Sebaliknya, hati yang mati membunuh segala bakat dan
potensi diri.
Sesuatu umat hanya boleh dibangunkan dengan menggerakkan
potensi dirinya serta mengarahkannya kepada pembangunan.
Dengan pengutusan Rasulullah SAW, segala bakat dan potensi
sahabat yang selama ini terpendam digerakkan dengan penghayatan al-Quran.
Hati yang hidup adalah hati yang subur dan bersedia untuk
mendengar, melihat dan menerima kebenaran.
Hati yang hidup begini mempunyai nur, tenaga dan kekuatan. Ia
sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dengan penuh khusyuk, takwa serta kasih
dan simpati kepada sesama makhluk.
Hati yang dihidupkan dengan al-Quran bersedia mematuhi
segala perintah syarak.
Dengan mematuhi segala perintah syarak barulah kehidupan
manusia akan sempurna. Bukankah Allah berfirman bermaksud:
"Sesungguhnya al-Quran ini
membimbing ke jalan yang lurus (benar)." - Surah
al-Isra’, ayat 9
Perkara ini disebutkan juga dalam firman-Nya bermaksud:
"Taha (maknanya hanya
diketahui Allah). Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu supaya kamu menjadi
susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah; iaitu
diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi?" - Surah Taha, ayat 1-4
Maka untuk menghidupkan hati dengan al-Quran, kita
memerlukan beberapa syarat:
1. Pertama, al-Quran
hendaklah dibaca dengan tenang dan khusyuk, dalam keadaan bersunyi diri
(berkhalwah), terutama pada waktu tengah malam atau fajar (Subuh).
Allah berfirman bermaksud:
"Sesungguhnya membaca
al-Quran pada waktu fajar (Subuh) itu disaksikan malaikat." - Surah al-Isra’, ayat 78
2. Kedua, membaca
al-Quran dengan pengamatan maknanya seperti yang dijelaskan dalam firman Allah
bermaksud:
"Tidakkah mereka merenungi
(tadabur) al-Quran itu?" - Surah
Muhammad, ayat 24
Pembacaan yang disertai dengan renungan dan pengamatan
sedemikian akan membuka pintu hati seseorang untuk menerima kebenaran yang
terkandung dalam al-Quran.
Dengan perkataan lain, roh dari alam tinggi (alam
Ketuhanan) yang dibawa oleh al-Quran itu akan turun dan meresapi ke dalam hati
pembaca al-Quran kemudian ia menghidupkannya.
Dengan itu hati dapat mengenal kebenaran dengan mudah dan
mencintainya. Nilai kebenaran dan kebaikan akan tumbuh subur dalam jiwanya.
Lantas ia menyukai kedua-keduanya, tetapi membenci dan menentang kebatilan dan
kejahatan.
3. Ketiga, sentiasa
bersikap bersedia untuk menerima kebenaran al-Quran sebelum membaca atau
mendengarnya.
Manusia sering dikuasai oleh hawa nafsunya. Segala keinginan
dunia (hingga membawa kepada kegilaan) adalah dinding (hijab) tebal yang
menutup hati seseorang itu sehingga menyebabkan enggan menerima hidayah Allah
melalui al-Quran.
4. Keempat,
merealisasikan kehambaan ('ubudiyyah) diri sewaktu membaca al-Quran.
Perasaan ini akan dapat menimbulkan keazaman untuk
merealisasikan segala ajaran al-Quran yang dibaca itu dalam kehidupan. Ini
semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah.
Dalam perkataan lain, pembacaan yang sedemikian akan
menimbulkan keazaman untuk bermujahadah iaitu melawan kemahuan diri yang
bertentangan dengan tuntutan ‘ubudiyyah kepada Allah.
Melaksanakan segala perintah Allah yang terkandung dalam
al-Quran adalah tafsiran makna ayat yang dibacanya itu di dalam kehidupan.
Untuk memastikan ia terus hidup dan segar, maka hati perlu
sentiasa menjalani proses mujahadah (melawan segala kemahuan diri yang
bertentangan dengan ajaran Islam).
Hati yang tidak bermujahadah, ertinya hati itu beku dan
kotor. Hati yang kotor dan beku menyebabkan seseorang itu tidak ingin melakukan
kebaikan, malah ia sentiasa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran
Islam.
Perkara ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW
bermaksud:
Huzaifah berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah
bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam
secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh
fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam.”
"Begitu juga dengan hati yang tidak dihinggapinya,
akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati itu terbahagi kepada
dua.”
"Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang
tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada, manakala
sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga yang
berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran,
segala-galanya adalah mengikut keinginan." (Riwayat al-Bukhari di dalam
Kitab Iman, Hadis No. 207)
Sumber: http://www.iluvislam.com/tazkirah/dakwah/853-4-syarat-hidupkan-hati-dengan-al-quran.html
No comments:
Post a Comment