Bismillah
arRahman arRahim..
"Adalah
penting bagi kita untuk mengetahui kalam Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
dalam bab kaifiat dan fadhilat ibadah. Ini kerana ia merupakan janji
benar yang menjadi jaminan yang kukuh untuk kita berpegang
dengannya. Menjadi sumber motivasi buat orang-orang yang beriman.
Berikut adalah beberapa hadith Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan kepada kita bagaimana untuk mendapatkan impak maksima dari kebaikan Ramadhan. Saya telah memetiknya dari kitab Riyadhus-Solihin susunan Imam Nawawi dan kitab Feqhus-Sunnah susunan Sheikh Sayyid Sabiq. Semoga kita semua dapat mengamalkannya, insyaALLAH.
Berikut adalah beberapa hadith Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan kepada kita bagaimana untuk mendapatkan impak maksima dari kebaikan Ramadhan. Saya telah memetiknya dari kitab Riyadhus-Solihin susunan Imam Nawawi dan kitab Feqhus-Sunnah susunan Sheikh Sayyid Sabiq. Semoga kita semua dapat mengamalkannya, insyaALLAH.
1. Keutamaan Sahur Dan
Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar
Dari Anas
radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di
dalam sahur itu terdapat barakah.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Zaid
bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata: “Kami sahur bersama-sama
dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami melaksanakan
solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama
antara sahur dengan solat itu?” Ia menjawab: “Kira-kira
50 ayat.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari ‘Amr
bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah
adanya makan sahur.” (HR Muslim)
2. Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka
Dari Sahl
bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka
segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Anas
radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma yang baru masak)
sebelum solat. Jika tidak ada ruthob (kurma yang baru masak), maka beliau
sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan tamar (kurma yang sudah
kering). Jika tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka beliau
sallAllahu ‘alaihi wasallam meneguk air beberapa teguk.” (HR Abu
Daud dan At-Turmudzi)
3. Berdo’a sepanjang berpuasa
dan ketika berbuka.
Diriwayatkan
oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersabda: “Ada 3 golongan yang tidak ditolak do’a mereka,
iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan
orang yang teraniaya.”
4. Menjauhi perkara-perkara yang
bertentangan dengan ibadah puasa.
Dari Abu
Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam
bersabda: “Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila
salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan
janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki
atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku
sedang berpuasa””. (HR Bukhari & Muslim)
Abu
Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersabda: ‘Barangsiapa yang tidak meninggalkan
kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak memerlukan ia
meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)
5. Bersiwak atau menggosok
gigi.
Amir bin
Rabi’ah berkata, “Saya melihat Nabi sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersiwak dan beliau pada saat itu sedang berpuasa. Kerana
seringnya, maka saya tidak dapat membilang dan menghitungnya.”
(HR Bukhari)
Abu
Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersabda, “Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya
mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali berwudhu.” (HR
Bukhari)
6. Bermurah hati dan banyak
menderma.
Dari Ibnu
Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya: “Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu
lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya
Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari
al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih murah hati
melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR Bukhari)
7.
Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.
(Hadith Ibnu
Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)
Membaca
al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan Ramadhan,
hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya. Para ulama
apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka
dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran. Membaca untuk memahami
al-Quran yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk
mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.
8. Memberi makan untuk berbuka
puasa.
Dari Zaid
bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersabda: “Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka
orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa
itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.”
(HR At Turmudzy)
9. Mendirikan malam dengan solat
sunnat (solat Tarawih)
Dari Abu
Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah
bersabda: “Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat pada malam
bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH,
maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari &
Muslim)
10. Giat beribadah pada 10
hari terakhir Ramadhan
Aisyah
radhiAllahu ‘anha berkata: “Bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan. diramaikannya
waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.”
(HR Bukhari & Muslim)
11. Beriktikaf pada 10
terakhir Ramadhan.
Dari Ibnu
Umar radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.”
(HR Bukhari & Muslim)
Dari Aisyah
radhiAllahu ‘anha berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehingga
Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala, kemudian setelah
beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat, isteri-isterinya meneruskan kebiasaan
Beliau itu.” (HR Bukhari & Muslim)
Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar dari hadith-hadith
Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam di atas. Janganlah dilepaskan peluang
untuk mendapatkan pahala yang besar hasil dari usaha kita untuk
bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah di atas.
Selain dari sunnah yang telah dinyatakan di atas, jangan lupa dan
meremehkan lain-lain sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam seperti
senyum, beri salam, solat jamaah di masjid, berbuat baik kepada ahli keluarga
dan jiran, beri tadzkirah, merendah diri dan lain-lain.
Mudah-mudahan hidayah dan taufiq menyinari hati dan jiwa kita semua dan
mudah-mudahn melekat ke dada kita semua akan nilai besar Taqwa, amin.
Sumber: www.muzir.wordpress.com
No comments:
Post a Comment