Bismillah arRahman
arRahim..
Allahumma solli 'ala saiyidina Muhammad, al-fatihi
lima ughliqo wal khatimi lima sabaq
nasiril haqqa bilhaq, wal hadi ila siratikal
mustaqim, wa 'ala alihi wa sohbihi haqqa qadrihi wa miqdarihil 'azim..
Alhamdulillah.. segala pujian hanyalah
selayaknya bagi Allah, Tuhan yang menciptakan kita dari segumpal darah. Selawat
dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad SAW, insan yang tidak pernah
melupakan pengikut-pengikutnya baik di dunia mahupun akhirat sana. Sollu ‘alannabi..
“Apakah kamu mengira bahawa kamu
akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya
orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan
kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah
Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya
pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat
dekat” [al-Baqarah: 214]
Di kala ini,
mungkin ramai yang bercakap soal peperiksaan dek kerana masing-masing sibuk
membuat persiapan bagi menghadapinya baik dari segi ulangkaji, belajar
berkumpulan atau sebagainya. Namun begitu, sejauh mana peperiksaan ini dianggap
sebagai suatu medium TARBIAH dalam membentuk insan yang bertaqwa kepada Allah?
TARBIAH melalui
peperiksaan? Ya, itulah perkara yang ingin saya sentuh dalam entry kali ini. Mungkin
ramai antara kita yang mengambil peperiksaan sekadar untuk mendapatkan segulung
sijil atau mungkin sekadar lulus untuk bekerja dalam menghadapi saki-baki
kehidupan yang entah tinggal berapa lama ini.
Ujian daripada
Allah datang dalam pelbagai bentuk sesuai dengan suasana atau kondisi
seseorang. Dalam kesibukan kita mengulangkaji pelajaran, pernahkah kita
terfikir bahawa apa yang kita baca itu sebenarnya suatu ibadah? Apa yang lebih
menyedihkan lagi, ada sesetengah daripada kita yang beranggapan bahawa apa yang
diulangkaji itu akan membolehkan dia mendapat suatu keputusan yang baik dalam
peperiksaan supaya dapat dipuji oleh kebanyakan orang.
Kadang-kadang saya
bermonolog sendirian,
“Dalam fatrah
imtihan ini semua sibuk mengulangkaji pelajaran. Entah banyak mana muka surat
yang sudah habis dibaca akan tetapi bagaimana pula dengan al-Quran? Adakah kita
baca sama seperti kita baca buku pelajaran?”
Jika kita serius
dalam mengulangkaji pelajaran, mengapakah perkara yang sama kita tidak boleh
lakukan terhadap al-Quran? Seandainya bila kita membaca buku pelajaran, kita memaksa diri kita untuk memahami dan
kita akan melakukan apa sahaja sehingga kita benar-benar faham akan apa yang kita
baca tetapi adakah kita melakukan perkara yang sama bilamana kita membaca
al-Quran? Maaf cakap, usahkan faham, baca pun jarang-jarang dan belum tentu
lagi!
Sidang pembaca
sekalian,
Hari ini kita
sibuk mengulangkaji pelajaran sehingga kadang-kadang terlupa tanggungjawab kita
yang sebenar sebagai seorang hamba. Sibuk ulangkaji sehinggakan solat entah ke
mana? Baca Quran jarang sekali? Solat sunat? Zikir harian? Dan entah
macam-macam lagi perkara yang kita sering abaikan.
Di dalam
peperiksaan pula, kita seolah-olah menafikan bahawa Allah itu Maha MELIHAT. Apabila
kita merasakan bahawa kita tidak mampu menjawab sesuatu soalan, kita pasti akan
memikirkan cara mudah untuk mendapatkan jawapan tersebut sehingga kadang-kadang
saya terfikir apa gunanya kita mengulangkaji sebelum ini? Jika ulangkaji
bersungguh-sungguh tetapi dalam peperiksaan tetap juga mengambil jalan meniru,
di manakah letaknya TAWAKKAL kita kepada Allah?
Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan
mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada
disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah
akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang
(dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap
sesuatu [at-Tolaq: 2-3]
Mungkin sekali
kita berpendapat bahawa kejayaan itu datangnya dari usaha dan jawapan kita
semata. Perlu diingatkan bahawa jika betul pun jawapan kita dalam peperiksaan,
belum tentu lagi kita akan lulus dan berjaya kerana yang member kejayaan itu
HANYA Allah. Tiada yang lain baik usaha kita, amalan kita, jawapan kita,
pemeriksa kertas jawapan kita atau sesiapa sahaja.
Tika tidak mampu
menjawab soalan di dalam peperiksaan, saya akan menggunakan masa tersebut untuk
muhasabah diri. Masakan tidak, jika ujian di dunia ini kita hadapi tanpa
PERSEDIAAN dan PERSIAPAN yang cukup menyebabkan kita tidak mampu menjawab
soalan-soalan yang kita tidak mengetahui apa-apa tentangnya, bagaimana pula di
akhirat nanti? Sudah pasti lebih teruk lagi tanpa PERSEDIAAN dan PERSIAPAN rapi
dari segi amalan dan bekalan menuju suatu hari yang PASTI!
Komtemporari kini,
ramai yang mengejar pekerjaan, jawatan, kemewahan dll yang sememangnya BELUM
PASTI lagi sama ada kita akan sampai ke saat itu atau tidak akan tetapi berapa
ramai yang beramal dan bersedia untuk menghadapi Hari Pembalasan yang sudah
semestinya suatu tempat yang PASTI dengan disediakan ganjaran yang tidak pernah
terlintas di benak fikiran kita.
Oleh itu, saya
ingin mengajak sidang pembaca sekalian untuk sama-sama kita meningkatkan
ketaqwaan kita kepada Allah sesuai dengan firman Allah dalam surah az-Zaariyat
ayat ke 56:
“Dan tidak Aku (Allah) ciptakan
jin dan manusia melainkan supaya mereka menyerahkan dan memperhambakan diri
kepada-Ku”
Kita perlu bangkit
dari tidur dan sedar dari lamunan dalam erti kata menuju ke tempat yang PASTI! Jadikan
pengalaman menghadapi peperiksaan DUNIA sebagai contoh dan muhasabah dalam
meniti jambatan ke AKHIRAT yang sudah semestinya jauh perbezaannya. Kita yang sudah
semestinya mengetahui KESAN dan AKIBAT BURUK jika tidak membuat PERSEDIAAN dan
PERSIAPAN yang rapi bagi menghadapi UJIAN DUNIA ini, entah bagaimana pula nasib
kita jika kita tidak bersedia bersungguh-sungguh dari segenap aspek bagi
menghadapi UJIAN AKHIRAT nanti.
Moga-moga kita
diberi kekuatan dan petunjuk dalam menghadapi saki-baki kehidupan kita sebelum kita
bertemu di tempat yang sama-sama saya dan anda semua akan diadili atas segala
apa yang kita pernah lakukan di dunia ini baik sebesar-besar perkara atau
sekecil-kecilnya.
~Belajar dari PENGALAMAN semalam dengan
menyusun PERANCANGAN pada hari ini demi mencapai KEJAYAAN pada hari ESOK~
No comments:
Post a Comment