Thursday 23 June 2011

TARBIAH melalui PEPERIKSAAN


Bismillah arRahman arRahim..

Allahumma solli 'ala saiyidina Muhammad, al-fatihi lima ughliqo wal khatimi lima sabaq
nasiril haqqa bilhaq, wal hadi ila siratikal mustaqim, wa 'ala alihi wa sohbihi haqqa qadrihi wa miqdarihil 'azim..

Alhamdulillah.. segala pujian hanyalah selayaknya bagi Allah, Tuhan yang menciptakan kita dari segumpal darah. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad SAW, insan yang tidak pernah melupakan pengikut-pengikutnya baik di dunia mahupun akhirat sana. Sollu ‘alannabi..

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”     [al-Baqarah: 214]

Di kala ini, mungkin ramai yang bercakap soal peperiksaan dek kerana masing-masing sibuk membuat persiapan bagi menghadapinya baik dari segi ulangkaji, belajar berkumpulan atau sebagainya. Namun begitu, sejauh mana peperiksaan ini dianggap sebagai suatu medium TARBIAH dalam membentuk insan yang bertaqwa kepada Allah?

TARBIAH melalui peperiksaan? Ya, itulah perkara yang ingin saya sentuh dalam entry kali ini. Mungkin ramai antara kita yang mengambil peperiksaan sekadar untuk mendapatkan segulung sijil atau mungkin sekadar lulus untuk bekerja dalam menghadapi saki-baki kehidupan yang entah tinggal berapa lama ini.

Ujian daripada Allah datang dalam pelbagai bentuk sesuai dengan suasana atau kondisi seseorang. Dalam kesibukan kita mengulangkaji pelajaran, pernahkah kita terfikir bahawa apa yang kita baca itu sebenarnya suatu ibadah? Apa yang lebih menyedihkan lagi, ada sesetengah daripada kita yang beranggapan bahawa apa yang diulangkaji itu akan membolehkan dia mendapat suatu keputusan yang baik dalam peperiksaan supaya dapat dipuji oleh kebanyakan orang.

Kadang-kadang saya bermonolog sendirian,

“Dalam fatrah imtihan ini semua sibuk mengulangkaji pelajaran. Entah banyak mana muka surat yang sudah habis dibaca akan tetapi bagaimana pula dengan al-Quran? Adakah kita baca sama seperti kita baca buku pelajaran?”

Jika kita serius dalam mengulangkaji pelajaran, mengapakah perkara yang sama kita tidak boleh lakukan terhadap al-Quran? Seandainya bila kita membaca buku pelajaran, kita memaksa diri kita untuk memahami dan kita akan melakukan apa sahaja sehingga kita benar-benar faham akan apa yang kita baca tetapi adakah kita melakukan perkara yang sama bilamana kita membaca al-Quran? Maaf cakap, usahkan faham, baca pun jarang-jarang dan belum tentu lagi!

Sidang pembaca sekalian,

Hari ini kita sibuk mengulangkaji pelajaran sehingga kadang-kadang terlupa tanggungjawab kita yang sebenar sebagai seorang hamba. Sibuk ulangkaji sehinggakan solat entah ke mana? Baca Quran jarang sekali? Solat sunat? Zikir harian? Dan entah macam-macam lagi perkara yang kita sering abaikan.

Di dalam peperiksaan pula, kita seolah-olah menafikan bahawa Allah itu Maha MELIHAT. Apabila kita merasakan bahawa kita tidak mampu menjawab sesuatu soalan, kita pasti akan memikirkan cara mudah untuk mendapatkan jawapan tersebut sehingga kadang-kadang saya terfikir apa gunanya kita mengulangkaji sebelum ini? Jika ulangkaji bersungguh-sungguh tetapi dalam peperiksaan tetap juga mengambil jalan meniru, di manakah letaknya TAWAKKAL kita kepada Allah?

Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu [at-Tolaq: 2-3]

Mungkin sekali kita berpendapat bahawa kejayaan itu datangnya dari usaha dan jawapan kita semata. Perlu diingatkan bahawa jika betul pun jawapan kita dalam peperiksaan, belum tentu lagi kita akan lulus dan berjaya kerana yang member kejayaan itu HANYA Allah. Tiada yang lain baik usaha kita, amalan kita, jawapan kita, pemeriksa kertas jawapan kita atau sesiapa sahaja.

Tika tidak mampu menjawab soalan di dalam peperiksaan, saya akan menggunakan masa tersebut untuk muhasabah diri. Masakan tidak, jika ujian di dunia ini kita hadapi tanpa PERSEDIAAN dan PERSIAPAN yang cukup menyebabkan kita tidak mampu menjawab soalan-soalan yang kita tidak mengetahui apa-apa tentangnya, bagaimana pula di akhirat nanti? Sudah pasti lebih teruk lagi tanpa PERSEDIAAN dan PERSIAPAN rapi dari segi amalan dan bekalan menuju suatu hari yang PASTI!

Komtemporari kini, ramai yang mengejar pekerjaan, jawatan, kemewahan dll yang sememangnya BELUM PASTI lagi sama ada kita akan sampai ke saat itu atau tidak akan tetapi berapa ramai yang beramal dan bersedia untuk menghadapi Hari Pembalasan yang sudah semestinya suatu tempat yang PASTI dengan disediakan ganjaran yang tidak pernah terlintas di benak fikiran kita.

Oleh itu, saya ingin mengajak sidang pembaca sekalian untuk sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah sesuai dengan firman Allah dalam surah az-Zaariyat ayat ke 56:

Dan tidak Aku (Allah) ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyerahkan dan memperhambakan diri kepada-Ku”

Kita perlu bangkit dari tidur dan sedar dari lamunan dalam erti kata menuju ke tempat yang PASTI! Jadikan pengalaman menghadapi peperiksaan DUNIA sebagai contoh dan muhasabah dalam meniti jambatan ke AKHIRAT yang sudah semestinya jauh perbezaannya. Kita yang sudah semestinya mengetahui KESAN dan AKIBAT BURUK jika tidak membuat PERSEDIAAN dan PERSIAPAN yang rapi bagi menghadapi UJIAN DUNIA ini, entah bagaimana pula nasib kita jika kita tidak bersedia bersungguh-sungguh dari segenap aspek bagi menghadapi UJIAN AKHIRAT nanti.

Moga-moga kita diberi kekuatan dan petunjuk dalam menghadapi saki-baki kehidupan kita sebelum kita bertemu di tempat yang sama-sama saya dan anda semua akan diadili atas segala apa yang kita pernah lakukan di dunia ini baik sebesar-besar perkara atau sekecil-kecilnya.

~Belajar dari PENGALAMAN semalam dengan menyusun PERANCANGAN pada hari ini demi mencapai KEJAYAAN pada hari ESOK~







No comments: