Sunday, 24 April 2011

Islam Bukan Sains dan Sains Bukan Islam

Istilah mengIslamkan sains seakan-akan menjadi satu gelombang baru untuk para saintis Islam membuktikan kebenaran Islam. Pengislaman sains ialah satu cara untuk memaparkan ilmu sains sebagai selaras dengan ajaran Islam.

Al-Quran Sebagai Sumber Inspirasi

Gerakan ini menggunakan penemuan-penemuan sains moden dan memadankannya dengan ayat-ayat Al-Quran yang difikirkan boleh diterima akal. Di antaranya ialah penemuan sains berkenaan bumi ini bulat dan memadankannya dengan ayat ke-19 Surah Al-Hijr atau memadankan Surah Ar-Rum ayat ke-48 dengan pemahaman sains berkenaan kitaran hujan.

Terkini, apabila teori letupan agung (Bing Bang) oleh Edwin Hubble mulai diterima oleh masyarakat sains kontemporari menggantikan teori steady-state oleh Fred Hoyle, pada masa yang sama dikeluarkan juga dalil daripada Al-Quran (ayat ke-30, Surah Al-Anbiya) yang telah lama menyokong penemuan saintifik ini.

Para pengusul dalil ini membuat tafsiran berdasarkan dua kata dasar bahasa Arab dalam ayat tersebut, 'ratq' bermaksud 'bercantum' dan fataq yang bermaksud 'memisahkan atau membelahkan'.

Dengan erti kata lain, Islam itu sendiri sudah lama membuktikan teori gelombang agung kerana ianya sudah dinyatakan didalam ayat Al-Quran yang berumur lebih daripada 1400 tahun.

Cara pemikiran ini dirancakkan lagi di dalam buku-buku karya Harun Yahya dari Turki.
Pembaharuan berfikir secara saintifik di dalam membuktikan kebenaran Islam sebenarnya adalah satu trend yang sihat sebagai satu lagi wadah dakwah yang mencerminkan budaya umat Islam berfikir sudah berubah. Sebagai contoh nilai bantu wadah dakwah ini, apabila bukti saintifik yang menunjukkan satu rekahan yang begitu panjang di permukaan bulan sepadan dengan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang telah membelah bulan apabila dipinta oleh orang-orang Quraisy telah membuatkan manusia barat berbondong-bondong menjadi 'saudara baru' memeluk Islam.

Pembaca Pasif

Sebenarnya, umat Islam adalah pembaca-pembaca yang pasif walaupun ayat-ayat Al-Quran itu sendiri mengajak mereka untuk berfikir secara kritis dan inovatif.

Sebagai contoh, teori letupan agung telah berada di dalam dada Al-Quran selama lebih daripada 1400 tahun tetapi tiada seorang pun umat Islam yang menyedari akan tujuan sebenar ayat tersebut.

Surah ini sudah dibaca oleh berjuta-juta umat Islam dari dulu sehingga sekarang tetapi tiada seorang pun yang berhenti sejenak dari bacaan mereka dan merenung dengan kritis maksud di sebaliknya. Kemudian dengan sabarnya menunggu waktu malam untuk melihat langit di atasnya untuk memerhati apakah ayat itu cuba menyampaikan sesuatu berkenaan langit dan bumi. Mungkin dulu ianya satu. Selepas membuat pemerhatian dan mendapat keyakinan bahawa langit dan bumi mungkin pada suatu masa dahulu bercantum, mulai mencipta radas-radas dan alat-alatan saintifik untuk membuktikan pemerhatiannya sekaligus membenarkan ayat-ayat-Nya.

Tugasan ini mungkin rumit dan meletihkan tetapi ianya juga salah satu wadah jihad untuk sarjana-sarjana Islam. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah hampir kesemua sarjana dan pemikir Islam kontemporari hanya menunggu 'durian runtuh' dan menikmati hasil penat lelah pemikir-pemikir yang mencipta penemuan tersebut.
Jika kita membilang sudah berapa banyak penemuan sains yang sepadan dengan dalil-dalil Al-Quran yang dibaca oleh Muslim setiap hari, mungkin sudah ramai penerima hadiah Nobel terdiri daripada umat Islam dan bukannya orang Yahudi.

Di dalam artikel ini, saya akan cuba memperkenalkan cara untuk memanfaatkan kaedah-kaedah sains untuk menyelesaikan permasalahan umat Islam masa kini. Mungkin ada sarjana-sarjana Islam akan membantah kerana Islam tidak boleh di'sains'kan sepertimana ilmu laduni (ilmu yang diturunkan oleh Allah secara langsung kepada manusia). Dalam erti kata lain, Islam tidak boleh diukur oleh radas-radas dan alat-alat saintifik.
Sebenarnya, Islam itu sendiri mempunyai cabang ilmu yang bersifat mengukur iaitu ilmu Fikah. Ilmu fikah menyerupai ilmu Fizik di dalam sains di mana ianya melibatkan akal kerana sains lebih bersifat akal. Ini bermakna Fiqah adalah cabang ilmu di dalam Islam yang mengkaji suatu permasalahan ummah yang boleh diukur, dikaji dan diulangi.

Menentukan Arah Kiblat

Kebanyakkan saudara baru selalunya merujuk kepada buku oleh Ahmed Galwash yang menyatakan untuk mencari arah kiblat yang betul adalah dengan mengunakan peta Mercator, kemudian letakkan satu hujung pembaris ke arah si pencari berdiri dan satu hujung pembaris lagi pada arah Mekah, buat satu garisan menggunakan pen dan itulah arah kiblat.

Ramai juga muslim menggunakan konsep bulatan agung (Great Circle concept) yang selalunya digunakan dalam penerbangan. Jarak bulatan agung ditakrifkan sebagai jarak terpendek di antara dua titik pada permukaan satu sfera. Kaedah pencarian arah kiblat yang tepat menggunakan konsep bulatan agung telah dicipta oleh Fred Sawyer III, seorang ahli matematik.

Satu kaedah bergeometri juga diperkenalkan dengan menggunakan ukuran darjah satu sudut di antara utara dan kedudukan seseorang kearah Kaabah. Sudut itu dipanggil azimuth, daripada perkataan Arab samt yang bermakna arah.

Walaubagaimanapun, permasalahan arah kiblat kebanyakkan diselesaikan oleh mereka yang dilahirkan Muslim lebih bersifat santai dan boleh dibahagikan kepada dua kategori; mengikut cara tradisi dan menggunakan kaedah bermatematik.

Kompas kiblat sebenarnya adalah evolusi daripada kaedah bermatematik.
Kaedah tradisi termasuklah, "Jika anda boleh melihat Kaabah, maka itulah arah kiblat' atau 'Jika anda berada di Mekah, ikut arah di mana penduduk asal itu menghadap'.

Tetapi masalah menjadi semakin rumit apabila seseorang Muslim itu tidak tinggal di Mekah. Maka pelbagai petua dicipta seperti mengikut arah angin tertentu atau teruskan solat tanpa mengetahui arah kiblat kerana empat dinding Kaabah mengala ke semua arah.

Kemudian kaedah bermatematik dicipta, atau kuasi-matematik. Secara sejarahnya, masalah paling utama dalam menggunakan kaedah bermatematik adalah tiada ilmuwan boleh menentukan longitude sesuatu tempat secara tepat. Maka, kaedah bermatematik adalah paling berkesan tetapi dilemahkan dengan fakor geografi. Oleh kerana itu, walaupun kaedah bermatematik lebih maju dan tepat, tetapi keputusannya  -- mengikut penemuan terkini – tersasar.

Ada usaha fuqaha beraliran sekular menggunakan pengiraan trigonometri. Ianya dikira menggunakan lokasi koordinat seorang muslim, koordinat Kaabah (atau Mekah), dan satu formula trigonometri bersfera mudah untuk menentukan bulatan agung yang di antaranya menggunakan kaedah trigonometri seperti sine dan cosines dan kadangkala menggunakan sektor kuadran tangents dan cotangents.

Perpecahan Umat Islam

Sepanjang sejarah Islam, ahli-ahli astronomi Islam telah menghabiskan masa mereka untuk menentukan arah kiblat dan mencipta alat-alat seperti astrolabe, di mana kemudiannya menjadi alat yang terpenting untuk pelayaran dan penjelajahan. Perlu diingati, kiblat pertama umat Islam sebenarnya bukan Kaabah tetapi Jeruselam dan umat terdahulu berkongsi arah dengan orang Yahudi dan kemudiannya arah kiblat telah berubah selama-lamanya ke Kaabah oleh Nabi Muhammad SAW.

Perubahan ini memberi identiti sendiri kepada umat Islam supaya berbeza daripada orang Kristian dan orang Yahudi. Oleh itu, kiblat menjadi urat nadi umat Islam.

Persoalan arah kiblat menjadi mudah di negara di mana penduduknya adalah majoriti Islam kerana telah dijawab beratus tahun dahulu oleh nenek moyang mereka yang juga beragama Islam. Tetapi oleh kerana proses mobiliti dan penyebaran populasi yang dibawa oleh sejarah pengkolonian, pembaharuan oleh era globasisi dan penghijrahan umat Islam secara besar-besaran telah mencipta satu keperluan untuk menentukan arah kiblat yang lebih tepat di negara-negara yang mempunyai Islam minoriti seperi Amerika, Australia dan New Zealand.

Contohnya,kebanyakkan masjid-masjid pendatang di Detroit, Amerika, ketika dulu menghadap Timur atau tenggara. Kemudiannya pada tahun 1978 seorang Fuqaha Islam, S. Kamal Abdali, telah mencadangkan bahawa arah kiblat bagi Amerika Utara adalah di Timur Laut dan cadangan ini diterimapakai di Amerika Utara sehingga kini.

Malangnya, permasalahan arah kiblat menjadi semakin rumit apabila melibatkan perbezaan mazhab dan pada akhirnya umat Islam berpecah-belah.

Lebih memalukan, di dalam era matematik, geografi dan komputer ketika sains pelayaran, pengiraan dan Cartography mencapai kemuncaknya, dan dengan penciptaan teknologi terkini, orang bukan Islam tidak menemui masalah di dalam mencari arah untuk belayar sehingga ke kutub utara dan mengembara hingga ke bulan, walhal umat Islam masih tidak mempunyai persetujuan di dalam isu yang kecil ini.

Diceritakan cara menentukan arah kiblat bagi masjid baru di Tierra del Fuego adalah dengan memanggil seorang Fuqaha dari Algeria dan mendengar pendapatnya dan apabila masjid itu siap dibina seorang lagi Fuqaha ternama Islam melawat masjid tersebut telah memberi pendapat yang berbeza berkenaan arah kiblat.
Fatwa secara subjektif ini telah membuatkan Islam amat sukar diterima di benua Amerika. Kaedah memberi fatwa secara subjektif ini juga telah mencipta jurang baru sesama umat Islam dan akhirnya mengakibatkan perpecahan. Sewajarnya, kaedah memberi fatwa yang bertunjangkan ijtihad bersandarkan dengan fakta yang lebih bersifat saintifik supaya mudah diterima akal.

Projek Satu Arah Kiblat

Isu ini sebolehnya tidak boleh dipandang enteng oleh umat Islam terutamanya sarjana-sarjana Islam. Oleh itu, satu projek yang dinamakaan 'Satu arah kiblat' dicipta oleh saya dengan khidmat nasihat oleh seorang ulama terkenal UK telah dilancarkan.

Tujuan utama projek ini adalah untuk menentukan arah kiblat secara saintifik demi menyatukan umat Islam di samping memberi satu kaedah baru kepada dunia Fikah berkenaan ijtihad.

Seperti yang telah dibincangkan, terdapat dua cara menentukan arah kiblat iaitu (1) cara tradisi dan (2) kaedah bermatematik, tetapi kini kami memperkenalkan kaedah ketiga iaitu secara kaedah saintifik. Kaedah ketiga ini amat mudah iaitu dengan memerhatikan arah piring satelit yang boleh didapati di mana-mana sahaja.
Sebagai bukti, jika anda berada di Malaysia, cuba perhatikan arah piring satelit Astro dan arah mana-mana masjid yang berdekatan. Sepanjang pemerhatian saya, hampir kesemua piring satelit Astro menghadap ke arah kiblat dengan tepat. Ketepatan arah kiblat menggunakan arah piring satelit adalah amat tepat dan terbukti apabila diukur ketepatannya dengan kompas kiblat.

Untuk memastikan bahawa kaedah ini boleh diterima pakai di seluruh dunia, kami akan mengumpul data arah piring satelit di segenap benua. Dengan data yang akan dikumpul, maka kesimpulan dapat dibuat secara statistik sama ada kedudukan piring satelit di seluruh dunia kesemuanya menghadap Kaabah.

Jika kesimpulan berstatistik mendapati kesemua piring satelit di seluruh dunia menghadap Kaabah maka satu alat baru dapat dicipta dengan memahami lebih lanjut fenomena ini dan sekaligus meredakan perselisihan di antara umat Islam masa kini.

Seperti dinyatakan, kompas kiblat datangnya daripada evolusi kaedah bermatematik yang bergantung kepada ketepatan koordinat sesuatu lokasi dan seperti yang dibincangkan masih lagi diragui ketepatannya.
Oleh kerana itu, proses membina masjid baru di benua Amerika masih lagi menggunakan kaedah tradisi dengan pedoman seorang Fuqaha yang selalunya bersifat subjektif.

Di dalam kesempatan ini, saya ingin memohon kerjasama semua Muslimin dan Muslimat supaya dapat berganding bahu untuk membantu saya melaksanakan projek ini. Kami dalam peringkat membina laman web sebagai alat untuk pengumpulan data.

Tujuan pembinaan laman web ini adalah untuk meminta kerjasama individu Muslim memberi arah mana-mana piring satelit yang mereka jumpai dengan pengesahan daripada arah masjid yang berdekatan dan juga daripada kompas kiblat.

Walaupun kompas kiblat kurang tepat tetapi penggunaannya masih lagi boleh diterima pakai pada peringkat pengumpulan data. Semoga projek ini dapat menjadi satu nafas baru kepada penyatuan umat Islam di seluruh dunia.

- Artikel iluvislam.com

Wednesday, 20 April 2011

Layan Jangan Lawan pun Jangan..

“Ustaz, bagaimanakah caranya untuk saya mengelakkan diri daripada bercinta semasa belajar? Apakah kaedah yang boleh digunakan?”, tanya seorang peserta kepada saya di dalam ceramah Aku Terima Nikahnya, anjuran Nisa’ WP tempoh hari.

“Oleh kerana kita sudah berbicara tentang kuasa cinta, maka saya berpandangan, cinta tidak boleh dilawan dan tidak boleh dilayan. Untuk menjadi mangsa kuasa cinta, tidak perlu melayan cinta, sebaliknya melawan cinta juga sama kesannya”, saya memberikan jawapan.

Saya bukan Profesor Serba Tahu yang ada jawapan untuk semua soalan. Maka jawapan-jawapan saya lebih kepada perkongsian. Mana yang baik, jadikan teladan. Mana yang buruk, jadikan sempadan.
Soal melayan cinta, memang tidak sukar melihat akibatnya. Sudah banyak kali saya perkatakan sebelum ini berkenaan kesan melayan cinta tanpa kebarangkalian cinta itu mencapai perkahwinan.
Tetapi soalnya kali ini ialah perbuatan melawan cinta.

Peserta tersebut bertanyakan kepada saya, apakah dengan mengelakkan diri daripada mendengar lagu cinta termasuk nasyid cinta, maka dirinya boleh terelak daripada terjebak ke dalam cinta.

Hakikatnya, cinta tidak perlu dilayan atau dilawan. Hanya dengan mengingatinya dengan cara apa sekali pun, seseorang itu sudah pun duduk di bawah pengaruh cinta. Mengingati cinta lalu melayannya, ada akibat yang kita sedia maklum. Mengingati cinta lalu melawannya, juga ada kesan yang tidak baik.

“Macam mana cara orang melawan cinta?”, saya bertanya.

Peserta tersenyum-senyum. Begitu juga dengan penyoal.

“Bercakap kasar dengan lelaki atau bercakap pedas dengan perempuan?”, saya mengemukakan cadangan tentang cara biasa melawan cinta.

MELAWAN CINTA

Biasa benar saya bertemu dengan muslimat yang mahu melawan cinta, bercakap dengan lelaki seperti seorang askar bertitah kepada anak buahnya. Kalau sekali pun al-Quran menganjurkan perempuan supaya jangan melunakkan suara ketika bercakap dengan lelaki ajnabi, tidak pula sekali-kali al-Quran mengajar alternatifnya begitu.

Cakap biasa sudahlah.

Jika sudah biasa bercakap kasar dengan lelaki kerana kononnya sedang memerangi cinta, lama-lama sudah bercinta dengan suami pun masih terbiasa bercakap kasar. Itu penangan melawan cinta.
Sama juga dengan yang lelaki.

Kalau melawan cinta itu caranya ialah dengan me’laser’ perempuan, bercakap yang pedas-pedas hingga teresak-esak setiap perempuan yang berurusan dengannya, hati-hati! Jangan pula selepas berkahwin nanti pun, bermulut pedas kerana pengalaman bujang menentang cinta, lebih lama dari pengalaman kahwin menyuburkan cinta.

MENGELAK CINTA

Habis, apa caranya untuk mengelakkan diri dari bercinta?
Oleh kerana lawan pun kena, layan pun sama… maka cara terbaik mengelakkan diri dari cinta di luar masa, ialah dengan MELUPAKANNYA.

Cara untuk melupakan cinta bukanlah dengan memikirkan cara melupakannya. Itu bukan lupa, tapi mengingati cinta secara melupakannya!

Sesungguhnya kaedah terbaik untuk melupakan cinta, ialah dengan menyibukkan diri dengan hal-hal lain yang lebih sesuai dengan masanya.

Sibukkan diri dengan pelajaran dan pengajian seoptima mungkin.
Sibukkan diri dengan kerja-kerja persatuan, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain kegiatan yang bersifat “memberi”.

Sibukkan diri dengan kerja dakwah, kerana dakwah bukan boleh berhasil terus dengan kesediaan. Ia memerlukan latihan, pendedahan, proses buat betul dan buat salah… dan zaman pelajarlah masa terbaik untuknya.

Apabila tiba masa untuk berumahtangga, barulah masukkan cinta dalam agenda ketika diri sudah pun biasa dengan kesibukan, iaitu realiti sebenar kehidupan yang jauh dari angan-angan.

sumber:
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Friday, 8 April 2011

Gambaran Kiamat..


Gambaran Hari Kiamat

✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.
✐ ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.
✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
☞ Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
① Sedekah/amal jariahnya.
② Doa anak²nya yang soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.

sumber: http://www.facebook.com/notes/aida-cutes/rupa-kiamat-bacalah-jika-kamu-seorang-manusia-sila-kongsi/215387298475378

Friday, 25 March 2011

BiSiKaN MaLaM



Bila ku didatangi malam 

Gelora perasaan mencengkam dijiwa 
Masihkah ada lagi 
Dayaku menghindar dari kealpaan 



Diterjah berbagai persoalan 
Dihujani airmata penyesalan 
Bisakah terhapus semua 
Segala dosa-noda yang bertakhta 



Terangi jalan hidupku 
Dengan cahaya kasih Mu 
Pimpinlah daku dengan hidayah Mu 



Tuhanku... 
Di malam syahdu ku merayu 
Ampunilah segala dosaku yang lalu 
Sujud ku mendambakan keredhaan Mu 
Tempatkan daku di dalam rahmat Mu 



Tuhanku... 
Usah Kau biarkan diri ku 
Hanyut terleka, di jiwa dunia membelenggu 
Dan aku sesungguhnya pasrah pada Mu 
Hidup matiku hanyalah untuk Mu 



Ya Allah tunjukkan jalan kebenaran 
Suburkan jiwa ku dengan keimanan 
Hanya pada Mu Oh Tuhan 
Ku sandarkan harapan 

Monday, 7 February 2011

TAWAKKAL


Bismillah arRahman arRahim..

Alhamdulilllah.. itulah sebaik-baik perkataan yang selayaknya disebut pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira di mana jua kita berada.. selawat dan salam keatas junjungan besar nabi Muhammad SAW yang berjaya melaksanakan REVOLUSI daripada JAHILIAH kepada CAHAYA ISLAM..

Terima kasih Allah atas segala nikmat yang Engkau berikan walaupun diriku ini selalu melakukan dosa kepadaMu.. ampunilah daku..

Kawan-kawan sekalian,

Baru-baru ini, Mesir berjaya menarik perhatian semua yang berfikiran waras selepas kebangkitan dimulai di Tunisia.. akan tetapi, perhatian yang diperoleh itu bukanlah sesuatu yang menggembirakan.. malahan suatu peristiwa yang sangat-sangat mendukacitakan.. Bagi saya, hal ini merupakan suatu perkara yang BIASA tetapi menjadi LUAR BIASA apabila ianya dilakukan di negara Mesir..

Pada tanggal 25 Jan 2011, bermulalah REVOLUSI yang menuntut kepada keadilan sejagat.. dan ianya menjadi semakin hebat apabila diulangi pada 29 Jan 2011.. maka bermulalah episod duka semua mahasiswa Malaysia yang belajar di sana..

Walaupun pada 29 Jan 2011 itu merupakan permulaan cuti pertengahan semester yang sangat-sangat dinanti oleh kebanyakan pelajar di sana, bahkan cuti yang diharapkan mampu memberi kerehatan dan peluang untuk bersiar-siar di sekitar bumi Anbia’ itu bertukar menjadi suatu tempoh yang sangat menyeksakan..

Masakan tidak, tempoh yang sepatutnya mampu merehatkan minda kami menjadi suatu tempoh yang dirasakan sangat panjang kerana kami hanya mampu berehat di dalam rumah lantaran tempoh berkurung yang dikenakan kepada semua rakyat Mesir termasuk diri kami di sana..

Apa yang menarik yang ingin saya kongsikan ialah betapa TAWAKKAL kepada ALLAH itu menjadi asas kepada berjayanya apa yang dihajatkan.. satu cerita dan pengalaman yang sangat menarik yang ingin saya ceritakan..

Pada jam 2 pagi, 3 Feb 2011, saya diarahkan untuk mengumpulkan semua pelajar yang berada di bumi Zagazig atas arahan daripada pihak Kedutaan.. tanpa melengahkan masa, saya terus memaklumkan kepada semua rakan-rakan yang berada di Zagazig untuk bersiap sedia dengan perpindahan ke kawasan Kaherah..

Setibanya saya dan kawan-kawan yang lain di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK), kami diuruskan oleh pihak Persatuan Pelajar-pelajar PERUBATAN Malaysia Mesir (PERUBATAN).. seterusnya kami diminta untuk menghulurkan bantuan bagi menguruskan kedatangan pelajar-pelajar dari cawangan ke DMAK.. PCZ + PERUBATAN..

Kami menguruskan proses evakuasi pelajar dari DMAK ke lapangan terbang.. dan bermulalah episod TAWAKKAL..

Pada mulanya, kami dijadualkan akan ke Jeddah bersama rakan-rakan yang lain.. akan tetapi akibat kekangan tenaga pengurusan, kami barisan exco PERUBATAN Cawangan Zagazig PCZ, perlu terus berbakti memberikan keutamaan kepada kawan-kawan yang lain.. kemudian kami dimaklumkan akan ke Jeddah seusai selesai proses evakuasi keseluruhan pelajar yang transit di DMAK..

mungkin inilah ujian yang Allah nak beri”

Kami terpaksa akur dengan tuntutan yang terpundak.. tetapi dalam hati tidak pernah hilang sifat TAWAKKAL kepada Allah..

barangsiapa yang memudahkan urusan orang lain, nescaya Allah akan memudahkan urusannya”

Berbekalkan mafhum hadis ini, kami terus berkerja membantu kawan-kawan dalam misi menghantar semua warganegara Malaysia pulang ke tanah air.. Siapa sangka rezeki di sebalik debu-debu pasir yang menimbun di bumi Mesir..

Kami merupakan kumpulan yang terakhir yang keluar dari DMAK dalam proses evakuasi.. setibanya kami di airport,

kalau kita tak sempat naik flight ni, terpaksalah kita naik kapal laut ke Jeddah nanti,” kata-kata Presiden PERUBATAN kepada kami..

Perasaan TAWAKKAL terus menggunung.. dalam hati tak henti-henti berzikir memohon keampunan.. tiba-tiba,

“mana 40 orang dari DMAK td?” tanya salah seorang pengurus di airport..

Perasaan lega terus menyejukkan hati yang panas yang merasakan seolah-olah tiada keadilan kepada kami.. apabila kami mendapatkan tempat masing-masing di dalam kapal terbang Air Asia, salah seorang daripada kami bertanya kepada pramugari yang berada berdekatan..

“flight ni akan berenti kat Jeddah kan?”

“ya, kita akan ke Jeddah tapi hanya untuk mengisi minyak. Pastu kita akan terus pulang ke MALAYSIA!” kata pramugari tersebut..

Ya ALLAH, betapa PEMURAHnya Engkau.. terasa seolah-olah TAWAKKAL sebelum ini benar-benar membuahkan hasil.. HEBATnya Engkau ya ALLAH…

“Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia”
                                                                                                                                                                [yasin: 82]

Jadi, perlulah kita ingat bahawa Allah mampu menjadikan 0% kepada 100%.. hebat mana pun usaha kita tetapi tanpa TAWAKKAL, nescaya kita akan GAGAL!!! Barulah saya sedar bahawa setiap segala yang berlaku bergantung kepada kekuatan TAWAKKAL kita kepada ALLAH.. semakin kuat kita berTAWAKKAL kepada ALLAH, semakin tinggi KEBAIKAN yang akan kita peroleh..

Peristiwa ini telah membuktikan sesuatu kepada saya, anda pula bagaimana?

Wallahu ‘alam..

-KLIA 1730 070211-

Tuesday, 18 January 2011

RINDUNYA SAAT ITU..

To DQ mates: Quran yang kian pudar.


****

Bagaimana nak mulakan ya?

Pagi-pagi di Mahalah Salahudin amat mendinginkan. Terasa seperti ada air-cond besar yang dipasang, dan ditekan pula suhu yang paling rendah. Kata orang, "Sejuk tahap gaban". Dan saya lah orang tu. Bila terkena air, badan akan bergetar seperti mode vibrate handphone.

Memang sejuk.

Dan kesejukan pagi di sini disulam pula dengan suasana Mahalah Salahudin yang menyenangkan. Keadaan begini membuatkan fikiran saya terbang ke 3 tahun lalu. Ke satu tempat yang juga nyaman sama seperti di sini :

Darul Quran.

Dahulu, angin dari bukit sering menyinggah di Negeri Quran ini. Sehingga ramai pelajar yang terliang-liuk badannya hampir jatuh. Yang hampir terbang pun ada.

Kata orang, macam kipas yang dipasang pada tahap kelajuan 10.

Tapi di situ, ada angin lain yang berhembus lembut. Perlahan saja menyapa hati.

Itu yang ingin saya ceritakan.

****

"Baik bagi orang-orang biasa, tapi buruk bagi orang-orang yang cuba mendekatkan diri pada Allah"

Mungkin itu ungkapan ulamak yang paling sesuai untuk digambarkan. Kerana di situ, begitulah mereka cuba dididik dan ditarbiyyah.

Tak salah untuk buat, tapi dididik untuk mencari yang lebih baik.

Banyak yang saya teringat dan rindu.

Jauh.

"Wah, jauhnya! Sejauh mata memandang!"

Dahulu, untuk bertembung dengan muslimat, sister, atau di sana dipanggil-banat. Amatlah payah. Lebih payah dari menjawab soalan calculus- walaupun sudah cuba menjawab soalan past year.

Kerana banat sudah ada laluan masing-masing.

Nak bertembung pun sukar, nak bermain mata apatah lagi. Terguling-guling mata mencari. Kalau melihat pun, perlu memakai teropong berskala tinggi. Baru tahu siapa yang berjalan. Nak kata jauhlah.

Sekarang, amat senang nak bertembung dengan sister. Nak beratur rapat-rapat pun boleh.

Campur

Dup dap! Dup dap!

Teringat dulu, ketika nak bagi quran pada seorang sister yang berada di sebuah pondok wakaf di sana. Jantung berdebar macam nak pecah. Padahal nak bagi quran je pun.

Tapi sekarang dah hilang. Mungkin hati tak lah suka pada percampuran. Tapi keadaan sekeliling membuatkan hati jadi biasa. Dan rasa tu pergi jauh-jauh.

Sehingga ada antara kita yang berdiri terlalu rapat. Tapi, tiada lansung rasa janggal di hati. Malah gembira.

Cafe.

Kalau banat nak beli kat cafe, nyorok belakang dapur je. Haha. Tak lah menyorok. Tapi beli dari pintu belakang. Sebab pintu depan penuh banin. Kalau nak tengok banat makan dalam cafe. Harapan lah jawapnya.

But now, senang je nak makan sekali. Buat je group discussion. Senang kan?

Pelik, kalau nampak ada banin dan banat bersama. Sebab perkara tu tak biasa sangat berlaku. Ganjil dan janggal. Kalau berlaku juga, semua orang tahu yang diorang adik beradik, tak pun dah kahwin.

Meeting.

"Ana cadangkan, begini, begini, begini.."

Mak ai, suara sapa tu? Macam Jennifer Lopez.

"Tak pun kita buat macamni.."

Pergh, garangnya suara. Macam harimau,

Rasa macam dengar radio pulak. Dengar suara, tapi tak nampak muka. Haha. Begitulah meeting dahulu. Banin di hadapan. Banat di belakang. Hanya ketua di hadapan. Hanya kedengaran suara yang menyahut. Agar tiada yang terjeling, walau tak sengaja. Mungkin rasa seakan pelik. Tapi, itulah yang terbaik. Untuk hati, untuk diri, untuk semua.

Moga semakin dekat dengan Allah.

Isu.

"Banat naik basikal?? Haramun Jiddan!"

Teringat di sana, bukan setakat muslimat main bola tampar ke, futsal atau apa. Kalau banat naik basikal pun dah boleh jadi isu. Haha. Tak lah haramun jiddan, itu saya yang tambah.

Satu isu yang pernah ada ketika mana saya ada dulu,

Isu imam kedua solat Isyak.

Bukan solat dengan ada 2 imam. Tapi ada jemaah ke dua selepas jemaah pertama. Maksudnya, lambat untuk solat Isyak. Kerana takut dibiasakan. Ianya jadi isu. Solat perlu dijaga.

Best kan?

Pakaian.

Dekat sana baju sepesen je. Macam boria. Banin dengan baju raihan dan jubah. Banat dengan jubah dan tudung labuhnya. Boria yang amat mempersona.

Kalau nak pakai baju lengan pendek, terasa segan. Ntah tangan terasa gatal semacam. Kalau nak pakai baju kurung apatah lagi, kena jalan sambil serkup muka dengan baldi.

Taklah, tak salah pun semua tu.

Cuma dididik untuk menjadi yang terbaik.

Quran.

"Sekarang dah juzuk berapa? Dah banyak ulang?"

Persoalan yang sentiasa terpacul. Seperti soalan, dah siap tutorial?

Dulu, banat memang terbaik tahap gaban. Jumpa dalam HEP, baca quran. Bercakap dengan pensyarah kejap, masa senggang, baca quran. Kemudian sambung cakap balik. Naik bas, baca quran. Tunggu bas, baca quran. Mengigau pun baca quran.

Memang bidadari syurga.

Banin pun sama, tapi tak lah tengok sampai tahap tu. Baca rileks-rileks pun, lagi laju dari banat. Haha.

Sekarang bagaimana kita?

"Kamu baca berapa juzuk sehari?"

Cikgu sekolah saya bertanya.

"Erm, setengah juzuk, kadang-kadang satu juzuk.."

Jawab saya. Ada unsur menyelamatkan diri di situ.

"Ha?"

Cikgu saya terkejut. Eh, banyak sangat ke saya cakap?

"Kamu kena ulang 3 juzuk sehari. Itu paling kurang.."

Gaya cikgu seperti memarahi saya apabila tidak memberi tumpuan dalam kelas. Atau mungkin ketika terlupa membuat latihan sekolahnya.

"Ingat tau, 3 juzuk sehari. Baru ingat, kalau tidak, nanti lupa quran tu.."

Cikgu mengingatkan sekali lagi.

Dulu, semasa belum menghafal quran. Al-quran adalah pilihan bagi kita. Maksudnya, ianya sunat. Kita boleh untuk tidak membaca.

Sekarang,

Kita sudah menghafal, maka kita wajib mengingat. Ianya bukan lagi pilihan. Menjaga hafalan, ianya kemestian. Kelak di akhirat, kita akan ditanya, tentang title 'hafiz' dan 'hafizah' kita.

Tiada lagi yang sepatutnya memberi alasan ada perkara lain yang perlu diaulakan. Memberi alasan sibuk.

Jom, buat muhasabah?

Kita selalu bangga bila dapat baca quran sejuzuk sehari. Mantap syeikh! Memang kembanglah. Tapi, syeikh, Imam Hassan Al-banna, mengingatkan ahli gerakan Islam, agar membaca 1 juzuk sehari. Itu kalau bukan hafiz, kalau hafiz? Patutnya lebih lagi la. Kan?

Kita akan kuat bila bersama. Nak angkat satu mahalah pun boleh. Tapi bila keseorangan, semut gigit pun boleh demam.

Kita buat musabah DQ nak? Kat Gombak.

Muhasabah tentang quran kita. Macammana, sudah bersediakah menghadap Allah. Tentang bagaimana sepatutnya, kita luaskan lagi tanah jajahan negeri Al-Quran itu ke empayar yang lebih luas, bukannya kita yang berpindah negeri.

Bagaimana sikap kita dengan Al-quran sekarang. Sudah jauhkah? Dekatkah?

Bila sudah beramai-ramai. Pasti dapat kembalikan memori tu kan? Mesti terasa kuat untuk terus memegang Al-Quran.

Seperti kuatnya saat kita mendengar bacaan Al-Quran yang tak pernah hilang walaupun sesaat di masjid kita dulu..

COPY PASTE FROM: http://ilasyahid.blogspot.com/

A STORY

Everybody, Somebody, Anybody, And Nobody

This is a little story about four people named Everybody, Somebody, Anybody, and Nobody.

There was an important job to be done and Everybody was sure that Somebody would do it.

Anybody could have done it, but Nobody did it.

Somebody got angry about that because it was Everybody's job.

Everybody thought that Anybody could do it, but Nobody realized that Everybody wouldn't do it.

It ended up that Everybody blamed Somebody when Nobody did what Anybody could have done.

(",)

Saturday, 8 January 2011

KEPERLUAN UMMAH


"8 golongan yang membahu ummah Islamiah:

1. Kebijaksanaan para pemimpin.

Sesebuah Ummah Islamiah ditunggak oleh para pemimpin yang bijaksana. Orang yang pandai adalah orang yang belajar dan orang yang cerdik ialah orang yang banyak menyelesaikan masalah-masalah. Gabungan di antara cerdik dan pandai inilah akan melahirkan orang yang bijaksana. Setinggi-tinggi kebijaksanaan ialah apabila ia di pimpin oleh Allah s.w.t. Ini kerana segala tindakkannya di bantu oleh Allah s.w.t dan amat sukar di ramal oleh musuh-musuhnya. Oleh itu kebijaksanaan pemimpin di dalam takrifan Islam adalah pemimpin yang bertaqwa kepada Allah s.w.t . Firman Allah s.w.t

وَاتَّقُوْا اللهَ وَيُعَلِّمُكُمُ الله

“Bertaqwalah kamu kepada Allah s.w.t maka Allah s.w.t akan mengajar kamu”

Pemimpin yang bertaqwa akan dipimpin Allah s.w.t dan sebab itulah, para musuh Islam cukup takut kepada lahirnya pemimpin yang bertaqwa ini. Sabda Rasullullahإِتَّقُوْا فِرَاسَةَ الْمُؤْمِن فَإِنَّهُ يَنْظُرُ بِنُوْرِ اللهِ <

“Takutlah kamu akan firasat orang-orang yang beriman kerana sesungguhnya dia melihat dengan cahaya (pimpinan) Allah s.w.t”

Bagi barat pemimpin yang bijaksana ini hanya gabungan cerdik dan pandai dengan mengetepikan unsur-unsur ketaqwaan. Ini kerana sistem pendidikan mereka sendiri telah dipisahkan daripada agama.

2. Ilmu para Ulama.

Ummah Islamiah juga didokongi oleh keilmuan para ulamanya yang sentiasa menasihati dan menyampaikan ajaran agama ini. Jika zaman dahulu, para Ulama juga terlibat dengan ilmu kemanusiaan seperti Ibnu Sina, Matematik seperti al-Khawarizmi dan sebagainya. Mereka mencipta penemuan-penemuan dan teknologi baru. Ini membuatkan sesebuah Ummah Islamiah itu sentiasa terkehadapan daripada ummah yang lain.

Oleh itu komponen yang kedua ialah ilmu yang dicurahkan oleh para Ulama. Golongan ini perlulah sentiasa mengkaji, meneliti dan rajin menyelesaikan masalah umat.

Dengan ilmu yang ada pada mereka, sesebuah ummah itu dapat dibangunkan. Mereka ialah pemikir-pemikir yang membantu para pemimpin menyelesaikan masalah.

3. Peluh para amilin (pekerja).

Ummah Islamiah juga didokongi oleh peluh para amilinnya yang sentiasa membangunkan bidang-bidang Fardhu Kifayah dan bidang-bidang kehidupan yang ada di dalam Islam. Ini membuatkan tamaddun Islam itu sentiasa hidup dan terkehadapan dan tiada berlaku kekosongan bidang di dalam Islam.

Semua bidang-bindang kehidupan ada pejuang dan pembangunnya.Golongan ini adalah golongan yang sentiasa berkerja dan berusaha tanpa jemu dan kecewa. Mereka bekerjasama di antara satu sama lain. Hasil daripada sumbangan mereka yang bersungguh-sungguh ini, maka terciptalah tamaddun islam yang amat tinggi itu

4. Darah para syuhada’.

Para mujahid yang mempertahankan Islam dengan berani dan taqwa merupakan benteng yang kukuh di dalam Ummah Islamiah. Ini kerana para musuh Islam memang sentiasa berusaha menghapuskan Islam ini sama ada lahiriahnya maupun maknawiyahnya Golongan ini adalah golongan yang mempertahankan Islam apabila Islam di serang oleh musuh-musuhnya. Hasil daripada pengorbanan mereka inilah maka Islam itu dihormati dan tidak dipandang rendah oleh musuh-musuh yang bercita-cita ingin menguburkannya

5. Doa para solihin.

Golongan yang paling tidak nampak peranannya ialah golongan para solihin tetapi sumbangan mereka sebenarnya besar. Ini kerana doa mereka sangat-sangat diperlukan di dalam pembangunan sesebuah Ummah Islamiah. Golongan ini tidak ramai tetapi tautan mereka dengan sumber kemenangan iaitu Allah s.w.t sangat rapat.

Golongan ini terdiri daripada tuan-tuan guru, ahli-ahli tareqat, dan ahli-ahli sufi. Walaupun golongan ini nampak sedikit tetapi mereka salah satu daripada komponen sesebuah Ummah. Gabungan daripada usaha yang tersusun dan doa yang berterusan inilah sebuah ummah Islamiah dapat di bina.

6. kehebatan para pendakwah

para pendakwah adalah orang yang sentiasa ke tengah masyarakat untuk mendidk mereka. Kehebatan para pendakwah hingga mereka pergi ke setiap ceruk dunia untuk membawa kalimah Allah ini. Mereka berjaya mengIslam Nusantara ini dengan perancangan yang hebat dan bantuan dari Allah.

Usaha mereka menyebabkan Islam sentiasa mempunyai pelapis di dalam perjuangannya.

7. Harta para dermawan

Dengan zakat dan infaq, maka para dermawan membangunkan masjid, madrasah, memenuhkan Baitul Mal untuk digunakan bagi membela umat Islam.

Golongan ini penting bagi menjadi nadi penggerak masyarakat. Mereka mengorbakankan harta mereka untuk wakaf, untuk aktiviti dakwah dan sebagainya.

8. Rahim wanita yang solehah

Peranan wanita amat penting di dalam membangunkan ummah. Ini kerana dari rahim wanita yang solehah inilah generasi yang hebat akan dapat dilahirkan.

Bak kata pepatah, tangan yang menghayun buaian akan dapat menggoncang dunia.

Oleh yang demikian, sejauh mana golongan ini dapat di satukan sejauh itulah Ummah Islamiah akan teguh. Dan jika longgar ikatan mereka, maka longgarlah ikatan kekuatan Ummah Islamiah. Oleh itu usaha untuk membentuk kelima-lima golongan ini perlulah dibuat secara terancang dan bersungguh-sungguh.

Apabila di dalam sebuah ummah itu tadi pemimpinnya fasiq dan bodoh, Ulama’nya mengampu dan taqlid, amilinnya (pekerjanya) pemalas dan berkepentingan, mujahidnya penakut, solihinnya hidup berpinggir, orang kayanya kedekut, pendakwahnya tidak hebat dan wanitanya rosak, maka sesebuah Ummah Islamiah itu akan goyah dan akhirnya mengalami keruntuhan dan perpecahan. Jika kita dapat menyatukan kembali golongan-golongan ini maka sudah tentu pembangunan ummah itu dapat di bina kembali.

Semoga sedikit niat dan usaha untuk menggabungkan golongan ini kita mendapat bantuan dan keredaan dari Allah.

Kalaupun tidak pada zaman kita, mudah-mudahan pada zaman anak atau cucu kita nanti, amin..."