Tergerak hati saya untuk memberikan ulasan berkenaan kenyataan
Timbalan Presiden UMNO ketika berkempen di Galas, semalam. Seperti yang
disiarkan di bawah ajuk TPM BIDAS ’FATWA’ IKUT SUKA PAS di muka 3, akhbar Utusan Malaysia, 28 Oktober 2010, Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan menyebut :
''Perangai
mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram',
yang dia (buat) masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA,"
Nampaknya
pilihanraya kecil N.45 Dun Galas sekali lagi menjadi medan UMNO untuk
menghentam PAS khususnya berkenaan kerjasama PAS dengan DAP. Nampak
sangat kemarahan UMNO apabila PAS menjalinkan hubungan kerjasama dengan
DAP. Gerun benar UMNO apabila PAS yang dijadikan hantu untuk
menakut-nakutkan masyarakat Cina rupa-rupanya sudah boleh didekati dan
tidak lagi digeruni.
Perbezaan kerjasama
antara UMNO dan MCA serta MIC dalam Barisan Nasional dengan kerjasama
PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat amat jelas sekali. Bagaikan langit
dengan bumi. Hairannya, penjelasan demi penjelasan telah diberikan.
Namun, apabila telinga disumbat dan mata ditutup, tidak ada gunanya
segala penjelasan yang diberikan. Pada hemat saya, pemimpin UMNO sudah
tenggelam dalam keghairahan untuk memburu kemenangan di Galas, hingga
lupa tinggi rendahnya lantai tempat berpijak.
Beberapa hari lepas, orang yang sama telah mencadangkan supaya Sejarah
menjadi mata pelajaran yang wajib lulus dalam SPM mulai tahun 2013, saya
ingin menambah bahawa al-Quran sendiri tidak pernah meninggalkan aspek
sejarah dalam penceritaannya. Bermula dengan sejarah penciptaan manusia
seterusnya sejarah dakwah para nabi dan juga sejarah kehancuran
umat-umat terdahulu, al-Quran mahukan kita belajar dari sejarah.
Justeru, PAS sendiri tidak pernah lupa untuk berguru dengan sejarah.
Bukankah sejarah mencatit bagaimana PAS telah diajak masuk bergabung ke
dalam Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana
Menteri Malaysia pada tahun 1973? Dengan hati yang ikhlas, PAS pada masa
itu menyambut huluran tangan perpaduan tanpa menyedari musibah yang
akan dihadapi. Rupanya Barisan Nasional hanyalah merupakan perangkap
bagi PAS. PAS bergabung dengan UMNO membentuk Barisan Nasional demi
perpaduan, namun hasilnya PAS di Kelantan khususnya telah berpecah
kepada empat :- PAS, Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa. PAS hampir-hampir
ranap akibat perpecahan tersebut. Seterusnya peristiwa PAS ditendang
daripada Barisan Nasional dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan
pada tahun 1978. Apa hasilnya kerjasama PAS dengan UMNO? Tangan UMNO
yang terkapai-kapai kelemasan dipegang erat oleh PAS, lalu PAS pula
ditendang supaya lemas keseorangan.
Dengan DAP
yang dikatakan chauvinis Cina, PAS tidak dikhianati. Jika Timbalan
Perdana Menteri bertanya, apa bezanya kerjama dalam Barisan Nasional dan
Pakatan Rakyat? Jawapannya, kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan
Rakyat tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan
Islam. PAS masih dengan agenda Islamnya bahkan kami di Kelantan setiap
tahun meraikan Hari Hudud. Islam tidak pernah diketepikan di dalam
perjuangan PAS. Bahkan DAP sendiri pernah keluar daripada Barisan
Alternatif apabila tidak dapat menerima agenda Islam yang dibawa oleh
PAS. Secara umumnya, pemimpin DAP tidak anti Islam dan hari ini
beransur-ansur mengenali Islam. Sekurang-kurangnya Islam sudah tidak
digeruni oleh non muslim sebagaimana yang UMNO mahukan. Pemimpin DAP
sekurang-kurangnya ada yang sudah boleh memetik ayat-ayat al-Quran untuk
rujukan, pemimpin UMNO pula semakin menjauhi al-Quran. Ingin saya
bertanya, apa ruginya Islam apabila DAP mula berjinak-jinak dengan
Islam?
Sayang sekali, UMNO masih berfikir
dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit. Melayu pun tidak terbela,
Islam pun tidak terjaga. Umpama lebai malang, ke hilir pun berlapar, ke
hulu pun tidak kenyang. Kononnya, bila Melayu dan Islam ialah perkara
yang sama. Jika demikian, kenapa UMNO membenarkan isteri Perdana Menteri
sendiri menjadi penaung Islamic Fashion Festival? Pada saat umat Islam
yang prihatin di seluruh Malaysia bangun menentang program maksiat yang
dibuat atas nama Islam ini, di mana pula ’keris’ pemimpin UMNO?
Tersimpan dalam sarungkah atau hanya menjadi hiasan di dinding? Manakala
hari ini apabila pentadbiran kerajaan UMNO/Barisan Nasional bercadang
untuk menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam kononnya bagi
memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP),
di pagar mana pula disangkut agenda Melayu Islam ala UMNO?
Hakikatnya, UMNO yang memperalatkan Islam. Bila tersepit, Islam juga
yang dicari. Bukankah salah seorang Naib Presiden UMNO sendiri sewaktu
Perhimpunan Agung UMNO yang lepas mencadangkan supaya UMNO menjadikan
masjid sebagai tempat untuk mendaftar pengundi baru? Hairan saya,
tidakkan bagi UMNO politik tidak boleh dibawa ke masjid? Hari ini, bila
tersepit UMNO sendiri mula menggadaikan prinsip? Bukankah saya dihentam
begitu teruk kerana kononnya ingin berpolitik di atas masjid? Nampaknya,
selepas bangunan UMNO di Kota Bharu sudah terjual, UMNO sendiri sudah
ingin menjual prinsipnya pula..
Nasihat saya,
kembalilah kepada Islam. Tinggalkanlah pemikiran sekular yang tidak akan
sampai ke akhirat. Sangatlah jauh berbeza pemikiran seorang mukmin dan
seorang pendukung sekular. Orang-orang Mukmin melihat jauh ke akhirat
berbeza dengan orang-orang sekular melihat hanya setakat dunia sahaja.
Umpama seorang anak yang berumur dua tiga tahun bila bersama ibunya ke
pasar. Anak kecil itu hanya berfikir untuk membeli belon dan alat-alat
permainan yang boleh menyeronokkan. Berbeza dengan pemikiran si ibu
yang berfikir lebih jauh, pemikiran ibu berkisar kepentingan sekeluarga,
apakah lauk pauk atau makanan yang perlu dibawa pulang untuk kesiapan
rumah nanti. Itulah perumpamaan pemikiran sekular yang hanya terhenti
setakat di dunia, ia tidak lebih umpama seorang anak kecil yang hanya
berfikir untuk alatan permainannya semata-mata!
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Pejabat Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 20 Dzulka'edah 1431 H | 28 Oktober 2010
No comments:
Post a Comment