Wednesday 17 March 2010

NaK PiLiH SiApa Ni??

Bismillah arRahman arRahim..
Alhamdulillah..wasolatu wasalam ‘ala rasulillah…bersyukur kepada Allah kerana dengan limpah rahmatNya dapat lagi kita meneruskan perjuangan di muka bumi yang fana ini..
Sahabat sahabiah yang dikasihi sekalian..
Hari-hari yang berlalu terasa terlalu cepat berputar.. pejam celik sudah hampir ke penghujung tahun kedua pengajian sebagai pelajar perubatan.. Alhamdulillah kehidupan di bumi Zagazig ini tidaklah terlalu sibuk dan agak nyaman berbanding dengan tempat lain.
Dalam nyenyak kedamaian pada waktu sekarang, ramai yang sudah mula membicarakan tentang pilihanraya PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ).. mungkin kerana terlalu seronok dengan penubuhan cawangan tidak lama lagi, maklumlah sebelum ini kami hanya bernaung dibawah Organisasi PERUBATAN Zagazig (OPZ).
Dalam kita sibuk memikirkan siapakah yang bakal menjadi pimpinan, adakah kita semua benar-benar hadam tentang apakah itu sebuah organisasi, kepimpinan, anggota dan apakah tanggungjawab kita terhadap sesebuah organisasi???
Organisasi bolehlah diertikan sebagai suatu pergerakan yang mempunyai struktur pentadbiran yang kemas, tersusun dan terancang dengan sistematik untuk mencapai matlamat yang diimpikan..
Louis Allen, seorang Sarjana Pengurusan dan Pentadbiran Organisasi berpendapat bahawa:
"organisasi adalah merupakan mekanisme yang membolehkan anggota dalam sesebuah organisasi bekerja bersama dengan cekap"
Dari perspektif Islam pula, organisasi merupakan suatu gerakan yang diwujudkan untuk memenuhi kehendak dan cita-cita manusia yang  berfungsi sebagai khalifah Allah di alam sejagat ini untuk terus mendaulatkan Islam sebagai alternatif kehidupan.
Saidina Umar al-Khatab pernah berkata yang bermaksud:
“Tiada Islam kecuali dengan Jamaah (organisasi), tiada jamaah kecuali dengan pimpinan, dan tiada kepimpinan kecuali dengan ketaatan”

Peranan Pimpinan
Antaranya ialah mahir dalam selok-belok organisasi yang dipimpin dan sentiasa memikirkan dan menjaga kebajikan ahli.. kedua-dua elemen in  sangat penting dalam kehidupan sebagai seorang pemimpin yang terbaik.. apalah gunanya nilai seorang pemimpin andai kata dia hanya memikirkan hal ehwal peribadinya sahaja tanpa memikirkan tanggungjawab yang telah diamanahkan.. ringkasnya, terlalu banyak tanggungjawab sebagi seorang pemimpin dari segala aspek.
Saidina Umar al-Khatab pernah berkata:
“kalau rakyatku kelaparan, aku ingin menjadi orang pertama yang merasanya. Kalau rakyatku kekenyangan, aku ingin menjadi orang yang terakhir menikmatinya”
Pemimpin sebeginilah yang kita idam-idamkan..
                                                                                   
Peranan anggota
Sebagai seorang yang menyokong gerak kerja Islam, seorang pengikut atau ahli perlulah taat dan patuh pada arahan pemimpin selagi mana arahan tersebut tidak lari dari Islam sepertimana firman Allah dalam surah an-nisa’ ayat yang ke 59 yang mafhumnya:
Hai orang-orang yang beriman, taatlah kamu akan Allah dan taatilah RasulNya, dan ulil amri (pemimpin) di antara kamu. Kemudian jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”
Sebagai seorang ahli yang prihatin dan bijak, seharusnya kita  terbuka dalam memberi kritikan membina kepada pimpinan selagi mana kita menjaga adab-adab apabila mengemukakan hujah-hujah tersebut. Hal ini sangat penting dalam pengurusan dan kelancaran sesebuah organisasi kerana kadang-kadang pemimpin terlepas pandang akan kesilapan yang mungkin dia tidak sengajakan.. Cuma perkara yang paling penting yang perlu diberikan perhatian di sini ialah kritikan membina yang hendak diberikan mestilah terdapat padanya adab-adab yang perlu dijaga.
Akan tetapi apabila sampai suatu tahap pemimpin ditohmah, kita sebagai orang yang dipimpin perlulah bingkas bangun membela pimpinan jika mereka kita tidak bersalah.. perkara ini sangat penting dalam kehidupan berorganisasi.

Pilihan raya Perubatan Cawangan Zagazig
“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh”
                                                                                                                        (al-Ahzab: 72)
Apabila sebut tentang pilihan raya, sudah semestinya terdapat di situ proses pencalonan.. ada juga sahabat yang bertanyakan kepada saya tentang siapakah yang bakal menjadi pengerusi dan exco PCZ???
Pada pandangan peribadi saya, saya merasakan bahawa perlunya pemimpin yang matang sebagai seorang khalifah yang memimpin sesebuah organisasi. Kehidupan sebagai seorang pemimpin tertinggi sangatlah menakutkan kerana amanah yang dipertanggungjawabkan adalah sangat besar. Hanya orang yang tergila-gilakan kuasa sahaja yang merasakan bahawa jawatan adalah segala-galanya.
“jawatan merupakan suatu taklif (tanggungjawab), bukannya tashrif (kemuliaan)”
Bagi saya, calon pemimpin yang saya idamkan untuk membawa  misi dan visi  PCZ sudah semestinya orang yang boleh diharapkan.. maksud saya, orang yang saya rasa paling layak untuk menjadi pemimpin sesebuah organisasi ialah orang yang selalu memberikan dokongan dan sokongan kepada organisasi tersebut.. tidak perlulah saya menyebut siapakah yang dimaksudkan cumanya saya ingin menegaskan di sini bahawa mana mungkin orang yang selalu mengkritik membuta-tuli dan tanpa hujah yang kukuh mampu dan layak untuk dinaikkan sebagai pemimpin untuk sesebuah organisasi.. mungkin sebelum ini saya ada menyebut berkenaan perlunya ahli memberikan kritikan membina atau muhasabah kepada pimpinan jika kritikan tersebut dapat memperelokkan hala tuju  organisasi tersebut tetapi perlulah diingatkan disini bahawa ianya penuh dengan adab-adab terhadap pimpinannya.
Hujah saya ialah mana mungkin seorang yang jarang atau tidak pernah  menyertai program-program sesebuah organisasi  layak untuk memimpin organisasi tersebut. Bagi saya, orang yang sentiasa memberikan sokongan dan membantu adalah calon yang paling layak untuk dinaikkan sebagai pemimpin.. hal ini kerana kita dapat berfikir dengan logik bahawa jikalau sebelum seseorang itu dinaikkan sebagai pemimpin, dia sudah mampu memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap organisasi, apatah lagi jika dia pula yang memimpin organisasi tersebut.. matematiknya mudah, kan begitu???
Akan tetapi, perkara  yang paling penting sekali ialah keinginan dan keazaman untuk membawa Islam adalah yang paling utama.. bila mana sudah mendapat jawatan, perlulah difikirkan bagaimanakah caranya seorang pemimpin hendak membawa Islam dalam corak kepimpinannya. Tiada gunanya jika kita diberi peluang dengan adanya jawatan tetapi tiada sedikit pun perasaan ingin untuk membawa Islam sebagai cara hidup yang perlu diterapkan.

Konklusi
Saya sangatlah berharap agar kita yang akan ditanya kelak akan apa yang telah lakukan, melaksanakan tanggungjawab kita dengan sebaiknya. Berkenaan pencalonan dan pilihanraya PCZ yang bakal menjelang ini, sama-samlah kita membuat pilihan yang terbaik kerana masa depan PCZ terletak pada diri anda semua melalui pilihanraya pada kali ini.
"seribu langkah ke hadapan bermula dengan langkah yang pertama"
Jika mampu, sebelum kita pergi mencalon atau mengundi, sebolehnya kita lakukanlah solat sunat istikharah agar pilihan yang kita buat benar-benar mendapat petunjuk dari Allah. Semoga pilihan yang kita lakukan ini adalah yang terbaik untuk kegemilangan Islam pada masa hadapan.
“jika tidak mampu menjadi pendokong kepada Islam, jadilah penyokong kepada Islam tetapi janganlah sama sekali kita menjadi pengongkong kepada Islam”
Wallahu ‘alam..


No comments: