Sunday, 19 December 2010

Aku & Dia


Bismillah arRahman arRahim..

"(Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah..." (al-Baqarah 2 : 185)

********************************************

"Ustaz, boleh tak ajar saya baca al-Quran. Tapi ajar saya sorang sahaja di rumah. Saya malu kalau belajar depan orang ramai. Saya tidak boleh baca al-Quran. Setiap kali melihat orang ramai membaca surah Yasin, saya tahan air mata saya. Saya selalu bersedih, saya tak boleh baca al-Quran kerana sudah lama saya tinggalkan," luahan seorang pak cik beberapa bulan lepas meruntun hati saya.

Saya terkesima, seorang pak cik yang saya kira sekitar umurnya 50an memperkenalkan dirinya yang bekerja sebagai pegawai sebuah kementerian di Putrajaya, bertemu selepas solat Isyak berjemaah di Masjid al-Hasanah meluahkan rasa hatinya terlalu ingin beljar al-Quran. Alhamdulillah, sempat dia kembali mengenal al-Quran setelah berani dan sanggup menebalkan mukanya mengadap saya si anak muda yang masih mentah. Bukan dia tidak tahu, tetapi terlupa kerana sudah lama meninggalkannya.

Saya sangat kagum akan usaha, kesungguhan dan keberaniannya."Bukan senang orang yang lebih berumur membuang egonya, hanya kerana ingin belajar kembali al-Quran," fikir saya ketika mengajarnya mengenal dan mengeja ayat-ayat al-Quran kembali. Bukan senang seorang yang berumur hendak membawa Muqaddam semata-mata ingin mengenal al-Quran. Alhamdulillah, pak cik tersebut cepat mengenal kembali dan dapat membaca al-Quran sedikit sebanyak.

Selepas beberapa bulan bertugas di Masjid al-Hasanah, saya diamanahkan juga memimpin kumpulan kecil usrah al-Quran. Kumpulan yang akan bersama-sama membaca al-Quran seminggu sekali. Yang pasti, hanya seorang sahaja yang umurnya 17 tahun, yang lain agak berumur. Saya kagum apabila mereka istiqamah bersama untuk membaca al-Quran. Saya befikir, mungkin Allah s.w.t. ingin memberikan peluang kepada saya untuk mengamalkan satu seruan Rasulullah s.a.w. ke arah menjadi "sebaik-baik manusia adalah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya".

Selepas itu, ada beberapa kali lagi saya menemui beberapa orang di kalangan mereka yang berumur yang datang meluahkan perasaan, mereka mahu belajar al-Quran. Pernah satu ketika seorang pak cik datang meluahkan perasaanya kepada saya.
"Ustaz, macam mana ya, saya pernah membaca al-Quran di hadapan seorang ustaz. Dia katakan kepada saya, banyak sebutan huruf saya masih kemelayuan, tidak tepat seperti sebutan Arab", ujar pak cik tersebut sambil berkerut dahinya.

Fikiran saya mencari-cari formula bagaimana ingin memberi motivasi kepadanya. Allah s.w.t. mengingatkan saya satu Hadis yang pernah diajar oleh Ustaz Zulkifli beberapa tahun lalu dalam menghayati karya Imam Nawawi, "Adab Hamlatul Quran". Lalu saya menyatakan satu mafhum hadis nabi yang menyebut bahawa bagi mereka yang pandai membaca al-Quran, hanya satu kebaikan ketika membacanya akan tetapi mereka yang masih tersangkut-sangkut dan lemah bacaannya tetapi tetap ingin belajar dan membacanya mendapat dua kebaikan. Kebaikan bersusah payah dan kebaikan membacanya. Sambil memuji kesungguhannya, saya menyatakan memberi motivasi kepadanya agar tidak berputus asa. Alhamdulillah, saya kagum dengan pak cik tersebut kerana saya selalu melihatnya berada di masjid dan selalu mendekati halaqoh al-Quran.

Sepanjang bertugas di sini, saya juga sempat berkenalan dengan seorang pemuda. Umurnya hanya lebih setahun dari saya. Ketika berkenalan dengannya, dia merendah diri memperkenalkan dirinya sebagai pemuda biasa yang tidak berpelajaran tinggi. "Saya biasa saja ustaz, belajar tak habis pun," dia merendah diri memperkenalkan dirinya yang hanya menamatkan pengajian di sekolah, kemudian membantu ibunya berniaga di bangi.

Saya sangat kagum dengannya, walaupun masih tersangkut-sangkut membaca al-Quran, tetapi sangat istiqomah dalam halaqah mingguan. Dia pernah menyebut nama beberapa syeikh pembaca al-Quran dari Makkah dan Madinah yang diminatinya. Jelas, dia selalu mendengar bacaan al-Quran. dia juga selalu kelihatan solat jamaah di masjid, sangat ramah ketika bertemu. Saya kagum dengan anak muda ini.

Versi berbeza ditemui di kampus

Berbeza versinya saya di kampus, tidak ramai mahasiswa seberani beberapa inidividu di atas yang saya kagumi. Ramai yang tidak mengambil berat persoalan al-Quran, tidak berminat belajar meletakkan hak-hak al-Quran dalam pembacaan (makhraj, tajwid dan lain-lain). Hal sedemikian juga berlaku kepada ahli gerakan dan aktivis kampus.

Saya sangat risau kalau-kalau kita begitu bersemangat melaungkan slogan ingin memartabatkan al-Quran dalam negara akan tetapi kita tidak bersungguh memartabatkan al-Quran dalam diri kita. Masih ramai yang belum dapat membaca al-Quran dengan baik.

Tidak langsung terlintas di hati untuk menghina mana-mana pihak kerana saya pun masih dalam proses memperbaiki bacaan al-Quran. Cuma yang ingin saya timbulkan persoalan minat untuk belajar dan cinta dengan al-Quran.

Setiap kali bertemu dan berusrah bersama Ustaz Yahya Othman, nescaya dia tidak lupa mengingatkan ahli gerakan akan kepentingan al-Quran. Bahkan wasiat al-Banna juga ada menyebutnya. Maka saya ingin menempelak diri saya dan teman-teman pembaca untuk kita bermuhasabah pada bulan yang mulia ini.

Saya kagum kepada aktivis yang berani, tetapi saya lebih kagum sekiranya dia juga berani mengadap sesiap sahaja untuk belajar al-Quran. Saya kagum kepada aktivis gerakan yang menjaga perasaan malu, namun saya lebih kagum jika malunya bertempat, sanggup menebalkan muka walau terpaksa merangkak-rangkak demi mendekati al-Quran.

Adalah sesuatu yang tidak kena kalau aktivis gerakan jauh dari al-Quran. Mungkin ada yang masih malu, segan dan sebagainya. Maka ingin saya ulangi tawaran hebat Allah s.w.t. sebagaimana Hadith Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w. :


“Orang yang membaca Al Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.
( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

Saya tidak nafikan ramai juga yang membaca al-Quran secara individu, tetapi adalah lebih baik kalau kita bertadarus, betul-membetulkan bacaan antara satu sama lain agar kita tidak "syok sendiri", hanyut dengan kesalahan bacaan secara bersendirian. Terbukti, apabila kita bertadarus, kita temui banyak kesalahan bacaan sama ada baris, sebutan tajwid dan sebagainya. Tidak rugi kita membaca al-Quran bersama.

Ayuh teman-teman pembaca sekalian, jadikan Ramadhan kali ini medium kita bermuhasabah dan mendekatkan diri dengan teman petunjuk kita yang sebenar (al-Quran). Kita sahut gagasan yang dibawa oleh al-Syahid Sayyid Qutub untuk melahirkan aktivis gerakan yang merupakan "Generasi al-Quran yang Unik". Ayuh, kita kembali meperkasakan Saff gerakan sebagaimana saff gerakan generasi sahabat yang digelar "al-Quran yang berjalan di atas muka bumi". Yang pastinya juga, tidak cukup hanya sekadar menjadikan al-Quran sumber "hikayah" tetapi al-Quran mesti dijadikan sumber "hidayah".

* Saya mohon maaf   kalau ada yang terasa dengan penulisan saya ini terutama mereka yang pernah membaca dan bertadarus bersama.Saya langsung tidak berniat mengguris hati mana-mana pihak, sekadar muhasabah. Semoga kita tidak serik lagi untuk bertadarus bersama. Saya sangat kagum kepada mereka yang sanggup bertadarus walau masih belajar dan sanggup terus belajar.

* Artikel ini juga sebagai luahan kekaguman saya kepada mereka yang berumur dan tidak berpendidikan tinggi akan tetapi sangat bersungguh ingin belajar al-Quran

Muhasabah : "Aku Dan Dia (al-Quran)"

Sumber: http://tintaduat.blogspot.com/2010/08/aku-dan-dia.html

No comments: