Thursday 16 July 2015

CGPA Ramadhan :)

Alhamdulillah.. Segala puji bagi Allah.. Selawat dan salam ke atas insan mulia yang menjadi petunjuk sepanjang zaman, baginda Muhammad SAW.

Ramadhan berlalu pergi, Syawal menjelang ganti. Jauh di sudut hati memikirkan sama ada sempat atau tidak untuk sekali lagi menjadi tetamu dalam madrasah Ramadhan akan datang. Semuanya diserahkan kepada Tuan Empunya kehidupan.

Ramadhan seringkali dikaitkan dengan madrasah atau sekolah untuk menggambarkan bahawa peri pentingnya aspek pembentukan dalam siri kehidupan. Setiap hati yang melalui fasa Ramadhan, perlu sedar akan objektif didatangkan Ramadhan di celahan 11 bulan berbaki adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada kita mempersiapkan hati dan iman demi mengharungi fasa ujian dan cubaan yang mendatang.

Kotemporari kini, apabila menjalani proses persekolahan dan pembelajaran, kita seringkali berhadapan dengan ujian mahupun peperiksaan. Begitu juga dengan sekolah Ramadhan. semakin tinggi nilai usaha dan tawakal kita, semakin tinggi dan hebat keputusan yang kita peroleh dalam peperiksaan kebiasaannya.

Mungkin sekali ada dalam kalangan kita yang memperoleh pangkat mumtaz, jayyid jiddan, 4.0 atau apa sahaja jenis pangkat yang biasa digunakan sesudah kita melepasi peperiksaan sebagai pelajar sekolah Ramadhan ini. Namun persoalannya adakah kita berjaya menterjemahkan keputusan dan pangkat yang diperoleh itu dengan baik dalam meneruskan fasa- fasa selepas madrasah Ramadhan?

Hakikat sebenar kejayaan setelah kita berhempas pulas membentuk diri sepanjang Ramadhan adalah dinilai dengan kemampuan dan kesungguhan kita bagi mengekalkan apa yang sudah kita biasakan dalam Ramadhan. Hal inilah yang menjadi titik tolak dan kayu ukuran sebenar kepada keberhasilan kita melepasi fatrah Ramadhan dengan jayanya.

Memang mudah seseorang insan melakukan pelbagai amal kebaikan sepanjang Ramadhan. Jika direnung kembali, sebenarnya kita tidak pelik jika melihat diri kita sendiri mahupun masyarakat di sekeliling masing- masing berlumba- lumba melakukan amal kebaikan kerana hakikatnya manusia kembali kepada fitrahnya untuk melakukan kebaikan setelah Allah bantu dengan dipenjarakan syaitan sementara waktu.

Selain itu, jika kita perhatikan kita dan rakan- rakan yang sama- sama belajar di sekolah atau kampus suatu ketika dahulu, ada yang mendapat pangkat yang betul- betul membanggakan, ada yang straight A dan ada juga yang sebaliknya namun dalam kalangan mereka yang kita lihat pada hari ini, siapakah yang dapat kita nilai sebagai insan yang benar- benar berjaya duniawi dan ukhrawi?

Begitulah kita dalam meneruskan fasa kehidupan selepas Ramadhan. Biar apa pangkat yang kita peroleh dalam madrasah Ramadhan, yang saya kira kita sendiri tidak tahu apakah benar kita berjaya dengan pangkat mumtaz atau sebaliknya, kerana apa yang lebih penting adalah bagaimana cara dan praktikalnya kita meneruskan kehidupan sesudah berakhirnya proses pembentukan iman dan peribadi sepanjang Ramadhan.

Moga dengan berakhirnya Ramadhan, menguatkan kembali hati kita untuk menjadi hamba yang benar- benar bertaqwa. Buatlah amal kebaikan selagimana kita mampu sebelum datangnya hari yang pada ketika itu, walaupun kita merayu, meronta dan apa sahaja yg kita buat, pasti kita tidak mampu untuk kembali di dunia ini untuk beramal kembali.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُلۡهِكُمۡ أَمۡوَٲلُكُمۡ وَلَآ أَوۡلَـٰدُڪُمۡ عَن ذِڪۡرِ ٱللَّهِ‌ۚ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡخَـٰسِرُونَ (٩) وَأَنفِقُواْ مِن مَّا رَزَقۡنَـٰكُم مِّن قَبۡلِ أَن يَأۡتِىَ أَحَدَكُمُ ٱلۡمَوۡتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوۡلَآ أَخَّرۡتَنِىٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍ۬ قَرِيبٍ۬ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ (١٠) وَلَن يُؤَخِّرَ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِذَا جَآءَ أَجَلُهَا‌ۚ وَٱللَّهُ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ (١١
Wahai orang- orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak- pinak kamu dari mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). EDan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang- orang yang rugi. (9)

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang- orang yang soleh. (10)

Dan (ingatlah), Allah tidak sekali- kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai sgala yang kamu kerjakan. (11)

[al- Munafiqun: 9- 11]

Hiduplah untuk akhirat!

1 Syawal 1436 H.


No comments: