Hikmah berdakwah
dalam kondisi mahasiswa
Sering kali kita mendengar orang mengatakan hendaklah
berdakwah dengan cara berhikmah. Firman Allah yang bermaksud : “ Serulah
manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan
bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih
mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih
mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Nahl, ayat 125)
Ayat ini mengandungi petunjuk bagi para rasul dan pendakwah
bagaimana cara menyampaikan dakwah kepada manusia yang bermacam-macam jenis
itu. Para pendakwah akan menghadapi pelbagai golongan manusia yang berbeza dari
segi latar belakang, ilmu dan perangai.
Dalam kondisi mahasiswa, kebanyakkannya didedahkan dengan
pelbagai ilmu dan pelbagai pandangan. Sehinggakan ia membawa kepada perdebatan
yang boleh merugikan kedua-dua pihak. Itulah perlu diketahui hikmah untuk
berdakwah dan yang perlu difikirkan cara terbaik dalam kondisi kampus yang
mempunyai pelbagai pemikiran dan pandangan. Melalui pendekatan yang baik,
setiap perbincangan akan merasai nilai perbincangan dan menerima dengan lapang
dada. Itulah metode berdakwah yang benar kepada agama Allah sesuai dengan
kecenderungan setiap manusia.
Syeikh Muhammad Abduh menyimpulkan dari
ayat di atas bahawa seorang pendakwah akan menghadapi tiga jenis manusia iaitu:
1) Golongan cendekiawan yang dapat berfikir secara kritis dan mendalam, cepat dapat menangkap sesuatu persoalan. Mereka ini harus didakwah dengan berhikmah, iaitu dengan alasan, dalil dan hujah yang dapat diterima oleh kekuatan akal mereka.
2) Golongan orang awam yang kebanyakkannya belum dapat berfikir secara kritis, belum dapat menangkap pengertian yang tinggi-tinggi. Mereka hendaklah didakwah dengan nasihat dan pengajaran yang baik iaitu melalui pendidikan yang baik dan mudah difahami.
3) Golongan yang tingkat kecerdasannya diantara yang tersebut diatas. Mereka ini hendaklah didakwah dengan bertukar-tukar pandangan dan fikiran yang boleh mendorong untuk berfikir secara sihat dalam mencari kebenaran. Oleh itu, dakwah yang berkesan adalah mengikut kondisi orang yang didakwahnya.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “ Berbicaralah
kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing” (Riwayat
Muslim)
Walaupun begitu Mohd. Natsir dalam bukunya
Fiqhud-dakwah menyebutkan bahawa hikmah itu lebih dari semata-mata ilmu. Ia
adalah ilmu yang sihat, yang sudah dicernakan; ilmu yang padu dengan rasa
periksa, sehingga menjadi daya penggerak melakukan sesuatu yang bermanfaat lagi
berguna. Kalau dibawa kepada bidang dakwah ia bermaksud melakukan sesuatu
tindakan yang berguna dan efektif. Inilah yang lebih benar kepada memahamkan
maksud hikmah dalam erti kata yang lebih luas daripada membatasi erti hikmah
kepada alat atau cara menyampaikan dakwah kepada golongan cendekiawan.
Oleh itu, hikmah dalam bidang dakwah diperlukan dalam semua
golongan, baik golongan cendekiawan, orang awam atau golongan yang suka bersoal
jawab dan berdebat. Perkara ini membawa erti bahawa hikmah itu meliputi cara
atau taktik berdakwah yang diperlukan dalam menghadapi golongan tersebut.
Di dalam al-Quran hikmah disifatkan sebagai anugerah Allah
yang paling berharga kepada manusia. Firman Allah yang bermaksud :
“Dia (Allah) mengurniakan hikmah kepada sesiapa yang
dikehendakiNya. Dan barang siapa diberi hikmah, maka sesungguhnya dia telah
memperoleh kebaikan yang amat besar. ” (al-Baqarah, ayat
269)
Al-Quran telah menerangkan bahawa semua nabi telah diajar
hikmah oleh Allah. Keistimewaan hikmah yang dimiliki oleh para nabi inilah yang
menyebabkan mereka yang paling istimewa dan yang paling berilmu. Hadis nabi
juga menyebutkan bahawa hikmah merupakan barang mukmin yang hilang. Ertinya
manusia yang betul-betul layak untuik memiliki hikmah adalah dari kalangan
orang yang beriman. Nabi juga menasihatkan orang mukmin supaya mengambil hikmah
di mana-mana sahaja hikmah itu ditemui kerana hikmah itu adalah barang mukmin
yang hilang.
Dalam konteks dakwah, Allah telah menjelaskan hikmah dalam
beberapa makna mengikut kondisi keadaan yang berlaku. Antaranya hikmah dalam
erti kemampuan memilih saat bila harus berbicara dan bila harus diam. Para
pendakwah seharus mengetahui saat ia harus berbicara dalam menyampaikan dakwah
supaya dakwahnya mudah diterima. Hikmah dalam erti memilih dan menyusun
kata-kata. Seorang pendakwah perlu menggunakan bahasa yang baik, tepat dan
padat. Firman Allah yang bermaksud :
“Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan
berkatakanlah dengan kata-kata yang tepat.” (al-Ahzab, ayat
70)
Para ulamak menyebutkan qaulan sadida dengan kata
–kata yang lurus, kata yang benar dan kata yang tepat iaitu berbicara dengan
penuh kejujuran kerana di situlah terletak unsur segala kebahagiaan dan pangkal
dari segala kesempurnaan kerana yang demikian itu berasal dari kemurniaan hati.
Islam menyarankan supaya pendakwah berhikmah dalam cara perpisahan supaya perpisahan itu benar-benar memberi kesan dalam hatinya atau menjauhi mereka dengan cara terbaik. Dalam hal demikian, Allah berfirman yang bermaksud :
“ dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan
jauhilah mereka dengan cara yang baik.” (al-Muzammil, ayat
10)
Ayat ini menjelaskan bahawa pendakwah tidak perlu bersusah
hati dan sesak nafas dengan tingkah laku yang bengis dan ucapan-ucapan mereka
yang kasar. Berpisahlah dengan mereka dengan tingkah laku yang memperlihatkan
budi pekerti yang tinggi dan akhlak yang mulia. Apabila berlakunya sesuatu
perdebatan dan diskusi hendaklah berakhir dengan cara terbaik supaya hubungan
dakwah tetap terjalin jangan ditutup salurannya untuk menyambung pada suatu
saat yang lebih sesuai. Firman Allah yang bermaksud :
“ Mereka itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa
yang ada di dalam hati mereka. Kerana itu berpalinglah kamu dari mereka dan
berikanlah mereka pelajaran dan katakanlah kepada mereka perkataan yang
berkesan kepada jiwa mereka.” (al-Nisa’ , ayat
63)
Allah telah merakamkan kisah nabi Musa berdialog dengan
kaumnya yang menyembah Firaun. Firman Allah yang bermaksud :
“ Wahai kaumku, bagaimanakah kamu, aku menyeru kamu kepada
keselamatan tetapi kamu menyeru aku ke neraka. Kamu menyeru aku supaya kafir
kepada Allah dan mempersekutukanNya dengan apa yang tidak aku ketahui padahal
aku menyeru kamu beriman kepada Yang Maha Perkasa lagi Maha pengampun. Sudah
pasti bahawa apa yang kamu seru supaya aku beriman kepadanya tidak dapat
memperkenankan seruan apa-apapun baik di dunia maupun di akhirat. Dan
sesungguhnya kita kembali kepada Allah dan sesungguhnya orang-orang yang
melampaui batas, mereka itulah penghuni neraka. Kelak kamu akan ingat kepada
apa yang kukatakan kepada kamu. Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah.
Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan hamba-hambaNya.”
(al-Mukmin, ayat 41-44)
Ini merupakan dialog antara Nabi Musa yang menyeru ke arah
kebaikan dan keselamatan sementara kaum Firaun menyeru ke arah syirik kepada
Allah. Akhirnya nabi Musa mengingatkan mereka bahawa pasti mereka akan
mengetahui kebenaran apa yang ia perkatakan dan berlakunya perpisahan dengan
kaumnya dengan cara terbaik. Ini juga termasuk dalam berhikmah dalam berdakwah.
Hikmah dalam berdakwah juga bermaksud dakwah harus mengikut keutamaan dari segi
kerja-kerja yang akan dilakukan. Perlu memfokuskan kepada sesuatu isu dan aktiviti
yang dapat memberi sumbangan kepada mahasiswa dan umat Islam itu sendiri
sehingga dakwah dapat tampil di tengah masyarakat dengan kehadiran yang
dinanti-nantikan. Misalnya keutamaan mendidik umat adalah satu keutamaan kepada
gerakan dakwah.
Keutamaan lainnya adalah melihat isu semasa dan mencari
jalan keluar yang dapat mengembangkan pengaruh bukan sahaja di kampus, tetapi
di tengah-tengah masyarakat, misalnya kerja dakwah dalam mengatasi kemiskinan,
hak-hak asasi manusia dan agenda penyatuan ummah. Hikmah dalam berdakwah juga
bererti dakwah harus sesuai dengan realiti setempat. Dakwah mesti membumi di
tempat mana ia berpijak, bukan melangit sehingga tidak dapat diamalkan di dalam
kehidupan mahasiswa dan dalam realiti masyarakat.
Mahasiswa juga perlu pandai menggunakan pelbagai kaedah
yang terbaik dalam menyampaikan dakwah seperti menyampaikan pendapat mereka
menerusi tulisan-tulisan penuh semangat dan berfakta melalui laman-laman web
ataupun menerusi rencana-rencana. Perkembangan mentaliti pendakwah kampus ini
jelas terpancar apabila pandangan mereka mula diteliti dalam merencana sedikit
sebanyak isu semasa tanahair yang mempamerkan konsep perjuangan intelek, sesuai
dengan citarasa maysrakat kontemporari Malaysia.
Akhir sekali, haruslah dakwah ini diwarnai dengan
nilai-nilai Islam yang sebenar. Supaya dakwah Islam dapat diterima oleh semua
peringkat, tidak kira dari golongan mahasiswa, masyarakat ataupun negara.
~
Let’s Discover the Beauty of Islam ~
* INSPIRING DAKWAH, LEADING THE UMMAH *
* INSPIRING DAKWAH, LEADING THE UMMAH *
Sumber:
http://marufclub.com/2009/06/19/hikmah-berdakwah-dalam-kondisi-mahasiswa-2/
No comments:
Post a Comment