Monday 29 August 2011

Perutusan Aidilfitri 1432 H


Bismillahirrahmanirrahim..

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar walillahilhamd.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan kepada Allah, yang berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW penyampai risalah Islam, yang gigih dan tidak pernah berputus asa dalam menyampaikan wahyu yang diturunkan kepada Allah sebagai rahmat untuk sekalian alam.

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa” [surah al-Baqarah: 183]

Madrasah Ramadhan mendidik kita agar menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah. Bulan dimana diikat syaitan demi memastikan kita dapat melaksanakan perintah berpuasa ini dengan sebaiknya. Ramadhan juga mengajar kita untuk mengawal dan menguasai hawa nafsu kita yang sememangnya buas bak haiwan pemangsa yang kelaparan dan meronta-ronta mencari sesuap makanan. Namun, segalanya terletak pada diri kita untuk merebut peluang yang diberikan atau terus leka dengan mainan dunia.

Satu hadis Nabi SAW yang mafhumnya berbunyi:

“Celakalah bagi sesiapa yang bila berakhirnya Ramadhan, dosanya tidak diampunkan oleh Allah SWT”

Justeru, bagaimanakah keadaan diri kita? Adakah kita termasuk golongan yang diampunkan atau golongan yang dilaknat oleh Rasulullah SAW?

Pada hari ini, ramai yang berseronok tatkala tibanya Syawal. Keadaan ini sudah pasti berbeza dengan zaman pada sahabat yang mana mereka menangis dan sedih bilamana Ramadhan akan berlalu pergi walaupun dikurniakan oleh Allah suatu hari perayaan yang sungguh bermakna akan tetapi kita pada hari ini berbeza pula dengan mereka ibarat langit dan bumi.

Jika mereka sedih kerana ditinggalkan Ramadhan, kita pula berseronok kerana ibadah puasa sudah berlalu. Jika mereka sedih kerana mengharapkan ampunan dari Allah dalam bulan mulia ini, kita pula  bergembira kerana tidak perlu lagi bangun awal pagi untuk bersahur. Begitu hebatnya umat zaman dahulu berbanding kita.

Sidang pembaca yang dikasihi sekalian,

Kehangatan menyambut Syawal sudah pastinya sedikit sebanyak melunturkan semangat untuk menghabiskan saki baki Ramadhan yang dijanjikan dengan penuh keberkatan ini. Sudah semestinya amalan dan ibadah kita akan terganggu dek kerana sibuk dengan persiapan menyambut hari raya.


Jika dibulan Ramadhan kita mampu menghabiskan satu juzuk al-Quran dalam sehari bahkan lebih, bagaimana pula dengan ibadah sunat tersebut apabila masuknya kita ke bulan Syawal? Begitu juga dengan amalan-amalan kita yang lain. Tepuk dada tanya iman. Hanya kita yang tahu jawapannya.

“Jika kamu beribadah dan beramal kerana Ramadhan, ketahuilah bahawa Ramadhan akan pergi akan tetapi jika kamu beribadah kerana Allah, maka ketahuilah bahawa Allah itu hidup dan tidak akan mati”

Jangan pula kita melupakan dan mengabaikan sunat-sunat yang diajarkan oleh Nabi kesayangan kita di bulan Syawal ini. Sebolehnya paksalah diri kita untuk berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal yang mulia ini kerana nabi pernah bersabda bahawasanya barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dan seterusnya berpuasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. Oleh itu, janganlah kita lepaskan peluang untuk beramal  kerana sehebat mana pun kita, kita sudah pasti tidak mampu menjamin untuk melaksanakannya pada masa akan datang.

Oleh yang demikian, saya berpesan kepada diri saya dan sidang pembaca sekalian untuk kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Marilah sama-sama kita memohon kepada Allah agar diampunkan segala dosa kita baik yang dilakukan secara sengaja atau pun tidak sengaja. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan hanya Dia yang boleh mengampunkan dosa-dosa kita.

Kepada rakan-rakan yang beraya di perantauan, janganlah bersedih. Kita adalah keluarga. Rakan-rakan kita inilah abang, kakak serta adik kita yang boleh sama-sama kita berkongsi suka dan ceria kita menyambut Aidilfitri. Sudah semestinya kita merindui keluarga dan sanak saudara di kampung halaman. Jangan lupa untuk menghubungi keluarga di kampung demi mengejar ampunan dan kasih sayang mereka dan bukan hanya sekadar duit raya.

Bagi kawan-kawan yang berada di Malaysia, hargailah setiap detik bersama keluarga anda kerana siapa tahu mungkin inilah Aidilfitri terakhir kita bersama mereka. Pohonlah kemaafan daripada kedua orang tua serta saudara mara kita kerana tiada siapa yang boleh menjamin peluang untuk kita berbuat demikian di tahun-tahun mendatang.

Justeru, saya mewakili barisan kepimpinan PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) 2011 mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam umumnya dan warga sains kesihatan Universiti Zagazig, Mesir khususnya. Kami memohon jutaan kemaafan baik dari segi perkataan, perbuatan atau sebagainya yang mungkin sengaja atau mungkin tanpa kami sedari. Sampaikan salam kami kepada keluarga anda dengan lafaz yang mulia assalamualaikum wbt.

 Semoga Allah menerima amalan-amalan kita di bulan Ramadhan seterusnya memilih kita untuk terus berada dalam rahmat dan kasih sayangNya hingga ke syurga yang kita idamkan kelak.

Taqabbalallahu minna wa minkum. Siru ‘ala barakatillah.

“AT-TAQWA, AS-SYIFA’, AR-RAHMAH”

“Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati”

MOHD BUKHARI MUSLIM BIN MOHD NADZIM
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2011.

2 comments:

~ khalifah ~ said...

minni wa minka taqabbal ya karim..segala puji bagi Allah yang membuatkan perutusan aidilfitri tuan pengerusi terkesan di hati, menyentak naluri kemanusiaan kepada ketaqwaan. semoga Allah memberkati tuan. tuan benar, hargai detik yang sedang berlaku kerana yang akan datang itu belum lagi tentu. terima kasih atas peringatan ini. jazakallah

mohad said...

selamat hari raya