Istilah mengIslamkan sains seakan-akan menjadi satu gelombang baru
untuk para saintis Islam membuktikan kebenaran Islam. Pengislaman sains
ialah satu cara untuk memaparkan ilmu sains sebagai selaras dengan
ajaran Islam.
Al-Quran Sebagai Sumber Inspirasi
Gerakan ini menggunakan penemuan-penemuan sains moden dan
memadankannya dengan ayat-ayat Al-Quran yang difikirkan boleh diterima
akal. Di antaranya ialah penemuan sains berkenaan bumi ini bulat dan
memadankannya dengan ayat ke-19 Surah Al-Hijr atau memadankan Surah
Ar-Rum ayat ke-48 dengan pemahaman sains berkenaan kitaran hujan.
Terkini, apabila teori letupan agung (Bing Bang) oleh Edwin Hubble
mulai diterima oleh masyarakat sains kontemporari menggantikan teori
steady-state oleh Fred Hoyle, pada masa yang sama dikeluarkan juga dalil
daripada Al-Quran (ayat ke-30, Surah Al-Anbiya) yang telah lama
menyokong penemuan saintifik ini.
Para pengusul dalil ini membuat tafsiran berdasarkan dua kata dasar
bahasa Arab dalam ayat tersebut, 'ratq' bermaksud 'bercantum' dan fataq
yang bermaksud 'memisahkan atau membelahkan'.
Dengan erti kata lain, Islam itu sendiri sudah lama membuktikan teori
gelombang agung kerana ianya sudah dinyatakan didalam ayat Al-Quran
yang berumur lebih daripada 1400 tahun.
Cara pemikiran ini dirancakkan lagi di dalam buku-buku karya Harun Yahya dari Turki.
Pembaharuan berfikir secara saintifik di dalam membuktikan kebenaran
Islam sebenarnya adalah satu trend yang sihat sebagai satu lagi wadah
dakwah yang mencerminkan budaya umat Islam berfikir sudah berubah.
Sebagai contoh nilai bantu wadah dakwah ini, apabila bukti saintifik
yang menunjukkan satu rekahan yang begitu panjang di permukaan bulan
sepadan dengan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang telah membelah bulan
apabila dipinta oleh orang-orang Quraisy telah membuatkan manusia barat
berbondong-bondong menjadi 'saudara baru' memeluk Islam.
Pembaca Pasif
Sebenarnya, umat Islam adalah pembaca-pembaca yang pasif walaupun
ayat-ayat Al-Quran itu sendiri mengajak mereka untuk berfikir secara
kritis dan inovatif.
Sebagai contoh, teori letupan agung telah berada di dalam dada
Al-Quran selama lebih daripada 1400 tahun tetapi tiada seorang pun umat
Islam yang menyedari akan tujuan sebenar ayat tersebut.
Surah ini sudah dibaca oleh berjuta-juta umat Islam dari dulu
sehingga sekarang tetapi tiada seorang pun yang berhenti sejenak dari
bacaan mereka dan merenung dengan kritis maksud di sebaliknya. Kemudian
dengan sabarnya menunggu waktu malam untuk melihat langit di atasnya
untuk memerhati apakah ayat itu cuba menyampaikan sesuatu berkenaan
langit dan bumi. Mungkin dulu ianya satu. Selepas membuat pemerhatian
dan mendapat keyakinan bahawa langit dan bumi mungkin pada suatu masa
dahulu bercantum, mulai mencipta radas-radas dan alat-alatan saintifik
untuk membuktikan pemerhatiannya sekaligus membenarkan ayat-ayat-Nya.
Tugasan ini mungkin rumit dan meletihkan tetapi ianya juga salah satu
wadah jihad untuk sarjana-sarjana Islam. Sebaliknya, apa yang berlaku
adalah hampir kesemua sarjana dan pemikir Islam kontemporari hanya
menunggu 'durian runtuh' dan menikmati hasil penat lelah pemikir-pemikir
yang mencipta penemuan tersebut.
Jika kita membilang sudah berapa banyak penemuan sains yang sepadan
dengan dalil-dalil Al-Quran yang dibaca oleh Muslim setiap hari, mungkin
sudah ramai penerima hadiah Nobel terdiri daripada umat Islam dan
bukannya orang Yahudi.
Di dalam artikel ini, saya akan cuba memperkenalkan cara untuk
memanfaatkan kaedah-kaedah sains untuk menyelesaikan permasalahan umat
Islam masa kini. Mungkin ada sarjana-sarjana Islam akan membantah kerana
Islam tidak boleh di'sains'kan sepertimana ilmu laduni (ilmu yang
diturunkan oleh Allah secara langsung kepada manusia). Dalam erti kata
lain, Islam tidak boleh diukur oleh radas-radas dan alat-alat saintifik.
Sebenarnya, Islam itu sendiri mempunyai cabang ilmu yang bersifat
mengukur iaitu ilmu Fikah. Ilmu fikah menyerupai ilmu Fizik di dalam
sains di mana ianya melibatkan akal kerana sains lebih bersifat akal.
Ini bermakna Fiqah adalah cabang ilmu di dalam Islam yang mengkaji suatu
permasalahan ummah yang boleh diukur, dikaji dan diulangi.
Menentukan Arah Kiblat
Kebanyakkan saudara baru selalunya merujuk kepada buku oleh Ahmed
Galwash yang menyatakan untuk mencari arah kiblat yang betul adalah
dengan mengunakan peta Mercator, kemudian letakkan satu hujung pembaris
ke arah si pencari berdiri dan satu hujung pembaris lagi pada arah
Mekah, buat satu garisan menggunakan pen dan itulah arah kiblat.
Ramai juga muslim menggunakan konsep bulatan agung (Great Circle
concept) yang selalunya digunakan dalam penerbangan. Jarak bulatan agung
ditakrifkan sebagai jarak terpendek di antara dua titik pada permukaan
satu sfera. Kaedah pencarian arah kiblat yang tepat menggunakan konsep
bulatan agung telah dicipta oleh Fred Sawyer III, seorang ahli
matematik.
Satu kaedah bergeometri juga diperkenalkan dengan menggunakan ukuran
darjah satu sudut di antara utara dan kedudukan seseorang kearah Kaabah.
Sudut itu dipanggil azimuth, daripada perkataan Arab samt yang bermakna
arah.
Walaubagaimanapun, permasalahan arah kiblat kebanyakkan diselesaikan
oleh mereka yang dilahirkan Muslim lebih bersifat santai dan boleh
dibahagikan kepada dua kategori; mengikut cara tradisi dan menggunakan
kaedah bermatematik.
Kompas kiblat sebenarnya adalah evolusi daripada kaedah bermatematik.
Kaedah tradisi termasuklah, "Jika anda boleh melihat Kaabah, maka
itulah arah kiblat' atau 'Jika anda berada di Mekah, ikut arah di mana
penduduk asal itu menghadap'.
Tetapi masalah menjadi semakin rumit apabila seseorang Muslim itu
tidak tinggal di Mekah. Maka pelbagai petua dicipta seperti mengikut
arah angin tertentu atau teruskan solat tanpa mengetahui arah kiblat
kerana empat dinding Kaabah mengala ke semua arah.
Kemudian kaedah bermatematik dicipta, atau kuasi-matematik. Secara
sejarahnya, masalah paling utama dalam menggunakan kaedah bermatematik
adalah tiada ilmuwan boleh menentukan longitude sesuatu tempat secara
tepat. Maka, kaedah bermatematik adalah paling berkesan tetapi
dilemahkan dengan fakor geografi. Oleh kerana itu, walaupun kaedah
bermatematik lebih maju dan tepat, tetapi keputusannya -- mengikut
penemuan terkini – tersasar.
Ada usaha fuqaha beraliran sekular menggunakan pengiraan
trigonometri. Ianya dikira menggunakan lokasi koordinat seorang muslim,
koordinat Kaabah (atau Mekah), dan satu formula trigonometri bersfera
mudah untuk menentukan bulatan agung yang di antaranya menggunakan
kaedah trigonometri seperti sine dan cosines dan kadangkala menggunakan
sektor kuadran tangents dan cotangents.
Perpecahan Umat Islam
Sepanjang sejarah Islam, ahli-ahli astronomi Islam telah menghabiskan
masa mereka untuk menentukan arah kiblat dan mencipta alat-alat seperti
astrolabe, di mana kemudiannya menjadi alat yang terpenting untuk
pelayaran dan penjelajahan. Perlu diingati, kiblat pertama umat Islam
sebenarnya bukan Kaabah tetapi Jeruselam dan umat terdahulu berkongsi
arah dengan orang Yahudi dan kemudiannya arah kiblat telah berubah
selama-lamanya ke Kaabah oleh Nabi Muhammad SAW.
Perubahan ini memberi identiti sendiri kepada umat Islam supaya
berbeza daripada orang Kristian dan orang Yahudi. Oleh itu, kiblat
menjadi urat nadi umat Islam.
Persoalan arah kiblat menjadi mudah di negara di mana penduduknya
adalah majoriti Islam kerana telah dijawab beratus tahun dahulu oleh
nenek moyang mereka yang juga beragama Islam. Tetapi oleh kerana proses
mobiliti dan penyebaran populasi yang dibawa oleh sejarah pengkolonian,
pembaharuan oleh era globasisi dan penghijrahan umat Islam secara
besar-besaran telah mencipta satu keperluan untuk menentukan arah kiblat
yang lebih tepat di negara-negara yang mempunyai Islam minoriti seperi
Amerika, Australia dan New Zealand.
Contohnya,kebanyakkan masjid-masjid pendatang di Detroit, Amerika,
ketika dulu menghadap Timur atau tenggara. Kemudiannya pada tahun 1978
seorang Fuqaha Islam, S. Kamal Abdali, telah mencadangkan bahawa arah
kiblat bagi Amerika Utara adalah di Timur Laut dan cadangan ini
diterimapakai di Amerika Utara sehingga kini.
Malangnya, permasalahan arah kiblat menjadi semakin rumit apabila
melibatkan perbezaan mazhab dan pada akhirnya umat Islam berpecah-belah.
Lebih memalukan, di dalam era matematik, geografi dan komputer ketika
sains pelayaran, pengiraan dan Cartography mencapai kemuncaknya, dan
dengan penciptaan teknologi terkini, orang bukan Islam tidak menemui
masalah di dalam mencari arah untuk belayar sehingga ke kutub utara dan
mengembara hingga ke bulan, walhal umat Islam masih tidak mempunyai
persetujuan di dalam isu yang kecil ini.
Diceritakan cara menentukan arah kiblat bagi masjid baru di Tierra
del Fuego adalah dengan memanggil seorang Fuqaha dari Algeria dan
mendengar pendapatnya dan apabila masjid itu siap dibina seorang lagi
Fuqaha ternama Islam melawat masjid tersebut telah memberi pendapat yang
berbeza berkenaan arah kiblat.
Fatwa secara subjektif ini telah membuatkan Islam amat sukar diterima
di benua Amerika. Kaedah memberi fatwa secara subjektif ini juga telah
mencipta jurang baru sesama umat Islam dan akhirnya mengakibatkan
perpecahan. Sewajarnya, kaedah memberi fatwa yang bertunjangkan ijtihad
bersandarkan dengan fakta yang lebih bersifat saintifik supaya mudah
diterima akal.
Projek Satu Arah Kiblat
Isu ini sebolehnya tidak boleh dipandang enteng oleh umat Islam
terutamanya sarjana-sarjana Islam. Oleh itu, satu projek yang dinamakaan
'Satu arah kiblat' dicipta oleh saya dengan khidmat nasihat oleh
seorang ulama terkenal UK telah dilancarkan.
Tujuan utama projek ini adalah untuk menentukan arah kiblat secara
saintifik demi menyatukan umat Islam di samping memberi satu kaedah baru
kepada dunia Fikah berkenaan ijtihad.
Seperti yang telah dibincangkan, terdapat dua cara menentukan arah
kiblat iaitu (1) cara tradisi dan (2) kaedah bermatematik, tetapi kini
kami memperkenalkan kaedah ketiga iaitu secara kaedah saintifik. Kaedah
ketiga ini amat mudah iaitu dengan memerhatikan arah piring satelit yang
boleh didapati di mana-mana sahaja.
Sebagai bukti, jika anda berada di Malaysia, cuba perhatikan arah
piring satelit Astro dan arah mana-mana masjid yang berdekatan.
Sepanjang pemerhatian saya, hampir kesemua piring satelit Astro
menghadap ke arah kiblat dengan tepat. Ketepatan arah kiblat menggunakan
arah piring satelit adalah amat tepat dan terbukti apabila diukur
ketepatannya dengan kompas kiblat.
Untuk memastikan bahawa kaedah ini boleh diterima pakai di seluruh
dunia, kami akan mengumpul data arah piring satelit di segenap benua.
Dengan data yang akan dikumpul, maka kesimpulan dapat dibuat secara
statistik sama ada kedudukan piring satelit di seluruh dunia kesemuanya
menghadap Kaabah.
Jika kesimpulan berstatistik mendapati kesemua piring satelit di
seluruh dunia menghadap Kaabah maka satu alat baru dapat dicipta dengan
memahami lebih lanjut fenomena ini dan sekaligus meredakan perselisihan
di antara umat Islam masa kini.
Seperti dinyatakan, kompas kiblat datangnya daripada evolusi kaedah
bermatematik yang bergantung kepada ketepatan koordinat sesuatu lokasi
dan seperti yang dibincangkan masih lagi diragui ketepatannya.
Oleh kerana itu, proses membina masjid baru di benua Amerika masih
lagi menggunakan kaedah tradisi dengan pedoman seorang Fuqaha yang
selalunya bersifat subjektif.
Di dalam kesempatan ini, saya ingin memohon kerjasama semua Muslimin
dan Muslimat supaya dapat berganding bahu untuk membantu saya
melaksanakan projek ini. Kami dalam peringkat membina laman web sebagai
alat untuk pengumpulan data.
Tujuan pembinaan laman web ini adalah untuk meminta kerjasama
individu Muslim memberi arah mana-mana piring satelit yang mereka jumpai
dengan pengesahan daripada arah masjid yang berdekatan dan juga
daripada kompas kiblat.
Walaupun kompas kiblat kurang tepat tetapi penggunaannya masih lagi
boleh diterima pakai pada peringkat pengumpulan data. Semoga projek ini
dapat menjadi satu nafas baru kepada penyatuan umat Islam di seluruh
dunia.
- Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment