Friday 27 May 2011

Selamatkan Tikus!!!

Sepasang suami dan isteri petani pulang kerumah setelah berbelanja.

Ketika mereka membuka barang belanjaan, seekor tikus memperhatikan gelagat sambil menggumam "hmmm...makanan apa lagi yang dibawa mereka dari pasar??"

Ternyata yang dibeli oleh petani hari adalah perangkap tikus.
Sang tikus naik panik bukan kepalang.

Ia bergegas lari ke sarang dan bertempik, "Ada perangkap tikus di rumah... di rumah sekarang ada perangkap tikus...."

Ia pun mengadu kepada ayam dan berteriak, "Ada perangkat tikus!"
Sang Ayam berkata, "Tuan Tikus! Aku turut bersedih tapi ia tak ada kena-mengena dengan aku."

Sang Tikus lalu pergi menemui seekor Kambing sambil berteriak seperti tadi.
Sang Kambing pun jawab selamba, "Aku pun turut bersimpati... tapi tidak ada yang boleh aku buat. Lagi pun tak tak ada kena-mengena dengan aku."

Tikus lalu menemui Lembu. Ia mendapat jawaban sama.
"Maafkan aku. Tapi perangkap tikus tidak berbahaya buat aku sama sekali. Takkanlah sebesar aku ni boleh masuk perangkap tikus."

Dengan rasa kecewa ia pun berlari ke hutan menemui Ular.
Sang ular berkata "Eleh engkau ni... Perangkap Tikus yang sekecil tak kan la nak membahayakan aku."

Akhirnya Sang Tikus kembali ke rumah dengan pasrah kerana mengetahui ia akan menghadapi bahaya seorang diri.

Suatu malam, pemilik rumah terbangun mendengar suara berdetak perangkap tikusnya berbunyi menandakan umpan dah mengena.

Ketika melihat perangkap tikusnya, ternyata seekor ular berbisa yang jadi mangsa.
Ekor ular yang terperangkap membuat ular semakin ganas dan menyerang isteri pemilik rumah.

Walaupun si Suami sempat membunuh ular berbisa tersebut, isterinya tidak sempat diselamatkan.
Si suami pun membawa isterinya ke rumah sakit.

Beberapa hari kemudian isterinya sudah boleh pulang namun masih demam.
Isterinya lalu minta dibuatkan sup cakar ayam oleh suaminya kerana percaya sup cakar ayam boleh mengurangkan demam.

Tanpa berfikir panjang si Suami pun dengan segera menyembelih ayamnya untuk dapat cakar buat sup.

Beberapa hari kemudian sakitnya tidak kunjung reda.
Seorang teman menyarankan untuk makan hati kambing.
Ia lalu menyembelih kambingnya untuk mengambil hatinya.

Masih juga isterinya tidak sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia.
Banyak sungguh orang datang melawat jenazahnya.
Kerana rasa sayang suami pada isterinya, tak sampai hati pula dia melihat orang ramai tak dijamu apa-apa.

Tanpa berfikir panjang dia pun menyembelih sapinya untuk memberi makan orang-orang yang berziarah.

Dari kejauhan, sang Tikus menatap dengan penuh kesedihan.
Beberapa hari kemudian ia melihat Perangkap Tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi.
 
P/S: Dalam cerita di atas, terdapat pelbagai watak yang mungkin sekali menyerupai idenditi kita.. mungkin kekadang kawan-kawan kita menimpa sesuatu kesusahan dan kita pula menganggapnya bukan urusan kita.. atau mungkin sekali kita diberi peringatan akan sesuatu bahaya, tetapi kita masih meragui, mempertikaikan serta buat tidak endah terhadap apa-apa peringatan yg diberikan kepada kita baik peringatan melibatkan hal ehwal DUNIA mahupun melibatkan AKHIRAT yang jelas dan pasti..

Marilah kita bersama-sama koreksi diri semula.. Adakah kita ingin menjadi seperti pasangan suami isteri td atau tikus atau ayam atau kambing atau lembu atau ular? hanya kita sahaja yang tahu apa yg kita MAHU kan yg TERBAIK utk diri kita..

Friday 13 May 2011

Meniti Akhirat melalui Jambatan Dunia

Semasa pemerintahan Sayidina Umar Al Khattab r.a., ada seorang lelaki bernama Hassan. Suatu hari dia keluar dari kampungnya dengan menunggang seekor unta untuk membuat satu perjalanan yang jauh. Setelah lama menunggang, dia keletihan lalu turun dari untanya dan bersandar di sebatang pokok lalu tertidur.

Setelah sedar dari tidurnya didapatinya untanya tidak ada. Dia terburu-buru mencari untanya itu. Dalam keadaan cemas dan bimbang itu, Hassan terjumpa untanya, tetapi telah mati. Alangkah terkejutnya Hassan.

“Pakcik yang membunuhnya,” kata seorang tua yang berada di situ. 

“Tetapi bukan sengaja. Unta ini memakan tanaman pakcik, jadi pakcik lontar dengan batu kecil. Kena betul-betul di kepalanya. Tiba-tiba unta ini rebah lalu mati.”

Hassan dalam keadaan bingung kerana terkejut dari tidur, tiba-tiba mencabut pedangnya dan dihayun ke arah orang itu dan terpenggallah leher dari badan.

Hassan seakan-akan baru tersedar dari mimpi dan menyesal yang amat sangat. Hassan lalu mencari keluarga si mati dan menceritakan segala-galanya.

Dua orang anak lelaki kepada orang tua itu terus membawa Hassan kepada Amirul Mukminin hari itu juga. Hassan pun dihadapkan ke mahkamah pengadilan. Dengan dihadiri oleh beberapa orang Sahabat, pembicaraan pun dijalankan.

Setelah mendengar pengakuan Hassan sendiri, Sayidina Umar selaku hakim telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hassan. Mendengar itu Hassan berkata:

“Demi Allah, saya lebih sanggup dibunuh di dunia daripada mendapat hukuman Neraka di Akhirat. Tapi, wahai Amirul Mukminin, saya minta ditangguhkan hukuman itu beberapa hari kerana saya hendak pulang memberitahu keluarga saya tentang perkara ini. Mereka semua belum tahu dan kerana jauhnya dari sini tentu mereka tidak akan tahu kalau saya tidak memberitahunya.”

Sayidina Umar tidak dapat memperkenannya kalau tidak ada penjamin. Walaupun Hassan merayu, tetapi Sayidina Umar tetap bertegas.

Akhirnya seorang Sahabat bernama Abu Zar bangun dan berkata,  

“Sekalipun saya tidak kenal saudara Hassan, namun atas nama Sahabat Rasulullah, saya minta tuan hakim memperkenankan permohonan Hassan. Jika sekiranya Hassan tidak datang pada hari akan dijatuhkan hukuman, maka biarlah saya yang dihukum.”

Dengan jaminan itu, maka Hassan pun dibenarkan pulang ke kampungnya. Sesampai di rumah, Hassan terus memberitahu keluarganya tentang apa yang berlaku dan berkata,  

“Biarlah saya jalani hukuman di dunia dari hukuman di Akhirat.”

Menangislah ibu bapa dan anak isterinya. Tetapi Hassan tidak lemah semangat, terus dipacunya kuda menuju ke tempat pengadilan. Dia lebih takut kepada Allah dan cintakan Akhirat lebih daripada anak isteri.

Di pertengahan jalan, tiba-tiba tali pacu kudanya putus. Hassan cemas kalau-kalau dengan itu dia terlewat sampai. Bagaimanapun dengan susah payah, Hassan dapat membetulkan tali kekang kudanya dan akhirnya dapat meneruskan perjalanannya, tetapi sudah lewat.

Di padang tempat hukuman hendak dijatuhkan kerana kelewatan Hassan, semua yang menanti sangat cemas. Mereka cemaskan Abu Zar yang terpaksa menggantikan tempat Hassan.

Dalam suasana kecemasan yang memuncak, tiba-tiba berbalam-balam di kejauhan semua yang hadir nampak kuda pacuan berlari kencang menuju ke tempat itu. Setelah yakin Hassan yang datang mereka bertempik, “Allahu Akbar! Allahu Akbar!”

Suasana tiba-tiba bertukar menjadi sedih dan terharu. Betapa jujurnya anak muda Hassan memegang janjinya sekalipun nyawanya akan melayang.

Sebaik turun dari kudanya, Hassan mengadap tuan hakim dan berkata, 

“Demi Allah, saya tidak berniat untuk menempah kelewatan ini. Tali kuda saya putus di tengah padang pasir. Puas saya usahakan mencari tali untuk menyambungnya. Alhamdulillah, saya dapat dan selamat tiba ke sini, tuan hakim.” 

Kemudian katanya lagi, 

“Sebelum saya dibunuh, izinkan saya bersembahyang dua rakaat.”

Sayidina Umar pun membenarkan. Dalam doa akhirnya, Hassan berdoa: 

“Ya Allah, ampunkan keterlanjuranku di dunia dan di Akhirat.”

Selesai menyapu muka, Hassan pun mengadap menyerahkan dirinya untuk menjalani hukuman bunuh. Tetapi pada saat genting itu, tiba-tiba kedua-dua beradik anak si mati mengadap tuan hakim dan berkata,

Kami telah menyaksikan kejujuran dan keikhlasan saudara Hassan dan telah kami saksikan juga keberanian dan kasih sayang saudara Abu Zar. Juga telah kami saksikan ketegasan dan keadilan Amirul Mukminin menjalankan hukuman Tuhan. Hasilnya, kami memperolehi kekuatan untuk meredhakan kematian ayah kami dengan memaafkan saudara kami Hassan. Lepaskanlah saudara Hassan daripada hukuman, wahai Amirul Mukminin.”

Mendengar itu sekali lagi padang itu bergema dengan laungan,

“Allahu Akbar! Allahu Akbar!”

Mereka semua bersyukur kerana terampunnya seorang saudara mereka dari hukuman di dunia dan di Akhirat, insya-Allah.

Banyak yang dapat kita pelajari dari peristiwa bersejarah itu. Dari seorang tua yang berani mengaku salah hingga menemui kematian, kemudian Hassan yang lebih berani mengakui kesalahannya dan menyerahkan diri untuk dibunuh. Kemudian Abu Zar yang berjiwa `sahabat` dan sanggup mati kerananya. Tuan hakim yang tegas dan adil. Akhir sekali dua beradik yang berhati mulia merela dan memaafkan pembunuh ayah mereka.

Dengan hati yang beriman dan berkasih sayang, manusia di zaman Sahabat telah menempa satu sejarah yang agung. Dan dengan hati-hati yang beriman, mereka telah berjaya mengangkat Islam setinggi-tingginya sesuai dengan sifatnya.

Dengan itu mereka bukan sahaja telah menguasai dunia, tetapi sedang menikmati kesenangan dan kerehatan di Alam Barzakh dan akan Allah anugerahkan Syurga. Itulah nasib orang yang bernama mukmin yang sebenar. Sekarang Allah taqdirkan giliran kita untuk menentukan nasib dan maruah diri. Semoga kita menggunakan peluang ini sebaik-baiknya menuruti jejak langkah mereka yang mulia lagi diredhai.

Thursday 5 May 2011

Hikmah dalam Berdakwah

Hikmah berdakwah dalam kondisi mahasiswa

Sering kali kita mendengar orang mengatakan hendaklah berdakwah dengan cara berhikmah. Firman Allah yang bermaksud : “ Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Nahl, ayat 125)

Ayat ini mengandungi petunjuk bagi para rasul dan pendakwah bagaimana cara menyampaikan dakwah kepada manusia yang bermacam-macam jenis itu. Para pendakwah akan menghadapi pelbagai golongan manusia yang berbeza dari segi latar belakang, ilmu dan perangai.

Dalam kondisi mahasiswa, kebanyakkannya didedahkan dengan pelbagai ilmu dan pelbagai pandangan. Sehinggakan ia membawa kepada perdebatan yang boleh merugikan kedua-dua pihak. Itulah perlu diketahui hikmah untuk berdakwah dan yang perlu difikirkan cara terbaik dalam kondisi kampus yang mempunyai pelbagai pemikiran dan pandangan. Melalui pendekatan yang baik, setiap perbincangan akan merasai nilai perbincangan dan menerima dengan lapang dada. Itulah metode berdakwah yang benar kepada agama Allah sesuai dengan kecenderungan setiap manusia.

Syeikh Muhammad Abduh menyimpulkan dari ayat di atas bahawa seorang pendakwah akan menghadapi tiga jenis manusia iaitu:

1) Golongan cendekiawan yang dapat berfikir secara kritis dan mendalam, cepat dapat menangkap sesuatu persoalan. Mereka ini harus didakwah dengan berhikmah, iaitu dengan alasan, dalil dan hujah yang dapat diterima oleh kekuatan akal mereka.

2) Golongan orang awam yang kebanyakkannya belum dapat berfikir secara kritis, belum dapat menangkap pengertian yang tinggi-tinggi. Mereka hendaklah didakwah dengan nasihat dan pengajaran yang baik iaitu melalui pendidikan yang baik dan mudah difahami.

3) Golongan yang tingkat kecerdasannya diantara yang tersebut diatas. Mereka ini hendaklah didakwah dengan bertukar-tukar pandangan dan fikiran yang boleh mendorong untuk berfikir secara sihat dalam mencari kebenaran. Oleh itu, dakwah yang berkesan adalah mengikut kondisi orang yang didakwahnya.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “ Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka masing-masing” (Riwayat Muslim)

Walaupun begitu Mohd. Natsir dalam bukunya Fiqhud-dakwah menyebutkan bahawa hikmah itu lebih dari semata-mata ilmu. Ia adalah ilmu yang sihat, yang sudah dicernakan; ilmu yang padu dengan rasa periksa, sehingga menjadi daya penggerak melakukan sesuatu yang bermanfaat lagi berguna. Kalau dibawa kepada bidang dakwah ia bermaksud melakukan sesuatu tindakan yang berguna dan efektif. Inilah yang lebih benar kepada memahamkan maksud hikmah dalam erti kata yang lebih luas daripada membatasi erti hikmah kepada alat atau cara menyampaikan dakwah kepada golongan cendekiawan.

Oleh itu, hikmah dalam bidang dakwah diperlukan dalam semua golongan, baik golongan cendekiawan, orang awam atau golongan yang suka bersoal jawab dan berdebat. Perkara ini membawa erti bahawa hikmah itu meliputi cara atau taktik berdakwah yang diperlukan dalam menghadapi golongan tersebut.

Di dalam al-Quran hikmah disifatkan sebagai anugerah Allah yang paling berharga kepada manusia. Firman Allah yang bermaksud :

“Dia (Allah) mengurniakan hikmah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan barang siapa diberi hikmah, maka sesungguhnya dia telah memperoleh kebaikan yang amat besar. ” (al-Baqarah, ayat 269)

Al-Quran telah menerangkan bahawa semua nabi telah diajar hikmah oleh Allah. Keistimewaan hikmah yang dimiliki oleh para nabi inilah yang menyebabkan mereka yang paling istimewa dan yang paling berilmu. Hadis nabi juga menyebutkan bahawa hikmah merupakan barang mukmin yang hilang. Ertinya manusia yang betul-betul layak untuik memiliki hikmah adalah dari kalangan orang yang beriman. Nabi juga menasihatkan orang mukmin supaya mengambil hikmah di mana-mana sahaja hikmah itu ditemui kerana hikmah itu adalah barang mukmin yang hilang.

Dalam konteks dakwah, Allah telah menjelaskan hikmah dalam beberapa makna mengikut kondisi keadaan yang berlaku. Antaranya hikmah dalam erti kemampuan memilih saat bila harus berbicara dan bila harus diam. Para pendakwah seharus mengetahui saat ia harus berbicara dalam menyampaikan dakwah supaya dakwahnya mudah diterima. Hikmah dalam erti memilih dan menyusun kata-kata. Seorang pendakwah perlu menggunakan bahasa yang baik, tepat dan padat. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan berkatakanlah dengan kata-kata yang tepat.” (al-Ahzab, ayat 70)

Para ulamak menyebutkan qaulan sadida dengan kata –kata yang lurus, kata yang benar dan kata yang tepat iaitu berbicara dengan penuh kejujuran kerana di situlah terletak unsur segala kebahagiaan dan pangkal dari segala kesempurnaan kerana yang demikian itu berasal dari kemurniaan hati.

Islam menyarankan supaya pendakwah berhikmah dalam cara perpisahan supaya perpisahan itu benar-benar memberi kesan dalam hatinya atau menjauhi mereka dengan cara terbaik. Dalam hal demikian, Allah berfirman yang bermaksud :

“ dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik.” (al-Muzammil, ayat 10)

Ayat ini menjelaskan bahawa pendakwah tidak perlu bersusah hati dan sesak nafas dengan tingkah laku yang bengis dan ucapan-ucapan mereka yang kasar. Berpisahlah dengan mereka dengan tingkah laku yang memperlihatkan budi pekerti yang tinggi dan akhlak yang mulia. Apabila berlakunya sesuatu perdebatan dan diskusi hendaklah berakhir dengan cara terbaik supaya hubungan dakwah tetap terjalin jangan ditutup salurannya untuk menyambung pada suatu saat yang lebih sesuai. Firman Allah yang bermaksud :

“ Mereka itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka. Kerana itu berpalinglah kamu dari mereka dan berikanlah mereka pelajaran dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berkesan kepada jiwa mereka.” (al-Nisa’ , ayat 63)

Allah telah merakamkan kisah nabi Musa berdialog dengan kaumnya yang menyembah Firaun. Firman Allah yang bermaksud :

“ Wahai kaumku, bagaimanakah kamu, aku menyeru kamu kepada keselamatan tetapi kamu menyeru aku ke neraka. Kamu menyeru aku supaya kafir kepada Allah dan mempersekutukanNya dengan apa yang tidak aku ketahui padahal aku menyeru kamu beriman kepada Yang Maha Perkasa lagi Maha pengampun. Sudah pasti bahawa apa yang kamu seru supaya aku beriman kepadanya tidak dapat memperkenankan seruan apa-apapun baik di dunia maupun di akhirat. Dan sesungguhnya kita kembali kepada Allah dan sesungguhnya orang-orang yang melampaui batas, mereka itulah penghuni neraka. Kelak kamu akan ingat kepada apa yang kukatakan kepada kamu. Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan hamba-hambaNya.”  (al-Mukmin, ayat 41-44)

Ini merupakan dialog antara Nabi Musa yang menyeru ke arah kebaikan dan keselamatan sementara kaum Firaun menyeru ke arah syirik kepada Allah. Akhirnya nabi Musa mengingatkan mereka bahawa pasti mereka akan mengetahui kebenaran apa yang ia perkatakan dan berlakunya perpisahan dengan kaumnya dengan cara terbaik. Ini juga termasuk dalam berhikmah dalam berdakwah. Hikmah dalam berdakwah juga bermaksud dakwah harus mengikut keutamaan dari segi kerja-kerja yang akan dilakukan. Perlu memfokuskan kepada sesuatu isu dan aktiviti yang dapat memberi sumbangan kepada mahasiswa dan umat Islam itu sendiri sehingga dakwah dapat tampil di tengah masyarakat dengan kehadiran yang dinanti-nantikan. Misalnya keutamaan mendidik umat adalah satu keutamaan kepada gerakan dakwah.

Keutamaan lainnya adalah melihat isu semasa dan mencari jalan keluar yang dapat mengembangkan pengaruh bukan sahaja di kampus, tetapi di tengah-tengah masyarakat, misalnya kerja dakwah dalam mengatasi kemiskinan, hak-hak asasi manusia dan agenda penyatuan ummah. Hikmah dalam berdakwah juga bererti dakwah harus sesuai dengan realiti setempat. Dakwah mesti membumi di tempat mana ia berpijak, bukan melangit sehingga tidak dapat diamalkan di dalam kehidupan mahasiswa dan dalam realiti masyarakat.

Mahasiswa juga perlu pandai menggunakan pelbagai kaedah yang terbaik dalam menyampaikan dakwah seperti menyampaikan pendapat mereka menerusi tulisan-tulisan penuh semangat dan berfakta melalui laman-laman web ataupun menerusi rencana-rencana. Perkembangan mentaliti pendakwah kampus ini jelas terpancar apabila pandangan mereka mula diteliti dalam merencana sedikit sebanyak isu semasa tanahair yang mempamerkan konsep perjuangan intelek, sesuai dengan citarasa maysrakat kontemporari Malaysia.

Akhir sekali, haruslah dakwah ini diwarnai dengan nilai-nilai Islam yang sebenar. Supaya dakwah Islam dapat diterima oleh semua peringkat, tidak kira dari golongan mahasiswa, masyarakat ataupun negara.

~ Let’s Discover the Beauty of Islam ~
* INSPIRING DAKWAH, LEADING THE UMMAH *

Sumber: http://marufclub.com/2009/06/19/hikmah-berdakwah-dalam-kondisi-mahasiswa-2/