Friday 23 April 2010

ApA PaNdaNgaN AndA??


Bismillah arRahman arRahim..

Alhamdulillah.. Seinfiniti kesyukuran kita ucapkan kepada Allah kerana masih lagi memberi nikmat yang terbesar dalam kehidupan iaitu nikmat IMAN dan ISLAM yang jika hendak ditukarkan dengan dunia dan seisinya pun belum tentu mampu untuk menyamai dengan tingginya nilai 2 nikmat tersebut. Menjelang musim peperiksaan ini, sudah semestinya ramai yang sibuk mengulangkaji pelajaran. Tidak kurang juga dengan golongan-golongan yang ‘berpakat’ untuk meniru dalam peperiksaan. Jadi, pada kali ini, saya ingin berbicara tentang bolehkah kita ‘meniru’ sewaktu peperiksaan? Apakah faedahnya daripada meniru? Apakah langkah bagi mencegah dari meniru?

Pertamanya, perlulah diingatkan bahawa meniru  boleh diklasifikasikan sebagai menipu dan menipu itu ialah haram. Nabi SAW pernah bersabda:-

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ  مَرَّ على صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فيها فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فقال ما هذا يا صَاحِبَ الطَّعَامِ قال أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يا رَسُولَ اللَّهِ قال أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ الناس من غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
Ertinya : "Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. pernah melalui seorang laki-laki yang sedang menjual makanan (biji-bijian). Baginda sangat mengaguminya, kemudian memasukkan tangannya ke dalam tempat makanan itu, apabila dilihatnya makanan itu nampak basah, maka bertanyalah beliau: Apa yang dilakukan oleh pemilik makanan ini? Ia menjawab: Kena hujan. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: "Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di atas, supaya orang lain mengetahuinya?! barangsiapa menipu , bukanlah (mereka) dari golongan kami (Islam)"                                                                    
              (Riwayat Muslim, 1/99)
           
Apa yang membimbangkan kita ialah kaedah meniru ini dijadikan sebagai ‘trump card’ dalam peperiksaan. Gejala ini dilihat sangat berbahaya untuk masa depan kita baik sebagai doktor ataupun selainnya. Sebagai contohnya, kita tidak mengetahui tentang sesuatu perkara sewaktu peperiksaan, maka kita pun menggunakan ‘trump card’ yang terakhir ini dan kemudiannya kita mendapat keputusan yang agak baik dalam pelajaran tersebut. Jika ditanya  kelak, apa yang akan kita jawab? “Saya tidak ingat la…” atau “saya pun meniru tajuk ini, jadi saya tidak pasti sangat la.” Adakah itu jawapan yang akan kita berikan? Apakah kejayaan sebenar bagi anda?

Pada pandangan saya, orang yang berjaya bukanlah orang yang bermegah dengan keputusan cemerlang atas usaha meniru dalam peperiksaan akan tetapi orang yang berjaya ialah yang berusaha bersungguh-sungguh, yakin dengan diri sendiri dan sedar akan kemampuan sendiri. Sudah semestinya ramai yang akan memuji kita atas kecemerlangan kita tetapi adakah Allah yang Maha Kuasa yang  memberikan kecemerlangan tersebut memuji kita atas kejayaan yang kita kecapi? Adakah kita hidup didunia ini hanya untuk mendapat pujian manusia? Apakah tujuan sebenar kita belajar?

Jika ditanya pada anda, saya yakin dan percaya bahawa sudah pasti anda akan menjawab tujuan anda ialah untuk mencapai redha Allah. Perlu diingatkan bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. Dalam usaha kita hendak menggapai redha Allah, semestinya kita tidak dapat mencampurkan yang haq dan batil seperti dalam firman Allah:-

Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedang kamu mengetahui.                                                                               (al-Baqarah: 42)
Selain itu, Nabi SAW juga pernah mencela orang Yahudi yang apabila diharamkan memakan daging babi dan lain-lain, mereka membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijualnya. Apabila Nabi mendapat tahu lalu terus berkata :- 


قَاتَلَ الله الْيَهُودَ حُرِّمَ عليهم الشَّحْمُ فَبَاعُوهُ وَأَكَلُوا ثَمَنَهُ
Ertinya : "Allah akan menghancurkan Yahudi yang mana mereka ini apabila Allah mengharamkan makan lemak (babi, bangkai dan lain-lain yang diharamkan), lalu mereka membuat helah dengan menjualnya serta menikmati hasil jualannya"
           ( Riwayat Al-Bukhari no 2111, 2/775 ; Muslim, Baihaqi )
Dari dalil-dalil di atas, jelas kepada kita hukum meniru dalam peperiksaan adalah haram baik pelajar, mahasiswa/wi mahupun guru kerana ia adalah satu bentuk penipuan. Juga dapat difahami setiap hasil keuntungan duniawi yang terhasil dari yang haram, maka hukumnya adalah haram jua. Tatkala itu, kenaikan gaji dan seumpamanya juga adalah dikira pendapatan yang haram. Amat malang, penipuan yang memberi manfaat dunia seperti ini cukup digemari oleh ramai orang, tanpa mereka sedari kehidupan akhirat mereka dalam bahaya apabila kehidupan harian mereka dikelilingi oleh duit kenaikan gaji dan untung haram tanpa mereka sedari.

             Dosa ini ibarat 'time bomb' yang amat menderitakan di alam barzakh, ibarat 'time bomb'  yang akan meletup sejurus seorang itu disapa kematian. Mati dalam keadaan sebegini, adalah mati dengan penuh dosa disebabkan hartanya.

           Jadi, untuk mencegah perkara ini dari terus menular, kita perlulah bersedia dengan sebaik mungkin fizikal mahupun mental. Kita juga perlulah kuatkan diri kita untuk melawan nafsu dan syaitan yang sentiasa mengajak kepada perkara-perkara yang dilarang oleh Allah ini. Kepada yang meniru pada masa lepas, segeralah bertaubat dan menanamkan azam untuk tidak meniru lagi pada masa hadapan. Kita perlu ingat tujuan kita belajar adalah kerana Allah. Jadi, mana mungkin Allah meredhai kita sedangkan kita cuba untuk mendapatkan redhanya dengan perkara murahan seperti meniru tersebut. Matematiknya mudah kan begitu?

Konklusinya, kita perlulah sedar bahawa kejayaan tanpa keberkatan tidak akan memandu kita kearah yang hendak kita tujui pada akhirnya. Ibnu 'Athoillah dalam karangannya, kitab al-Hikam :-

 "Sebaik-baik dalam hidupmu ialah ketika kamu menyedari kekurangan diri dan kembali kepada kerendahan dirimu"

Marilah sama-sama kita berdoa dan bermunajat moga-moga kejayaan yang ingin kita capai yang bukan sahaja didunia ini bahkan di akhirat nanti mendapat restu dari Ilahi.

“Berusaha belajar dengan bestari, berdoa bertawakkal sepenuh hati, Insyaallah kejayaan mesti mari”

No comments: