebagai contoh, daripada
tidak memikirkan tentang kahwin dan berusaha menjauhinya, kepada secara
tiba-tiba berminat kepada perkahwinan dan bergerak ke arahnya tanpa ada
keperluan dan sebab yang kukuh. Inilah yang saya sebutkan sebagai ‘racun’ yang
boleh membunuh.
Situasi di atas jelas, iaitu gangguan berbentuk
‘promosi’ tidak kiralah daripada entiti khas ataupun dari mulut kawan-kawan
sendiri.
Tetapi perlu diingat, tidak semua gangguan itu
datang dalam bentuk ‘lafaz’. Sebenarnya, setiap hari seseorang itu akan
berdepan dengan gangguan samada dia sedar ataupun tidak.
Perhatikan di sekeliling. Bagaimana runtuhnya nilai
akhlak dan maruah dalam masyarakat. Bagaimana hebatnya gadis-gadis kita dalam
menayangkan tubuh badan. Bagaimana hebatnya gejala berpasangan sebelum kahwin
yang melanda kampus-kampus dalam dan luar negara. Bagaimana terujinya iman
seseorang tatkala menghadap internet. Bagaimana tumpasnya begitu ramai pemuda
pemudi Islam di luar sana lantaran terkena penangan cinta dan nafsu yang tidak
bertepian.
Kesemua itu secara tidak langsung, sedang bercakap
kepada anda bahawa anda perlu kepada sebuah perkahwinan sebagai jalan keluar
yang paling selamat. Saban hari dan saban waktu, kesemua fenomena itu tetap
akan hadir sebagai satu bentuk ‘gangguan’ kepada anda. Apatah lagi, jika
seseorang itu sememangnya terlibat dengan gejala berpasangan sebelum kahwin
atau istilahnya bercouple.
Gangguan yang lain masih banyak. Sehinggakan
membaca artikel, menonton drama ataupun menelaah novel-novel berkisar tentang
cinta, semuanya itu juga adalah gangguan yang sedang mengajak anda kepada
sebuah perkahwinan sebagai garis penamat.
BETUL PADA SITUASI MASING-MASING
Ajaibnya aturan Allah, Dia tidak menjadikan jiwa
manusia itu sama. Dua orang sahabat karib, atau dua orang adik beradik, seorang
berminat menjadi doktor tetapi seorang lagi begitu obses dalam bidang
pertukangan. Begitu juga, seorang bertekad untuk berkahwin walaupun usianya
baru 20 tahun tetapi seorang lagi belum pernah membuka mulut tentang
perkahwinan meskipun usianya sudah 25 tahun.
Kerana wujudnya keadaan yang berbeza-beza inilah,
maka wujud juga pendekatan yang berbeza-beza. Boleh jadi, pendekatan untuk si A
tidak sama dengan pendekatan untuk si B dek kerana keduanya berbeza dari segi
cara fikir dan cara bertindak.
Jika dinilai kembali dalam situasi-situasi di atas,
kita akan melihat bahawa kedua-dua pihak betul pada situasi masing-masing.
Kewujudan satu entiti di sesuatu tempat, yang mana
berperanan membuat kempen dan promosi supaya muda mudi berkahwin meskipun masih
belajar, tidak boleh dinilai sebagai salah dan tidak patut. Tidak adil juga
untuk dinisbahkan sebagai ‘mengganggu’, kerana sebenarnya gangguan-gangguan
untuk seseorang itu mendekati zina pada hari ini jauh lebih hebat berbanding
gangguan-gangguan mengajak seseorang itu bernikah di usia muda. Tindakan
promosi seperti ini dalam dunia hari ini, pada saya ada asasnya dan ada
relevannya. Tetapi sayangnya, promosi ini di mana-mana tempat masih berada di
paras yang lemah berbanding promosi bercouple
yang masyhur serata dunia.
Dalam masa yang sama, seseorang yang bertekad untuk
menamatkan pengajian dan mencapai cita-cita tanpa memikirkan tentang
perkahwinan, juga tidak boleh diganggu dan disekat. Tekad dan keazaman seperti
itu sangat sukar diperolehi hari ini, di mana kebanyakan remaja terjebak dengan
budaya cinta tidak syar’ie dan bergelumang dengan maksiat saban hari. Ramai
yang enggan berkahwin tetapi gemar berzina. Tetapi sangat sedikit yang enggan
berkahwin tetapi sangat konsisten menjauhi zina dan mukaddimah zina. Maka,
komitmen itu perlu dipuji dan dihargai.
ANTARA PENAWAR DAN RACUN
Kalau dikatakan mengajak muda mudi supaya bernikah
sewaktu belajar itu 100% salah, realitinya ramai orang bernikah sewaktu belajar
dan lebih ramai yang perlu menikah sewaktu belajar. Nikah pada mereka, menjadi
penawar yang bisa melonjakkan mereka ke tahap yang lebih tinggi dan berjaya.
Kalau dikatakan mengajak muda mudi supaya bernikah
sewaktu belajar itu 100% betul, realitinya ramai juga orang yang bernikah
sewaktu belajar kemudian hanyut entah ke mana. Daripada matlamat dan cita-cita
yang jelas, akhirnya terkubur begitu sahaja. Segala tekad dan kezaman di tahun
satu, hancur sebelum sampai ke tahun akhir, gara-gara bernikah dalam usia muda
tanpa mengerti hadaf dan matlamatnya.
KESIMPULAN
Setiap kali berbicara tentang ini, sering terlintas
kata-kata Ustaz Pahrol Md Juoi ; Jangan
tergesa-gesa dan jangan bertangguh-tangguh. Ringkas dan cukup untuk mengajak
kita meletakkan diri kita dalam posisi masing-masing.
Sekiranya tekad kita jelas demi cita-cita yang
paling utama, dan perkahwinan menduduki tangga kedua dan ketiga, maka jangan
tergesa-gesa bahkan tidak perlulah memikirkan tentang perkara seumpama
perkahwinan, kerana perkara tersebut bolehlah diibaratkan sebagai suatu perkara
yang tidak perlu dan sangat tidak penting untuk difikirkan. Demikian juga,
jauhilah sebarang bentuk perbualan, cerita, novel, drama mahupun apa sahaja
yang berpotensi ‘mengganggu’ perjalanan anda. Melainkan bahan ilmiah berkenaan
pernikahan dan bukan sekadar mencambahkan benih ‘gatal’ dalam diri anda, itu
tidak menjadi masalah bahkan perlu sebagai persediaan masa hadapan.
Sebaliknya, kalau sudah difikir dan ditimbang dari
pelbagai sudut, setelah melalui proses istisyarah dan istikharah dengan
penuh konsisten, dan pernikahan menjadi suatu target yang perlu dicapai dalam
kadar segera, maka jangan sesekali bertangguh-tangguh. Jangan bermain-main dengan api,
kerana pasti dan pasti, ia akan menyambar.
Sekian.
Sumber: http://www.myilham.com/blog/2011/09/kahwin-antara-penawar-dan-racun/