Bismillahirrahmanirrahim..
Allahuakbar, Allahuakbar,
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar walillahilhamd.
Alhamdulillah, segala puji dan
syukur kita panjatkan kepada Allah, yang berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW penyampai risalah
Islam, yang gigih dan tidak pernah berputus asa dalam menyampaikan wahyu yang
diturunkan kepada Allah sebagai rahmat untuk sekalian alam.
“Wahai orang-orang
yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas
orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa” [surah al-Baqarah: 183]
Madrasah Ramadhan
mendidik kita agar menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah. Bulan dimana
diikat syaitan demi memastikan kita dapat melaksanakan perintah berpuasa ini
dengan sebaiknya. Ramadhan juga mengajar kita untuk mengawal dan menguasai hawa
nafsu kita yang sememangnya buas bak haiwan pemangsa yang kelaparan dan
meronta-ronta mencari sesuap makanan. Namun, segalanya terletak pada diri kita
untuk merebut peluang yang diberikan atau terus leka dengan mainan dunia.
Satu hadis Nabi
SAW yang mafhumnya berbunyi:
“Celakalah bagi
sesiapa yang bila berakhirnya Ramadhan, dosanya tidak diampunkan oleh Allah
SWT”
Justeru,
bagaimanakah keadaan diri kita? Adakah kita termasuk golongan yang diampunkan
atau golongan yang dilaknat oleh Rasulullah SAW?
Pada hari ini,
ramai yang berseronok tatkala tibanya Syawal. Keadaan ini sudah pasti berbeza
dengan zaman pada sahabat yang mana mereka menangis dan sedih bilamana Ramadhan
akan berlalu pergi walaupun dikurniakan oleh Allah suatu hari perayaan yang
sungguh bermakna akan tetapi kita pada hari ini berbeza pula dengan mereka
ibarat langit dan bumi.
Jika mereka sedih
kerana ditinggalkan Ramadhan, kita pula berseronok kerana ibadah puasa sudah
berlalu. Jika mereka sedih kerana mengharapkan ampunan dari Allah dalam bulan
mulia ini, kita pula bergembira kerana
tidak perlu lagi bangun awal pagi untuk bersahur. Begitu hebatnya umat zaman
dahulu berbanding kita.
Sidang pembaca
yang dikasihi sekalian,
Kehangatan
menyambut Syawal sudah pastinya sedikit sebanyak melunturkan semangat untuk
menghabiskan saki baki Ramadhan yang dijanjikan dengan penuh keberkatan ini.
Sudah semestinya amalan dan ibadah kita akan terganggu dek kerana sibuk dengan
persiapan menyambut hari raya.
Jika dibulan
Ramadhan kita mampu menghabiskan satu juzuk al-Quran dalam sehari bahkan lebih,
bagaimana pula dengan ibadah sunat tersebut apabila masuknya kita ke bulan
Syawal? Begitu juga dengan amalan-amalan kita yang lain. Tepuk dada tanya iman.
Hanya kita yang tahu jawapannya.
“Jika kamu
beribadah dan beramal kerana Ramadhan, ketahuilah bahawa Ramadhan akan pergi
akan tetapi jika kamu beribadah kerana Allah, maka ketahuilah bahawa Allah itu
hidup dan tidak akan mati”
Jangan pula kita
melupakan dan mengabaikan sunat-sunat yang diajarkan oleh Nabi kesayangan kita
di bulan Syawal ini. Sebolehnya paksalah diri kita untuk berpuasa sunat enam
hari di bulan Syawal yang mulia ini kerana nabi pernah bersabda bahawasanya
barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dan seterusnya berpuasa enam hari
pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. Oleh itu,
janganlah kita lepaskan peluang untuk beramal
kerana sehebat mana pun kita, kita sudah pasti tidak mampu menjamin
untuk melaksanakannya pada masa akan datang.
Oleh yang demikian,
saya berpesan kepada diri saya dan sidang pembaca sekalian untuk kita bertaqwa
kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Marilah sama-sama kita memohon kepada
Allah agar diampunkan segala dosa kita baik yang dilakukan secara sengaja atau
pun tidak sengaja. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan hanya Dia yang boleh
mengampunkan dosa-dosa kita.
Kepada rakan-rakan
yang beraya di perantauan, janganlah bersedih. Kita adalah keluarga.
Rakan-rakan kita inilah abang, kakak serta adik kita yang boleh sama-sama kita
berkongsi suka dan ceria kita menyambut Aidilfitri. Sudah semestinya kita
merindui keluarga dan sanak saudara di kampung halaman. Jangan lupa untuk
menghubungi keluarga di kampung demi mengejar ampunan dan kasih sayang mereka
dan bukan hanya sekadar duit raya.
Bagi kawan-kawan
yang berada di Malaysia, hargailah setiap detik bersama keluarga anda kerana
siapa tahu mungkin inilah Aidilfitri terakhir kita bersama mereka. Pohonlah
kemaafan daripada kedua orang tua serta saudara mara kita kerana tiada siapa
yang boleh menjamin peluang untuk kita berbuat demikian di tahun-tahun
mendatang.
Justeru, saya
mewakili barisan kepimpinan PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) 2011 mengucapkan
selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam umumnya dan
warga sains kesihatan Universiti Zagazig, Mesir khususnya. Kami memohon jutaan
kemaafan baik dari segi perkataan, perbuatan atau sebagainya yang mungkin
sengaja atau mungkin tanpa kami sedari. Sampaikan salam kami kepada keluarga
anda dengan lafaz yang mulia assalamualaikum wbt.
Semoga Allah menerima amalan-amalan kita di
bulan Ramadhan seterusnya memilih kita untuk terus berada dalam rahmat dan
kasih sayangNya hingga ke syurga yang kita idamkan kelak.
Taqabbalallahu
minna wa minkum. Siru ‘ala barakatillah.
“AT-TAQWA,
AS-SYIFA’, AR-RAHMAH”
“Ilmuan Berbakti,
Teguh Sehati”
MOHD BUKHARI
MUSLIM BIN MOHD NADZIM
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan
Zagazig 2011.
2 comments:
minni wa minka taqabbal ya karim..segala puji bagi Allah yang membuatkan perutusan aidilfitri tuan pengerusi terkesan di hati, menyentak naluri kemanusiaan kepada ketaqwaan. semoga Allah memberkati tuan. tuan benar, hargai detik yang sedang berlaku kerana yang akan datang itu belum lagi tentu. terima kasih atas peringatan ini. jazakallah
selamat hari raya
Post a Comment