FACEBOOK: Photos & Tagging Yang Mengundang Dosa
Ketika mula-mula saya mendaftar dan
menyertai laman rangkaian sosial Facebook, saya tertarik dengan satu fungsi
dalam aplikasi ‘Photos‘ yang dikenali sebagai ‘Tagging‘.
Mungkin dalam Bahasa Melayu boleh diterjemahkan sebagai ‘penandaan’.
Fungsinya, pengguna Facebook yang muat
naik gambar ke dalam album fotonya boleh melakukan ‘tagging‘
iaitu menanda pengguna-pengguna lain yang ada dalam gambar tersebut.
Aturannya ringkas, semudah ABC, dan hasilnya gambar-gambar yang ditanda
itu secara automatik akan masuk dalam senarai ‘Photos of‘ bagi
pengguna lain yang ditanda.
Menariknya fungsi ‘tagging‘
dalam aplikasi ‘Photos‘ ini, ialah semua gambar-gambar yang
dilakukan tagging kepada seseorang pengguna akan terkumpul di
bahagian ‘Photos‘ di profile nya. Mungkin pengguna tersebut
tidak pernah mempunyai atau melihat gambar yang ditagkan itu.
Tetapi ‘tagging‘ membantu pengguna mendapatkan dan mengumpulkan
gambar-gambarnya yang ada pada orang lain. Itu dari sudut positifnya.
Dari sudut yang lain, tagging adalah
satu operasi penyebaran gambar kepada khlayak pengguna Facebook secara
berleluasa. Lagi banyak nama-nama yang ditag pada satu-satu
gambar, bererti makin ramai pengguna yang dapat melihat gambar tersebut.
Contohnya, satu gambar ditagkan kepada 10 pengguna, dan setiap
pengguna secara purata mempunyai 200 orang kawan atau ‘friends‘.
Bererti sekurang-kurangnya 2000 pengguna dapat menatap gambar tersebut.
Jadi apa masalah dengan penyebaran
gambar ini? Masalahnya ialah apabila gambar yang ditagkan
kepada ramai pengguna itu mengandungi unsur yang tidak baik. Contohnya,
pendedahan aurat atau lain-lain kandungan yang mengaibkan dan
menjatuhkan maruah.
Saya sedih melihat sebahagian
rakan-rakan pengguna Facebook yang makin terhakis rasa malunya. Tidak
segan memuat naikkan gambar-gambar yang mendedahkan aurat lagi
mengaibkan. Yang lelaki meletakkan gambarnya tanpa berbaju, memperagakan
pusatnya, berseluar pendek, menampakkan pehanya. Yang perempuan
meletakkan gambar sekumpulan anak dara waktu di asrama wanita dengan
masing-masing berpakaian tidur mendedahkan rambut dan aurat lain.
Kemudian, gambar-gambar mengaibkan
ini disebarkan pula dengan cara tagging kepada pengguna lain
seberapa ramai yang boleh. Sekurang-kurangnya dia telah melakukan dua
kesalahan.
Pertama: Memuat
naikkan gambar yang mendedahkan aurat, dan memberi peluang kepada
pengguna lain dari kalangan rakan-rakannya menatap gambar-gambarnya yang
mendedahkan aurat. Hukumnya, rata-rata ahli fatwa berautoriti pada
zaman kini berpendapat memperlihatkan gambar mendedahkan aurat kepada
orang lain adalah haram. Ia termasuk dosa bantu-membantu dalam perkara
maksiat.
Kedua: Menyebarkan
gambar tersebut kepada rakan-rakan pengguna lain melalui fungsi ‘tagging‘,
mendedahkan lagi gambar tersebut kepada khalayak pengguna yang lebih
ramai. Dosanya lebih besar, kerana dia menjadi penyebab kepada
berleluasanya satu maksiat kepada Allah. Kaedah dalam agama menyatakan
orang yang menunjukkan kepada satu kejahatan, akan dibebankan dengan
dosa tersebut dan dosa orang yang melakukannya.
Amat malang orang yang dibebankan
dengan dosa yang banyak lagi berterusan, disebabkan oleh perbuatannya
menyebarkan gambar yang demikian.
Saya menyeru kepada semua
rakan-rakan pengguna Facebook, jika ada gambar-gambar yang dimuat
naikkan mengandungi unsur yang mendedahkan aurat dan mengaibkan,
wajarlah ia dipadam. Jangan memandang perkara ini satu isu remeh. Kerana
resam orang beriman, melihat satu dosa umpama gunung yang hampir
menghempapnya. Sebaliknya resam orang kafir, melihat satu dosa umpama
lalat yang hinggap di batang hidungnya.
Catatan: Kerana sebab-sebab sebegini
ada orang mengelakkan bergambar. Hatta, pelajar agama pun tidak
sensitif tentang perkara begini, Apatah lagi, oran awam yang tidak tahu
hukum-hakam. Wallahul must'aan wa 'alaihi tuklan wa la haula wa laa
quwwata illa billah
|
No comments:
Post a Comment