BismillahirRahmanirRahim..
Alhamdulillah..
segala puji hanya layak diberikan kepada Allah, Tuhan yang menciptakan langit
dan bumi serta segala isinya tanpa memerlukan bantuan sesiapa pun. Selawat dan
salam atas junjungan mulia nabi Muhammad SAW, pembawa risalah kebenaran dalam
menentukan masa depan sebuah tamadun yang gemilang.
Dalam
kedinginan cuaca hari ini, panas pula terasa dek kerana bahang pilihanraya
PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) yang kian melabuhkan tirainya. Seringkali
ditanyakan kepada saya tentang siapakah calon-calon pilihan hati saya dalam
usaha untuk meneruskan agenda serta silibus Islam yang dibawa oleh PCZ untuk
seluruh mahasiswa sains kesihatan di bumi Zagazig ini.
Tanggungjawab
seorang yang mengaku Islam tidak dapat lari dari menjadi salah seorang yang
mengajak manusia kepada kebaikan dan berusaha mencegah daripada melakukan
perkara-perkara mungkar. Tugasan ini terpundak bukan sahaja kepada para
pimpinan bahkan yang bukan pimpinan juga turut terlibat sama.
PESANAN BUAT BAKAL PIMPINAN
Saya
yakin dan percaya bahawa kalian sudah pasti mengetahui dan mendalami niat dan
maksud sebenar kalian ingin menjadi pimpinan. Saya juga yakin bahawa kalian
mengetahui akan beratnya amanah dan tanggungjawab seorang pemimpin dan sudah
pastinya pemimpinlah orang pertama yang akan disoal di akhirat kelak.
Namun
begitu, kita selaku makhluk yang lemah tetap juga memilih jalan untuk berada di
barisan kepimpinan walaupun kita mengetahui akan segala perkara tersirat
disebaliknya. Menjadi pimpinan bukanlah suatu tugasan yang mudah.
“Jawatan merupakan suatu taklifan (tanggungjawab) dan bukan tashrifan
(kemuliaan)”
Oleh
sebab itu, saya mengajak kalian untuk melihat kembali akan niat dan tujuan kita
untuk menjadi pimpinan. Jika hanya kerana ingin berseronok dengan populariti,
saya berani mengatakan bahawa anda tidak akan ke mana dan mungkin tidak mampu
melaksanakan tanggungjawab yang akan diberikan kelak.
Bercakap
apabila kita berada dibawah sememangnya suatu perkara yang mudah namun apabila
anda berada di atas, pasti anda akan menyedari betapa sukarnya melaksanakan apa
yang anda mungkin pernah idamkan suatu ketika dahulu.
Bakal
pimpinan yang dikasihi sekalian,
Istilah
perubahan sememangnya mudah untuk dituturkan namun adakah kalian yakin dan
pasti bahawa kalian mampu membawa perubahan yang dilaungkan?
Dunia
hari ini menyaksikan ramai yang mampu bercakap tatkala bukan berada
ditempatnya. Terkenang di kala awal sesi kepimpinan saya, pelbagai perkara yang
saya sendiri ingin ubah dan kemaskan namun apabila berada di medan yang
sebenar, barulah saya perasan dan akui bahawa bukannya mudah untuk membuat
suatu perubahan. Ianya perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati.
Justeru,
saya mengingatkan kalian untuk perbetulkan niat kalian supaya agenda Islam yang
dibawa oleh PCZ tidak dibantutkan oleh kalian. Saya juga berdoa dan berharap
agar kalian sentiasa memohon kepada Allah supaya sentiasa diberi hidayah dan
petunjuk dalam landasan yang kalian pilih demi masa depan (akhirat) kalian.
PIMPINAN IDAMAN UMMAH
Apabila
kita berbicara soal kepimpinan, terdapat beberapa aspek yang perlu kita
perhatikan dan halusi. Kita sudah semestinya mengimpikan suatu barisan
kepimpinan yang mampu membawa Islam ketempatnya sepertimana yang pernah
diungkapkan oleh Saidina Umar al-Khattab:
“Islam
adalah yang tertinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya”
1. Kefahaman Islam yang mantap
Kita
seringkali terlepas pandang akan ciri yang saya kira paling penting dalam
pemilihan barisan pimpinan kerana hanya kefahaman Islam yang jelas mampu
membawa sesebuah organisasi ke arah yang diredhai. Apabila kita mengambil sikap
untuk tidak melihat akan aspek pertama ini, pastinya kita merupakan punca dan
asas utama kepada sesuatu masalah pada masa hadapan.
Pimpinan
yang faham Islam dengan baik pastinya mampu menyusun setiap urusan yang
dilakukan dengan penuh teliti dan bijaksana. Pimpinan yang baik adalah seorang
pemimpin yang bukan hanya sekadar hebat berteori bahkan mampu bekerja seiring
dengan apa-apa yang dilaungkan. Hal ini disebabkan kesedaran beliau untuk
melaksanakan amanah dan tanggungjawab tersebut dengan bersungguh-sungguh.
2. Komitmen yang tidak berbelah bahagi
Seorang
pimpinan tidak dapat lari dari kerja dan tugasan yang sangat banyak. Lihat saja
kepada kawan-kawan di sekitar kita yang sering menjadi ahli jawatankuasa
pelaksana sesebuah program. Hal itu pun sudah menyibukkan beliau dengan tugasan
yang diberikan, apatah lagi jika kita bandingkan dengan tugasan sebagai seorang
ahli jawatankuasa tertinggi PCZ yang bukan sahaja menguruskan portfolionya bahkan terpaksa
memikir dan menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku di sekitarnya
Tugasan
yang terlalu banyak ini seringkali menjadi punca utama kepada kelunturan
semangat seseorang. Pengalaman beberapa tahun memegang tampuk kepimpinan sudah
cukup membuktikan kepada saya tentang semangat dan niat saya bekerja. Dengan
masalah yang pelbagai, karenah ahli yang bermacam-macam, tanggungjawab sebagai
seorang penuntut ilmu dan sebagainya seringkali membuatkan semangat untuk terus
berjuang di medan kepimpinan hampir terpadam.
Tanpa
niat yang murni dan semangat yang kental, hampir tidak mungkin untuk sesiapa
yang memegang tanggungjawab ini meneruskan apa yang dihajatkan sebelumnya.
Pengalaman ini sudah pastinya menjadi point yang perlu dikongsikan dengan sidang
pembaca sekalian. Jika anda benar-benar mahukan suatu perubahan, pilihlah
pemimpin yang mampu bekerja bukan hanya hebat mengkritik.
3. Pengurusan yang sistematik
Dalam
mengharungi arus globalisasi, kita memerlukan suatu barisan kepimpinan
yang bukan hanya kuat bekerja akan tetapi bijak menguruskan sesuatu.
Pengurusan
yang baik mampu menatijahkan suatu tindakan yang efektif namun ianya akan wujud
sekiranya pimpinannya bijak menguruskan sesuatu urusan dan masalah. Hari ini
ramai dalam kalangan yang mampu menjadi pemimpin atas kertas akan tetapi berapa
ramai yang mampu menguruskan sebuah organisasi yang mempunyai etika dan
perlembagaan yang harus dipatuhi?
4. Pemikiran yang kritis dan kreatif
Pimpinan
seringkali berdepan dengan masalah yang mana tidak dapat tidak perlu
diselesaikan dengan penuh teliti dan bijaksana. Pemikiran yang kritis dan
kreatif diperlukan bukan sahaja dalam usaha untuk menggerakkan atau
mengembangkan portfolio yang diamanahkan bahkan ianya
diperlukan dalam mencari penyelesaian kepada setiap masalah yang berlaku.
PCZ
seringkali ditohmah dengan idea dan perancangan yang diistilahkan sebagai stereotype. Tidak dinafikan bahawa mungkin PCZ
agak kurang dari segi idea dalam beberapa sudut. Oleh yang demikian, perlunya
seorang pemimpin yang lengkap dengan pimikiran yang kreatif dalam erti kata
ingin kembangkan PCZ ke tahap yang lebih baik.
SARANAN BUAT AHLI
Salah
satu tiang yang mengukuhkan sesebuah gerakan atau organisasi adalah ahli kepada
persatuan itu sendiri sepertimana yang diistilahkan oleh tokoh-tokoh gerakan
Islam dunia kini iaitu jundiah
at-to’ah (askar yang taat).
Persoalannya, mengapa ianya disebut sebagai askar dan bukannya ahli atau
penyokong?
Kita
sudah sedia maklum bahawa seorang askar tidak dapat lari dari tugasnya untuk
bekerja dan mengikut arahan. Berbeza dengan istilah ahli atau penyokong yang
mana masing-masing membawa identiti yang berbeza. Ahli atau penyokong biasanya
hanya hebat dan tahu mengkritik akan tetapi malas untuk bekerja.
Lihat
sahaja penyokong kepada mana-mana pasukan bola. Tatkala pasukannya menang,
dialah orang yang paling gembira bersorak mengatasi pemain itu sendiri akan
tetapi sekiranya pasukannya itu kalah, maka dialah orang pertama yang akan
mengkritik pasukan pilihannya itu.
Kawan-kawan
yang saya hormati sekalian,
Seorang
askar biasanya akan mengikut arahan dari ketuanya atau panglimanya tanpa ada
sedikit pun kritikan yang menjatuhkan maruah dan kredibiliti pimpinan tersebut.
Saya tidak maksudkan bahawa mengkritik itu salah akan tetapi apa yang saya
ingin tekankan ialah kritikan dengan niat untuk menjatuhkan hanyalah akan
memberi impak dan tanggapan yang negatif apatah lagi jika ianya dijadikan modal
untuk sebuah persatuan ditohmah dan difitnah.
Pemimpin
ada tanggungjawabnya. Begitu juga dengan ahli. Setiap daripada kita tidak
terlepas dari tugasan dan amanah kita namun kita harus lihat sejauh mana kita
menjalankan amanah yang kita pikul semenjak kita dilahirkan sehingga sekarang.
Janganlah
kita melihat kepada kelemahan seseorang tanpa kita mengetahui akan kelemahan
diri kita sendiri kerana sudah menjadi lumrah kehidupan dan asas penciptaan
bahawa setiap dari kita sengaja Allah ciptakan dengan kelebihan dan kekurangan
masing-masing.
IMPIAN UNTUK DIREALISASIKAN
Sehubungan
dengan berlangsungnya pilihanraya peringkat PERUBATAN, saya meyeru sidang
pembaca sekalian untuk sama-sama kita koreksi diri dan mengenalpasti niat
sebenar kita sebelum kita memilih barisan kepimpinan yang akan menjadi penentu
neraca timbangan kita di akhirat kelak.
Saya
melihat persaingan untuk pemilihan kepimpinan pada tahun ini merupakan suatu
persaingan yang sihat. Saya juga berasa lega kerana masih ramai pelapis yang
sanggup memikul amanah untuk menjadi mata-mata rantai perjuangan Islam yang
dibawa oleh PCZ. Setiap zaman ada pemimpinnya dan kitalah dilihat sebagai
penentunya. Setiap undi kita pasti akan mendatangkan saham di akhirat kelak.
Persoalannya, adakah saham kita menguntungkan atau merugikan?
Walau
siapa pun yang naik untuk kepimpinan yang akan datang, saya mengajak anda semua
untuk sama-sama kita memberikan wala’ dan ketaatan dengan penuh komitmen demi
melihat kejayaan dan kemenangan Islam pada masa hadapan. Janganlah kita menjadi
kemuncup dalam perjuangan kerana sudah pasti kita akan membantutkan kemenangan
Islam yang kita idamkan.
Tuntasnya,
pilihlah pemimpin yang bukan hanya mampu memberi keseronokan kepada kita di dunia dengan menggadaikan
kebahagiaan di akhirat akan tetapi telitilah dan pilihlah pemimpin yang mampu
membahagiakan kita di dunia dengan memandu kepada ketaatan kepada Sang Pencipta
sebagai jambatan untuk kita mendapat kebahagiaan hakiki di akhirat sana.
Siru
‘ala barakatillah.
1 comment:
terima kasih atas nasihat dan saranan yang amat bermakna bagi semua peringkat.
artikel ini menyedarkan tentang tanggungjawab dan bertindak dengan bijak serta pentingnya niat disamping cabaran yang menanti.
semoga Allah berkati tuan pengerusi.
jazakallah khairal jaza'
Post a Comment